Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

143) EKSPO RAYA SG BESAR (STADIUM)

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Siapakah pihak yang mengurus kendali ekspo tersebut?

    Kerajaan Negeri amat mengambil berat tentang perkembangan dan pembangunan industri mikro di Negeri Selangor. Selain program bantuan dana, Kerajaan Negeri menganjurkan karnival dan ekspo sebagai platform bagi usahawan dan pembeli bertemu (bussiness matching). Penganjuran karnival dan ekspo ini memberi peluang kepada peniaga untuk mempromosi dan memperkenalkan barangan mereka kepada orang ramai. Ekspo Raya yang telah diadakan di Stadium Sabak Bernam pada bulan Ramadhan yang lepas memberikan peluang kepada usahawan untuk berniaga dan menambah pendapatan. Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Daerah Sabak Bernam yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan Ekspo Raya Sungai Besar (Stadium) dan MDSB telah melantik Syarikat Ligat Bina Enterprise (001407257-U) untuk menyediakan kelengkapan dan prasarana bagi penganjuran program ini.

  2. Apakah kriteria pemilihan penganjur tersebut?

    Pemilihan penganjur telah dilaksanakan berdasarkan tatacara perolehan kewangan yang sedang berkuatkuasa. Sebanyak 6 syarikat telah membuat permohonan untuk menjadi pelaksana program ini. Syarikat Ligat Bina Enterprise telah terpilih kerana telah memberikan sebutharga yang terbaik dan pernah melaksanakan program sebegini sebelum ini. Selain itu, keputusan akhir pemilihan penganjur telah dibawa di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan di peringkat MDSB.

  3. Bagaimana isu-isu keselamatan dan kesihatan diambil kira oleh pihak penganjur?

    Isu-isu keselamatan dan kesihatan sangat diambil berat bagi program sebegini terutamanya yang melibatkan jualan makanan dan minuman. Peniaga-peniaga yang menyertai karnival ini terdiri daripada jualan makanan kering/siap pek seperti kerepek/kuih raya, aksesori, tekstil / pakaian persiapan raya (lelaki, wanita dan kanak-kanak) dan makanan sedia masak. Bagi peniaga yang mengendalikan makanan, peniaga perlu mempunyai pelalian typhoid, mempunyai lesen penjaja dan lain-lain keperluan yang telah ditetapkan oleh pihak PBT. Daripada segi keselamatan orang awam dan harta benda, beberapa petugas telah ditanggungjawabkan untuk memantau dan menyelia keadaan semasa karnival ini berlangsung.  Petugas-petugas terdiri daripada pegawai MDSB dan juga petugas khas daripada Syarikat Ligat Bina Enterprise.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.