Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

17) ENAKMEN KEBEBASAN MAKLUMAT 2010

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat?

    Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 telah dikuatkuasakan mulai 5 Mac 2013 melalui pemberitahuan dalam Warta Sel P.U. 23 bertarikh 5 Mac 2013. Bersekali dengan penguatkuasaan Enakmen ini, dua undang-undang subsidiari di bawah Enakmen ini, iaitu Peraturan-Peraturan Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) (Akses Kepada Maklumat) 2012 dan KaedahKaedah Badan Maklumat Negeri (Negeri Selangor) 2012 turut berkuatkuasa pada tarikh berkenaan.

  2. Adakah pegawai-pegawai maklumat telah dilantik dan dilatih?

    Seramai 41 orang pegawai dari Jabatan-Jabatan negeri, Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan negeri dan Badan-Badan Berkanun negeri telah dilantik menjadi Pegawai Maklumat bagi jabatan masing-masing. Pelantikan ini telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke-11/2013 dan telah diwartakan dengan tarikh kuatkuasa pelantikan mulai 5 Mac 2013, iaitu tarikh kuatkuasa Enakmen. Pegawai-pegawai ini telah diberikan pendedahan dan latihan berhubung tugas-tugas Pegawai Maklumat dan peruntukan-peruntukan Enakmen melalui dua (2) siri latihan yang telah diadakan pada bulan Disember 2012 dan bulan Mac 2013 yang lalu.

  3. Adakah lembaga rayuan telah ditubuhkan?

    Lembaga Rayuan yang dikenali sebagai Badan Maklumat Negeri telah ditubuhkan sebagaimana keperluan seksyen 17 Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke-11/2013 telah meluluskan nama-nama calon yang dikemukakan untuk dilantik sebagai Pengerusi dan Ahli-Ahli Badan Maklumat Negeri tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.