Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

34) FENOMENA EL-NINO

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr Xavier Jayakumar A/l Arulanandam

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pelan tindakan kerajaan negeri dalam menghadapi Fenomena El- Nino yang dijangka melanda Negara sekitar bulan Jun sehingga bulan September tahun ini?

    Pihak kerajaan negeri telah menjalankan beberapa inisiatif bagi menghadapi Fenomen El-Nino antaranya ialah :

    • Operasi Pelepasan Air Dari Kolam Alternatif dan Pengepaman Semula Air Dari Sungai Selangor

    Pelepasan air dari Kolam Alternatif dengan menggunakan pam dijangka mampu untuk beroperasi selama 5 bulan.

    Pelaksanaan operasi pengepaman semula air Sungai Selangor ke kolam-kolam alternatif bagi tujuan penstoran air berikutan peningkatan hujan di kawasan  tadahan dengan kerjasama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Terdapat peningkatan jumlah ‘residual flow’ dalam bulan April dan Mei iaitu dalam anggaran 2,200JLH hingga 12,000 JLH di baraj Bestari Jaya.

    Ini adalah bagi meningkatkan keupayaan Sungai Selangor bagi operasi muka sauk LPA dan seterusnya mengurangkan kebergantungan serta mengoptimakan pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi.

    • Operasi Pembenihan Awan

    LUAS bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) telah menjalankan operasi pembenihan awan dengan kerjasama pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan juga pihak swasta.

    Operasi pembenihan awan telah dilaksanakan bermula pada 27 Mac 2014 hingga 31 Mei 2014 dengan kerjasama pihak JMM dan syarikat swasta bagi meningkatkan paras air Empangan Sungai Selangor kepada 55% tertakluk kepada kesesuaian cuaca. Operasi Pembenihan Awan akan diteruskan sehingga akhir tahun ini sekiranya terdapat kesesuaian

    Menjalankan operasi pembenihan awan bersama pakar dari Royal Rainmaking Thailand bagi memperbaiki kaedah dan teknik pembenihan awan. Antaranya adalah pembakaran hygroscopic flare di dasar serta di dalam awan dan  terbang sehingga 5000 kaki.

    • Kawalan Pelepasan Air Dari Empangan

    Bagi mengoptiumkan penggunaan air empangan kawalan ke atas pelepasan air yang ketat dilakukan bagi mengelakkan pembaziran. Melepaskan air empangan pada waktu-waktu tertentu sahaja

  2. Apakah pula tindakan yang akan diambil untuk mengurangkan jerebu hasil dari kebakaran kawasan tanah gambut?

    Bagi mengurangkan jerebu hasil dari kebakaran kawasan tanah gambut, Kerajaan Negeri mengambil tindakan dengan melaksanakan berbagai cara seperti berikut:

    • Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah dan Daerah dengan mengambil tindakan ke atas pihak yang di dapati melakukan aktiviti pembakaran terbuka;
    • Jabatan Alam Sekitar menjalankan program pemantauan dan rondaan darat ke atas kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku pembakaran seperti di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah. Program pemantauan ini turut dilaksanakan melalui penerbangan udara dengan kerjasama Unit Udara Polis dan penerbangan pihak swasta untuk membuat pengesanan awal bagi mengelakkan kebakaran dari merebak;
    • Kerajaan Negeri telah mewujudkan Unit Penguatkuasaan khas bagi mencegah pembakaran terbuka di Majlis Perbandaran Klang bagi memantau kawasan pertanian Revolusi Hujau, Johan Setia, Klang;
    • Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan hutan yang melibatkan tanah gambut dengan melaksanakan “wáter management system” melalui pembinaan “checkdam” dan pembinaan telaga air tanah (tubewell) di kawasan tersebut supaya kebakaran dapat dikawal dan dikurangkan;
    • Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, JPAM dan RELA terlibat di dalam kerja-kerja pemadaman bagi kes-kes kebakaran yang luas melibatkan kawasan hutan dan tanah gambut;
    • Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah akan digerakkan bagi kes-kes pembakaran terbuka berskala besar untuk mengambil tindakan bersepadu bagi memadam kebakaran tersebut mengikut Peraturan TetapOperasi Pengendalian Bencana Kebakaran Hutan/Pembakaran Terbuka dan Jerebu;
    • Bagi membantu untuk mempercepatkan pemadaman kebakaran yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kerajaan Negeri telah mendapatkan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menggunakan khidmat penerbangan kapalterbang Bombardier untuk pemadaman kebakaran hutan di Negeri Selangor ;
    • Kerajaan Negeri Selangor juga melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke-30/2012 yang diadakan pada 15 Ogos 2012 telah membuat keputusan bahawa Pejabat Tanah Daerah akan merampas tanah-tanah terbiar dan tanah-tanah di mana pembakaran terbuka berlaku serta pemilik tanah tidak mengusahakan apa-apa aktiviti dan tidak menjaga tanah mereka; dan
    • Mempertingkatkan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar kepada orang awam, pihak industri dan para petani bagi memastikan mereka memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Lampiran

Tiada Lampiran.