Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

67) FESTIVAL THURATH ISLAMI

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Saya melihat Festival Thurath Islami yang berlangsung baru-baru ini dan dihadiri YAB Perdana Menteri mampu memberi pengisian kerohanian yang baik kepada rakyat Selangor. Adakah ia akan diperluaskan di setiap peringkat daerah mengikut skala kecil dan besar?

    Turath atau di dalam bahasa Melayunya bermaksud warisan adalah khazanah keilmuan yang penting untuk difahami dan secara asasnya dijadikan sebagai pasak dalam pemahaman agama. Festival Turath Islami Selangor yang berlangsung baru-baru ini adalah kesinambungan kepada festival yang dianjurkan pada tahun lalu. Ternyata program seperti ini mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada masyarakat awam tetapi juga daripada golongan asatizah, mahasiswa, guru dan mereka yang mempunyai minat yang mendalam terhadap tradisi dan warisan kelimuan Islam. Program ini juga bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Selangor bahkan ada yang datang sejauh negeri Johor dan Kedah, dan ada juga dari luar negeri termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia. Festival selama 8 hari tersebut diisi dengan 11 komponen program utama yang mengandungi 32 sesi acara yang melibatkan 32 orang tokoh dari pelbagai negara. Berdasarkan anggaran Sekretariat Festival Turath keseluruhan kehadiran adalah seramai 128,600 orang berbanding 39,400 orang pada tahun lalu. Sambutan yang sangat memberangsangkan ini menunjukkan bahawa program keilmuan ini sememangnya didambakan oleh masyarakat. Sehubungan dengan itu Kerajaan Negeri sememangnya sedang merangka untuk meluaskan lagi program-program pengajian turath ini ke seluruh negeri dengan kerjasama antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Sekretariat Turath Islami Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.