Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

74) ENAKMEN KEBEBASAN MAKLUMAT

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status dan sejauh manakah Enakmen ini telah dilaksanakan terhadap agensi berkenaan?

    Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 telah dikuatkuasakan mulai 5 Mac 2013 melalui pemberitahuan dalam Warta Sel P.U. 23 bertarikh 5 Mac 2013. Bersekali dengan penguatkuasaan Enakmen ini, dua undang-undang subsidiari di bawah Enakmen ini, iaitu Peraturan-Peraturan Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) (Akses Kepada Maklumat) 2012 dan Kaedah-Kaedah Badan Maklumat Negeri (Negeri Selangor) 2012 turut berkuatkuasa pada tarikh berkenaan.

    Dengan berkuatkuasanya Enakmen ini, semua “jabatan” iaitu manamana jabatan Kerajaan Negeri, kerajaan tempatan (Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan) dan mana-mana entiti yang dimiliki atau dikawal sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri (iaitu Badan-Badan Berkanun dan anak-anak syarikat kerajaan negeri) sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 2 Enakmen adalah tertakluk kepada Enakmen ini dan berkewajiban untuk melaksanakan peruntukan-peruntukan Enakmen ini.

  2. Berapa ramaikah pegawai yang telah dilatih dan ditugaskan untuk membolehkan orang awam memperoleh maklumat yang berkepentingan awam seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen?

    Seramai 41 orang pegawai dari Jabatan-Jabatan negeri, Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan negeri dan Badan-Badan Berkanun negeri telah dilantik menjadi Pegawai Maklumat bagi jabatan masing-masing. Pelantikan ini telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke-11/2013 dan telah diwartakan dengan tarikh kuatkuasa pelantikan mulai 5 Mac 2013, iaitu tarikh kuatkuasa Enakmen. Pegawai-pegawai ini telah diberikan pendedahan dan latihan berhubung tugas-tugas Pegawai Maklumat dan peruntukan-peruntukan Enakmen melalui dua (2) siri latihan yang telah diadakan pada bulan Disember 2012 dan Mac 2013 yang lalu.

  3. Apakah program-program yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menggalakkan dan memberi informasi kepada orang awam bagi menggunakan Enakmen ini dengan sebaik mungkin?

    Fokus utama Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pada peringkat awal pelaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 adalah penyediaan infrastruktur-infrastruktur yang mencukupi dari segi perundangan, kesiapsiagaan Jabatan dan latihan pemahaman Enakmen untuk para Pegawai Maklumat.

    Selepas berkuatkuasanya Enakmen ini mulai 5 Mac 2013, beberapa langkah yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memberikan makluman mengenai Enakmen ini kepada orang ramai adalah seperti berikut:-

    • Sidang akhbar berhubung penguatkuasaan Enakmen dan penubuhan Badan Maklumat Negeri oleh Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, YB Cik Elizabeth Wong pada 25 Mac 2013;
    • Makluman mengenai penguatkuasaan Enakmen serta butiran perhubungan Pegawai-Pegawai Maklumat diletakkan di laman web Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor;
    • Poster dan pamplet makluman mengenai Enakmen ini akan ditampal dan diedarkan di setiap Jabatan negeri sebagai promosi dan panduan kepada orang awam; dan
    • Edaran pamplet dan / atau pembukaan booth bagi menyebarkan maklumat mengenai Enakmen ini semasa pelaksanaan program-program anjuran Kerajaan Negeri.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.