Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
145) FASILITI KESIHATAN DI SELANGOR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah doktor di fasiliti awam Selangor dan nisbah doktor kepada pesakit?
Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, jumlah keseluruhan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan awam di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) adalah sebanyak 4,989 orang manakala jumlah pakar perubatan adalah sebanyak 1,465 orang.
Fasiliti Pengisian
Pegawai Perubatan*
Pakar Perubatan
Perubatan & Hospital 3,651
1,293
Kesihatan Awam & Pejabat Kesihatan Daerah 1,338
172
* Termasuk data pegawai perubatan kontrak
Secara keseluruhan, terdapat 1293 orang Pakar Perubatan dengan pelbagai kepakaran dan subkepakaran yang berdaftar bertugas di hospital KKM Negeri Selangor manakala terdapat seramai 3651 orang Pegawai Perubatan telah dilantik secara tetap dan kontrak untuk bertugas di hospital KKM Negeri Selangor dan tidak termasuk jumlah Pakar dan Pegawai Perubatan di sektor swasta. Secara purata, nisbah doktor (Pakar dan Pegawai Perubatan) kepada pesakit di hospital KKM Negeri Selangor adalah 1 Pegawai Perubatan : 740 pesakit. Pesakit yang diambil kira adalah termasuk pesakit dalam dan pesakit luar. Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menyediakan perkhidmatan kesihatan primer kepada penduduk setempat melalui 216 buah fasiliti Kesihatan yang terdiri daripada 86 buah Klinik Kesihatan, 3 buah Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, 104 Klinik Desa dan 23 Klinik Komuniti.
Sehubungan itu, berdasarkan jumlah kedatangan pesakit ke fasiliti kesihatan primer tersebut (untuk tempoh Januari hingga Disember 2024) dan bilangan Pegawai Perubatan yang bertugas – nisbah semasa Pegawai Perubatan kepada pesakit adalah 1:306 bagi fasiliti kesihatan primer di negeri Selangor.
-
Apakah program sokongan kesihatan mental yang tersedia untuk doktor dan kakitangan kesihatan di hospital-hospital di Selangor?
Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sentiasa komited dalam menjaga kebajikan semua petugas kesihatan di lapangan termasuk penjagaan kesihatan mental bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada pesakit. Secara amnya, Pengurusan Tertinggi Hospital dan Penyelia-Penyelia Hospital memainkan peranan penting dalam menyediakan prasarana dan persekitaran kerja yang kondusif di hospital. Secara khususnya, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental serta Unit Psikologi Kaunseling di hospital menyediakan perkhidmatan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental untuk petugas kesihatan. Sekiranya berlaku sebarang krisis, pasukan daripada Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) di hospital akan diaktifkan untuk memberikan sokongan kesihatan mental secara proaktif. Selain itu, terdapat juga program khusus seperti Kumpulan Sokongan Kesihatan Mental Bagi Pegawai Perubatan Siswazah atau dikenali sebagai H.E.A.R.T.S (House Officer Encouragement and Reasusrance Through Sharing and Support).
-
Berapa jumlah katil hospital yang tersedia di Selangor dan adakah ia mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan terutamanya di kawasan bandar?
Data jumlah katil mengikut hospital di negeri Selangor adalah seperti berikut:
Bil. Hospital *Bilangan Katil Rasmi **Bilangan Katil Operasi Kadar Kepenggunaan Katil (BOR) Tahun 2024 (%) 1. Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang 1261
1261 88.1
2. Hospital Selayang 1047
966
71.1
3. Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang 1100
1063 92.8
4. Hospital Ampang 713
703 76.4
5. Hospital Sungai Buloh (termasuk Pusat Kawalan Kusta Negara) 1129
1053 67.3
6. Hospital Kajang 658
438 63.7
7. Hospital Shah Alam 490
490 94.8
8. Hospital Cyberjaya 288
288 61.6
9. Hospital Banting 212
195 87.1
10. Hospital Tanjong Karang 288
146 105.5
11. Hospital Kuala Kubu Bharu 128
128 54.2
12. Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam 93
93 46.1
13. Hospital Orang Asli, Gombak 61
61 41.0
Jumlah
7468
6885 77.6
*Bilangan katil rasmi: Merujuk kepada jumlah katil yang diluluskan secara rasmi oleh pihak KKM.
**Bilangan Katil Operasi: Merujuk kepada jumlah katil yang benar-benar digunakan dan tersedia untuk pesakit pada satu-satu masa.
Menerusi data yang diperoleh daripada Portal Rasmi Data Terbuka Malaysia: https://data.gov.my/ms-MY , populasi penduduk di negeri Selangor pada tahun 2024 adalah sebanyak 7,363,400 orang menjadikan nisbah ***katil hospital 1.77 bagi setiap 1,000 penduduk di mana masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak KKM di dalam perancangan RMKe-12 iaitu 2.06 katil bagi setiap 1,000 penduduk.
Selain itu, bilangan katil di negeri Selangor masih belum mencukupi bagi menampung keperluan permintaan terutamanya bagi beberapa buah hospital yang telah mencapai kadar kepenggunaan katil (BOR) melebihi 85%. Ini kerana mengikut standard WHO, pengoperasian hospital berada pada tahap yang optimum dan efisien tanpa risiko kesesakan yang tinggi apabila BOR di dalam julat 75% hingga 85%. Walau bagaimanapun, pertambahan bilangan katil bukan semata-mata penyelesaian masalah kepada peningkatan BOR di hospital kerana ianya perlu dilaksanakan seiring dengan pertambahan bilangan sumber tenaga kerja (sumber manusia), kewangan serta kelengkapan peralatan perubatan. Seperti yang dapat dilihat daripada data di dalam jadual di atas, sebanyak 583 buah katil tidak dapat beroperasi kerana kekangan pelbagai sumber.
***Pengiraan bilangan katil turut mengambil kira fasiliti swasta iaitu sebanyak 5546 buah katil daripada 59 buah hospital swasta di negeri Selangor.