Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
147) FAKIR MISKIN
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Bakhtiar Bin Mohd Nor
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah statistik kadar kemiskinan di Selangor pada 2018 dibandingkan dengan kadar kemiskinan pada 2015? Apakah ada kemajuan yang lebih baik dari sebelumnya?
Usaha mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam semua dimensi sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri. Menyedari hakikat ini, program-program dan inisiatif-inisiatif sentiasa dipelbagaikan dan diperkukuh oleh Kerajaan Negeri dalam usaha mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.
Berdasarkan kepada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas terkini iaitu Tahun 2016 yang disediakan setiap dua (2) tahun oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan tiada insiden kemiskinan. Penurunan insiden kemiskinan di Negeri Selangor adalah sebanyak 0.2%, iaitu daripada 0.2% pada tahun 2014 kepada 0.0% pada tahun 2016.
Pengurangan insiden kemiskinan di Negeri Selangor yang dicatatkan hingga ke paras sifar pada tahun 2016 ini telah membuktikan bahawa semua agenda dan rancangan Kerajaan Negeri terutamanya pelaksanaan Program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) telah berjaya memperlihatkan kejayaan dan keberkesanan yang amat positif dalam memberi kesan langsung untuk menurunkan kadar kemiskinan di Negeri Selangor serta seterusnya memberi impak berterusan terhadap kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.
-
Berapakah peruntukan yang telah disediakan Kerajaan Selangor terhadap fakir-fakir miskin sepanjang tahun 2017 selain skim-skim yang disediakan oleh Kerajaan kepada rakyat?
Saban tahun menyaksikan Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu dalam usaha memberi manfaat berterusan kepada rakyat terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan yang masih berada di dalam kitaran kemiskinan. Antara rancangan dan inisiatif sedia ada Kerajaan Negeri yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi adalah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Terdiri daripada empat puluh dua (42) program, Program-program IPR merupakan usaha keras Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di samping mengurangkan bebanan kos sara hidup dari dimensi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup rakyat.
Bagi mengurangkan bebanan rakyat dan peningkatan kos sara hidup, Kerajaan Negeri melihat bahawa langkah meneruskan kesinambungan “peduli rakyat” melalui pelaksanaan Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) merupakan penyelarasan yang tepat dalam memberdaya dan mengupayakan golongan miskin. Untuk itu, pada tahun 2017, jumlah peruntukan yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi empat puluh dua (42) Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) adalah berjumlah RM448.09 juta. Semua inisiatif ini merangkumi kluster pendidikan, pekerjaan, perumahan, kekeluargaan, kesihatan dan kebajikan. Melalui program-program tersebut, ianya secara tidak langsung menghasilkan impak positif terhadap taraf dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.
-
Apakah usaha-usaha lain Kerajaan bagi membasmi kadar kemiskinan di Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa peduli akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira umur dan etnik. Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang telah menjadi sanubari kepada rakyat Selangor pula akan terus diperkukuh dan dipelbagai oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat Selangor terus maju dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Setiap golongan masyarakat tidak terkecuali untuk dibantu dan diberdaya oleh Kerajaan Negeri dalam usaha mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan. Terdiri daripada empat puluh dua (42) program, IPR bersifat menyeluruh kepada semua golongan miskin dan kurang berkemampuan di Negeri Selangor termasuk golongan miskin bandar dan luar bandar dengan memberi tumpuan kepada semua dimensi termasuk pendidikan, kesihatan dan taraf hidup. Program-program pembasmian kemiskinan yang lain selain IPR adalah merangkumi program-program pemberdayaan dan pengupayaan sosio ekonomi yang dijalankan oleh semua Jawatankuasa Tetap (STANDCO) serta Jabatan/ Agensi berkaitan. Program-program seumpama ini merupakan usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di samping mengurangkan bebanan kos sara hidup dari aspek kesihatan, pendidikan dan taraf hidup rakyat. Hasilnya, rakyat dapat menikmati kesejahteraan hidup yang berterusan.