Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

270) ELAUN KETUA KAMPUNG & PETUGAS PWB

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peranan dan tanggungjawab tugasan setiap ketua kampung dan pegawai PWB DUN? senaraikan.

    Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dan komited terhadap pembangunan jentera pentadbiran akar umbi di Negeri Selangor. Antara jentera tersebut adalah Ketua Kampung dan Penyelia PWB

     

    Kerajaan Negeri melantik Ketua Kampung bagi memimpin dan mengetuai sesuatu kampung di Negeri Selangor. Pelantikan yang dibuat mengikut Pekeliling Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (Pekeliling Selangor Bil. 2 Tahun 1991).

     

    Ketua Kampung bertanggungjawab di atas kemajuan dan keselamatan kampungnya di samping mematuhi syarat dan peraturan-peraturan seperti berikut:

     

    1. Bertanggungjawab menyampaikan kepada penduduk kampung segala dasar-dasar Kerajaan dan menasihati mereka supaya mematuhi dan taat setia kepada Kerajaan yang memerintah di samping memberikan unjuran, galakan dan tegahan seperti berusaha ke arah kemajuan dan pembangunan diri, keluarga dan kampung, mengamalkan suruhan agama dan berpegang kepada adat resam bangsa yang bersesuaian dengan kehendak masa, menggalakkan orang-orang kampung membayar apa-apa hasil kepada kerajaan seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, memberikan bantuan yang munasabah kepada kakitangan Kerajaan yang menjalankan tiugas di dalam kampung, menggalakkan pembentukan semangat perpaduan dan kerjasama antara satu sama lain dan mencegah dan menjauhkan diri dari perbuatan jenayah.

     

    1. Hendaklah berunding dengan Penghulu Mukim terlebih dahulu bagi semua perkara yang berkaitan dengan hal ehwal kemajuan dan keselamatan kampung sebelum disampaikan kepada

     

    • Bahawa perkhidamatan sebagai Ketua Kampung adalah dikawal oleh peraturan-peraturan dan tatatertib yang ditetapkan oleh Kerajaan dari masa ke

     

    Kerajaan Negeri Selangor juga amat prihatin terhadap pembangunan dan memberdayakan wanita di Negeri Selangor. Justeru itu, bagi tujuan ini maka Kerajaan Negeri telah mewujudkan Pusat Wanita Berdaya (PWB) sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dengan golongan wanita di Negeri Selangor.

     

    PWB merupakan sebuah medan bagi memberdaya dan menggalakkan wanita disesebuah komuniti untuk bergiat aktif selain melaksanakan aktiviti yang boleh menjana pendapatan kepada komuniti tersebut melalui keusahawanan sosial. PWB diwujudkan di semua 56 kawasan Dewan Negeri (DUN) sebagai salah satu mekanisme dalam memenuhi misi pemberdayaan wanita Selangor.

     

    Setiap DUN ditugaskan seorang penyelia untuk memastikan kelancaran PWB itu sendiri. Maka peranan dan tanggungjawab para penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN adalah seperti berikut :-

     

    • Menjadi pemimpin wanita yang membawa hasrat dan agenda Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi;

     

    • Merancang, merangka dan menyelaras aktiviti/program pembangunkan dan pemberdayaan wanita setempat ;

     

    • Memastikan pengurusan kewangan dan segala pembayaran adalah mengikut prosedur kewangan Kerajaan Negeri yang sedang berkuatkuasa;

     

    • Mempromosi dan mendapatkan penyertaan komuniti setempat terutama golongan wanita bagi menjayakan setiap aktiviti/program yang dirancang oleh PWB DUN, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga serta lain-lain program Kerajaan Negeri di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES);

     

    • Melaksanakan aktiviti/program mengikut Sasaran Kerja Tahunan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita dan Keluarga diperingkat komuniti dan DUN;

     

    • Membantu menyelaras aktiviti/program turun padang Yang Berhormat Exco ke DUN-DUN terpilih;

     

    • Memantau dan mengemaskini aset dan peralatan asas yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa;

     

    • Mewujudkan pangkalan data wanita di kawasan setempat berdasarkan golongan wanita yang telah dikenalpasti;

     

    • Mengadakan mesyuarat PWB secara berkala bersama Ahli Jawatankuasa bagi memastikan pengurusan operasi PWB dan pelaksanaan aktiviti/program yang telah dirancang berjalan dengan lancar; dan

     

    • Memastikan keselamatan, kebersihan dan keharmonian PWB DUN dengan masyarakat setempat khususnya golongan wanita sentiasa terpelihara.
  2. Bagaimanakah kajian penilaian pemberian elaun serta imbuhan adalah seimbang dengan tugasan kedua jawatan ini?

    Kajian penilaian pemberian elaun serta imbuhan supaya seimbang dengan tugasan Ketua Kampung dan Penyelia PWB dilaksanakan dari semasa ke semasa adalah selaras dengan kompleksiti kerja dan tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri. Sebelum sesuatu cadangan dibuat pelbagai aspek perbandingan telah dilakukan, antaranya :-

    • perbandingan dari segi keluasan kampung dengan keluasan kawasan Dewan Negeri (DUN), dimana ketua kampung mengelola sesebuah kampung sedangkan penyelia PWB akan tumpu kepada wanita di kawasan DUN yang mempunyai beberapa buah kampung; dan

     

    • Perbandingan dari sudut masa bertugas pula, ketua-ketua kampung lebih fleksibel jika dibandingkan dengan penyelia PWB. Dimana penyelia PWB perlu menumpukan masa bersama-sama wanita setempat setiap masa, sama ada di premis PWB atau di pejabat Khidmat Masyarakat DUN yang mana menjadi pusat rujukan dan bantuan untuk kawasan Dewan Negeri tersebut. Selain itu, PWB juga terikat dengan syarat-syarat perjanjian lantikan mereka.
  3. Daripada portfolio mana dan kelulusan peruntukan ini diperoleh?

    Ketua Kampung adalah terletak di bawah portfolio Pembangunan Desa dan Kg. Tradisi. Peruntukan elaun untuk Ketua Kampung diperoleh setelah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 8/2015 yang bersidang pada 25 Februari 2015 melalui Kertas MMK.No.31/8/2015 yang telah memutuskan agar kadar elaun bagi Ketua Kampung Tradisi dan Ketua Kampung Baru di Negeri Selangor dinaikkan daripada RM800.00 kepada RM900.00.

     

    Manakala, penyelia PWB DUN adalah di bawah portfolio Hal Ehwal Wanita dan Keluarga. Sehubungan itu, kelulusan pelantikan penyelia PWB dan peruntukkan elaun mereka telah diperolehi melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang ke 13/2014 yang diadakan pada 2 April 2014 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 14/2014 pada 23 April 2014 dengan elaun sebanyak RM1,500 sebulan.

Lampiran

Tiada Lampiran.