Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

348) ENAKMEN PERLADANGAN UNGGAS (NEGERI SELANGOR) 2007

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk membuat pindaan terhadap peruntukan Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 bagi mewajibkan penggunaan reban tertutup sebagai syarat utama mendapatkan lesen penternakan?

    Kerajaan Negeri memang berhasrat untuk membuat pindaan ke atas Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007.  Bagi tujuan ini, Unit Perancang Ekonomi (UPEN) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor)    telah di arahkan menyediakan Kertas Cadangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bertajuk Halatuju Penternakan Unggas Negeri Selangor.  Antara intipati-intipati kertas ini merangkumi:

    1. Pembangunan ladang ternakan unggas yang mampan dan lestari (termasuk Penggunaan reban tertutup sebagai syarat mendapatkan Lesen Perladangan Unggas Dan Aktiviti Berkaitan);
    2. Penukaran zon guna tanah daripada zon industri kepada zon pertanian (penternakan ayam);
    3. Penetapan zon guna tanah untuk penternakan ayam yang baharu;
    4. Syarat Nyata Tanah yang seragam iaitu Penternakan Darat (Ayam) di bawah kategori pertanian;
    5. Kebenaran Merancang (KM) dalam aspek fi dan tempoh kelulusan yang seragam;
    6. KM kekal bagi tujuan pembinaan ladang baharu (KM kekal) dan Permit Sementara Bangunan bagi ladang yang akan bermigrasi ke zon penternakan yang dibenarkan;
    7. Tempoh yang munasabah untuk ladang sedia ada (yang bukan dalam zon dibenarkan) bermigrasi ke zon penternakan yang dibenarkan;
    8. Tempoh yang munasabah untuk ladang (yang memang dalam zon dibenarkan) bermigrasi ke sistem reban tertutup;
    9. Penentuan zon penampan iaitu jarak yang sesuai ladang penternakan ayam dari kawasan penempatan, pendidikan, keagamaan, kesihatan, pelancongan dan beberapa jenis badan air; dan
    10. Beberapa perkara berkaitan lain yang turut berbangkit.

    Bagi tujuan penyediaan kertas MMKN ini, UPEN dan DVS Selangor telah menganjurkan sesi libat urus dengan semua PDT dan PBT pada 23 hingga 25 Oktober 2024.  Beberapa sesi lagi akan dilaksanakan pada tahun ini supaya semua pihak berkepentingan bersetuju dengan pindaan-pindaan yang bakal dibuat.

    Selepas MMKN meluluskan kertas ini, pihak Kerajaan Negeri akan membawa usul pindaan ke atas Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 kepada dewan yang mulia ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.