Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
102) FORUM AIR NEGERI SELANGOR 2012
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tujuan forum ini diadakan?
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 19/2012 yang bersidang pada 23 Mei 2012 dan telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 20/2012 pada 30 Mei 2012 telah meluluskan untuk mengadakan satu sesi forum bagi membincangkan isu pengurusan air yang berlaku di Negeri Selangor.
-
Nyatakan rumusan yang dapat dicapai?
Melalui Forum Air Selangor yang telah diadakan pada 12 Jun 2012, dapatlah dirumuskan seperti berikut:-
- Industri Perkhidmatan Air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada masa ini menghadapi pelbagai masalah hingga menyebabkan perkhidmatan kepada pengguna terjejas dan memberikan kesan kepada pembangunan hartanah.
- Kenaikan harga air dalam bentuk tarif membebankan rakyat dan Kerajaan Negeri tidak bersetuju dengan kenaikan tersebut. Perjanjian Konsesi berat sebelah pada Pemegang Konsesi dan bukannya pada rakyat @ pengguna.
- Undang-undang memberikan ruang untuk menyelesaikan masalah dalam Industri Perkhidmatan Air ini melalui penyusunan semula industri air. Kerajaan Negeri berpendirian bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan pada Januari 2008 yang menyatakan bahawa Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor dibenarkan disusun semula di mana Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri akan mengambil balik semua operasi air Negeri Selangor dan seterusnya menjadi syarikat yang akan mengoperasi Projek Langat 2. Namun keputusan tersebut telah berubah pada Mac 2008 berikutan perubahan Kerajaan di Negeri Selangor hingga menyebabkan Kerajaan Persekutuan tidak mahu melaksanakan penstrukturan semula ini di Selangor.
- Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa isu tarif tidak akan diselesaikan sehingga penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor dimuktamadkan melalui Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri di mana salah satu matlamatnya adalah untuk mencapai kadar tarif munasabah tidak melebihi 12% kenaikan.
- Negeri Selangor masih mempunyai simpanan air mentah yang mencukupi. Sumber air alternatif seperti air bawah tanah perlu diterokai penggunaannya dalam mengatasi masalah kekurangan air. Penggunaan teknologi baru seperti membran perlu ditingkatkan dalam usaha mendapatkan air yang berkualiti tinggi.
-
Adakah dijangka dengan forum ini masalah air di Selangor akan dapat diatasi?
Forum ini hanya memberi panduan dan idea-idea baru bagaimana hendak mengatasi masalah bekalan air yang dihadapi oleh Negeri Selangor. Penyelesaian ke atas semua isu bekalan air di Negeri Selangor hanya boleh di atasi dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor di bawah satu SPV milik penuh Kerajaan Negeri Selangor.