Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
89) FOKUS UTAMA TARIKAN KAMPUNG MELAYU TRADISI
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah fokus utama Kerajaan untuk membangun kampung tradisi supaya boleh menjana masyarakat yang maju dan diberkati?
Kerajaan Negeri komited untuk menyuntik dinamisme ekonomi, sosial dan infrastruktur juga keseimbangan pembangunan fizikal, kerohanian dan spiritual pada masyarakat dalam proses membangunkan kampung tradisi supaya boleh menjana masyarakat yang maju dan diberkati. Bagi mencapai matlamat ini, program-program bersepadu yang bersesuaian telah dirangka dan telah dilaksanakan di kampung tradisi melibatkan sembilan (9) daerah di Negeri Selangor.
Seterusnya, Kerajaan Negeri juga berusaha memperkukuh institusi masjid dengan menjadikannya sebagai pusat pembangunan komuniti (pimpinan), memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah di kalangan masyarakat, membentuk jati diri remaja berlandaskan acuan nilai agama dan nilai murni, mengenengahkan dan memelihara Adat Melayu dan Warisan dan juga memupuk rasa kasih dan sayang kepada kampung halaman.
Keluarga merupakan satu komponen kecil yang menjadi asas bagi pembentukan sesebuah negara. Justeru itu, di antara fokus utama Kerajaan Negeri adalah untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan bagi melahirkan keluarga yang harmoni dan sejahtera seterusnya membentuk sebuah negara yang sejahtera.
Di samping itu, Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) merupakan program tahunan yang telah dilaksanakan bermula tahun 2015 untuk memperkasakan institusi kampung. Pengisian Program 3K diadun sejajar dengan matlamat Kerajaan Negeri menjana masyarakat yang maju dan diberkati. Program yang diadakan di satu (1) kampung satu (1) daerah, pelaksanaan di masjid dan melibatkan penyertaan semua kategori masyarakat serta pengisian Program 3K merupakan satu bentuk modus operandi yang bertepatan dengan konsep Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur yang ingin dicapai oleh Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri juga komited untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung di Negeri Selangor. Bermula tahun 2008, pelbagai program dijalankan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan di bandar dan khususnya di desa iaitu di kampung-kampung tradisi. Melalui pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Kursus Kemahiran Jangka Pendek telah dilaksanakan.
Program ini pada dasarnya bertujuan untuk memberi pengetahuan dan tambah nilai dari segi kemahiran kepada belia atau masyarakat di desa yang tidak berpeluang meneruskan pengajian secara formal serta memberi peluang kepada masyarakat di desa yang berminat untuk menceburkan diri di dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. Bagi tahun 2015 dan 2016, Program ini telah dilaksanakan secara berasingan di INPENS International Collage dan juga di Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) pada bulan Ogos dan September. Bagi tahun 2017, program ini akan dilaksanakan di dua (2) Inkubator sedia ada iaitu di Inkubator Sabak Bernam dan juga Inkubator Meru, Klang.
-
Apakah bantuan atau insentif khas dari segi peruntukan mahupun panduan kepakaran atau sumber lain bagi sesebuah kampung yang mahu memulakan projek perintis Òbaldatun tayyibatun wa rabbun ghafurÓ seperti di Kampung Delek?
Buat masa ini Kerajaan Negeri tiada sebarang insentif khusus untuk kampung-kampung yang menggunakan konsep Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur. Walau bagaimanapun, di bawah program pembangunan luar bandar beberapa program ke arah melahirkan uasahawan yang maju dari aspek kewangan dan ekonomi tetapi juga dari segi akhlak telah dilaksanakan selaras dengan konsep Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur. Melalui kursus yang dilaksanakan para usahawan turut diterapkan kefahaman untuk menjadi usahawan yang bukan sahaja berjaya di dunia tetapi juga di akhirat dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat sejagat.