Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

299) FAHAMAN LIBERAL DALAM AJARAN ISLAM: LANGKAH KERAJAAN NEGERI DAN KRITERIA UNTUK MENILAI KESESATANNYA

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri melalui JAIS bersedia untuk mewartakan Fahaman Liberal sebagai sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam?

    Jabatan Mufti Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa pada 17 Julai 2014 dan mewartakan fatwa pada 31 Julai 2014 mengenai Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama adalah sesat dan menyeleweng iaitu:

    1. SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
    2. Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
    3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.
    4. Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.
  2. Apakah bentuk dan ciri serta kriteria Fahaman Liberal yang dianggap sesat?

    Antara bentuk dan ciri serta kriteria fahaman Liberal yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam ialah:

     

    1. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

    Konsep pluralisme menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

    2. Akal Manusia Adalah Wahyu

    Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Qur`an dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Qur`an berdasarkan tujuan serta konteks suasana zaman.

    3. Meragui Ketulenan Al-Quran

    Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad SAW yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

    4. Menggesa Tafsiran Baru al-Quran Dalam Konsep Ibadat

    Aliran pemikiran ini berpegang dengan prinsip “membuka dan membebaskan tafsiran al-Qur`an”, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Qur`an menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat berdasarkan logik akal semata-mata.

    5. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

    Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah S.A.W. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut Baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

    6. Sikap Terhadap Hukum

    Aliran pemikiran liberal memberikan kebebasan secara mutlak kepada individu, berdasarkan kepada prinsip hak asasi manusia, untuk mematuhi atau tidak mematuhi hukum hakam yang telah ditetapkan dalam syariat Islam, seperti memberi kebebasan kepada orang Islam untuk menutup atau membuka aurat, tidak melarang perlakuan persetubuhan tanpa nikah dengan persetujuan pasangan, membenarkan LGBT dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.