Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

65) EKONOMI SELANGOR SELEPAS KENAIKAN HARGA MINYAK

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah kesan-kesan kenaikan harga minyak ke atas ekonomi Selangor?

    Petrol dan diesel merupakan bahan asas dalam aktiviti kehidupan masyarakat. Oleh itu,
    kenaikan harga bahan bakar ini memberi kesan langsung kepada ekonomi dan
    kehidupan seharian seluruh masyarakat.
    Kenaikan harga minyak menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di
    pasaran. Kenaikan ini membawa kepada kenaikan kadar inflasi di mana unjuran kadar
    inflasi di Malaysia ialah 5.5% – 6.0% bagi suku kedua tahun 2008 berbanding 2.5% –
    3.0% pada unjuran asal.
    Kenaikan harga minyak juga telah menyumbang untuk memperlahankan pertumbuhan
    ekonomi. Kadar pertumbuhan ekonomi dianggarkan pada kadar 5% sahaja berbanding
    anggaran terdahulu iaitu pada 5.5% – 6%. Ia juga memberi kesan kepada penurunan di
    dalam penggunaan (consumption). Perbelanjaan dalam negeri juga dijangka menurun
    dan akan memberi kesan kepada sektor pengilangan (manufacturing) yang merupakan
    tulang belakang ekonomi Negeri Selangor

  2. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengatasi kesan-kesan negatif ke atas ekonomi Selangor?

    Petrol dan diesel merupakan bahan asas utama dalam aktiviti kehidupan rakyat.
    Kenaikan harga bahan-bahan ini memberi kesan secara langsung kepada kenaikan
    harga barang-barang dan perkhidmatan kenaikan harga ini mengakibatkan kenaikan kos
    sara hidup.
    Kesan gandaan daripada kenaikan harga bahan bakar ini menjejaskan taraf dan kualiti
    hidup masyarakat dan seluruh rakyat Selangor. Kuasa beli rakyat menjadi
    berkurangan.
    Kerajaan Pakatan Rakyat sangat prihatin ke atas permasalahan ini dan oleh kerana
    itulah, Kerajaan akan berusaha membantu dan melaksanakan program-program yang
    akan memberi keuntungan dan faedah kepada rakyat Negeri Selangor. Antaranya
    adalah:
    i) Meneruskan program pemberian 20 meter padu air percuma kepada rakyat Negeri
    Selangor.
    ii) Melaksanakan program-program kebajikan iaitu:
    a) Program Mesra Usia Emas bagi membantu memberi manfaat kepada warga
    emas.
    b) Hadiah Anak Masuk Universiti kepada anak-anak Selangor yang melanjutkan
    pelajaran di peringkat diploma dan ijazah.
    c) Membuka tabung iaitu Tabung Warisan Anak Selangor di mana setiap anak
    kelahiran Selangor akan diberi RM100 melalui pelaburan di dalam tabung ini.
    d) Menyediakan tabung pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang bagi memberi
    bantuan pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang.
    e) Pewujudan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) bagi pembelaan terhadap
    wanita dan kanak-kanak yang teraniaya akibat masalah gangguan dan
    penderaan seksual serta keganasan rumah tangga.
    iii) Melaksanakan program peningkatan sumber hasil daripada pengeluaran bahan batuan
    dan mineral.
    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menggariskan usaha-usaha bersepadu bagi:
    i) Mempertingkatkan hasil pendapatan negeri melalui pemantapan program kutipan hasil
    dan penguatkuasaan yang berkesan di samping meneroka cara serta punca hasil baru
    Kerajaan Negeri.
    ii) Menguruskan perbelanjaan berdasarkan keutamaan dan kepakaran sebenar tanpa
    pembaziran.
    iii) Memastikan sumber negeri diuruskan secara bijaksana tanpa mengira bangsa.
    iv) Menyediakan kemudahan terutama peluang-peluang ekonomi bagi menjana
    pendapatan rakyat termasuk peluang-peluang berniaga kepada golongan wanita dan
    belia.
    v) Meneruskan pembangunan infrastruktur, pendidikan dan latihan kemahiran yang akan
    memberi manfaat optimum kepada rakyat.
    vi) Pembangunan modal insan untuk meningkatkan kecekapan produktiviti dan akauntabiliti
    dalam sektor awam.

Lampiran

Tiada Lampiran.