Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

11) EKONOMI SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana EMCO menjejas prestasi ekonomi dan pendapatan Negeri Selangor?

    PWN

    Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau EMCO yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam tempoh Jun dan Julai 2021 telah menjejaskan sektor pelancongan dan aktiviti hiburan di kawasan terlibat serta penutupan operasi kaunter kutipan hasil di jabatan/agensi Kerajaan Negeri Selangor. Secara perbandingannya, kutipan hasil pada bulan Jun dan Julai 2021 adalah masing-masing sebanyak RM65.9 juta dan RM148.2 juta sahaja berbanding hasil Negeri yang dikutip pada bulan Januari hingga Mei 2021 yang mencapai kutipan berjumlah RM1,250.6 juta dengan kutipan purata sebanyak RM250.12 juta sebulan.

    SEKSYEN MAKRO

    Izinkan saya menjawab soalan ini bersama-sama soalan yang diterima daripada YB Sementa (No.125), YB Banting (No.244) dan YB Sungai Burong (No.26) memandangkan kesemua soalan yang diutarakan membangkitkan isu kesan penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat terhadap ekonomi negeri Selangor.

    Berdasarkan laporan pertengahan tahun 2021 World Economic Situation and Prospects (WESP), ekonomi global semasa dijangka berkembang 5.4 peratus pada 2021 setelah penurunan mendadak pada kadar 3.6 peratus pada tahun 2020. Output ekonomi di kebanyakan negara dijangka hanya akan kembali ke tahap pra-pandemik pada tahun 2022 atau 2023. Manakala International Monetary Fund (IMF) pula berdasarkan unjuran terkini yang diterbitkan pada Julai 2021 meramalkan pertumbuhan global dijangka meningkat kepada 6.0 peratus pada 2021 dan 4.4 peratus pada 2022. Prestasi KDNK Malaysia pada tahun 2020 menyusut negatif 5.6 peratus berbanding pertumbuhan positif 4.4 peratus pada tahun 2019 dipengaruhi oleh kejatuhan semua sektor ekonomi, manakala prestasi KDNK negeri Selangor pula mencatatkan pertumbuhan negatif 5.3 peratus pada tahun 2020 berbanding pertumbuhan positif 6.8 peratus pada tahun 2019.

    Sebelum COVID-19 melanda, daya saing Negeri Selangor sebagai sebuah wilayah di dalam ekonomi nasional menunjukkan tren yang sangat memberangsangkan dengan kadar peratusan sumbangan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi 20 peratus saban tahun. Tren positif ini menunjukkan secara keseluruhannya Selangor mempunyai kelebihan kompetitif yang antara lain disebabkan oleh kelebihan lokasi, dasar kerajaan, infrastruktur lengkap dan lain-lain faktor yang berfungsi sebagai penggalak kepada pertumbuhan sektor-sektor berkenaan. Ini bermakna kadar pertumbuhan kebanyakan sektor yang merekodkan nilai positif di peringkat nasional bergerak lebih perlahan jika dibandingkan dengan Negeri Selangor yang tumbuh dengan lebih cepat. Kesemua sektor yang merekodkan nilai positif adalah merupakan sektor utama (leading sectors) untuk Selangor seperti sektor perkhidmatan dan pembuatan.

    Pandemik ini telah mengakibatkan kemerosotan kepada ekonomi dunia. Kesan yang lebih ketara terhadap ekonomi negara berlaku apabila PKP 1.0 dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Pada pusingan pertama, gangguan terhadap ekonomi bermula dari kejutan penawaran domestik. Aktiviti pengeluaran bukan sahaja terganggu kerana kegagalan mendapatkan input barangan perantaraan dari China, malah gangguan yang lebih serius adalah kerana penutupan atau pengurangan operasi berpunca dari PKP. Dalam pada itu, kegagalan untuk memperoleh input perantaraan dari EU dan Amerika Syarikat turut berlaku apabila mereka turut melaksanakan lockdown.

    Pelaksanaan PKP memberi kesan kepada ekonomi dalam bentuk pengurangan pengeluaran barangan dan perkhidmatan oleh sektor ekonomi dan peningkatan pengangguran selain menyebabkan sesetengah golongan pekerja kehilangan pendapatan. Antara lain, aktiviti perdagangan kecil-kecilan terbantut, pekerja kontrak kehilangan pendapatan dan pelbagai lagi kekangan terhadap aktiviti ekonomi yang memberi kesan kepada pendapatan individu. Penurunan pendapatan individu diterjemah secara langsung kepada penurunan penggunaan swasta di dalam ekonomi domestik yang merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi terpenting sejak kebelakangan ini. Apabila sektor ekonomi ditutup, bilangan rakyat yang menganggur meningkat. Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) di Selangor menurun 0.6 mata peratus daripada 76.0 peratus pada tahun 2019 kepada 75.4 peratus pada tahun 2020. Sementara itu, kadar pengangguran di Selangor meningkat kepada 4.3 peratus pada tahun 2020. Kesan PKP menyeluruh juga lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan pekerja sektor informal selain pekerja di sektor pembuatan dan perkilangan yang menggaji golongan berpendapatan rendah. Kesan akibat daripada pelaksanaan PKP ke atas ekonomi dan pekerjaan ini dapat dilihat secara jelas sepanjang 2020 dan awal tahun 2021.

    Semasa PKP 1.0 dilaksanakan, 68 peratus perniagaan melaporkan tiada jualan atau hasil semasa dan 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih daripada enam bulan untuk pulih dan dua daripada tiga perniagaan mempunyai atau menanggung tunggakan hutang dalam tempoh enam bulan. Pembukaan semula aktiviti ekonomi selepas tempoh PKP 1.0 menurunkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.9 peratus pada Jun 2020. Apabila beberapa negeri utama yang menjadi tulang belakang ekonomi negara terutamanya negeri Selangor dikenakan PKPB dan PKPD pada sukuan keempat 2020, kadar pengangguran meningkat daripada 4.7 peratus pada Oktober kepada 4.8 peratus pada Disember. Pelaksanaan PKP 2.0 pada pertengahan Januari 2021 memberi kesan sederhana kepada ekonomi berbanding kesan pelaksanaan PKP 1.0. Hal ini kerana PKP 2.0 membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi beroperasi dengan pematuhan SOP.

    Ekoran situasi ini, jalan penyelesaian yang terbaik dalam mengimbangi antara melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat adalah secara PKP yang bersasar dan diperketatkan dan bukan PKP secara menyeluruh sepertimana yang telah dilaksanakan pada PKP 2.0 dan PKP 3.0 bagi memastikan ekonomi negara berada pada landasan pemulihan yang progresif. Bagi negeri Selangor kesan yang dihadapi adalah amat ketara. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melaporkan sejumlah 32,469 usahawan kecil dan sederhana telah menutup operasi sejak PKP bermula pada Mac 2020. Negeri Selangor mempunyai jumlah konsentrasi IKS tertinggi di Malaysia dan ini menjadikan sektor ekonomi di Selangor amat terkesan.

    Ekosistem ekonomi yang kondusif disertai dengan kemudahan infrastruktur dan dasar mesra pelabur telah menjadi ciri unggul Negeri Selangor. Namun begitu sudah tentu untuk keluar daripada cabaran pandemik ini dasar dan inisiatif baharu perlu dirangka agar Negeri Selangor terus menjadi destinasi utama pelaburan di Malaysia yang stabil dan dapat mencipta peluang pekerjaan yang lebih berkualiti kepada rakyat seluruhnya. Bagi kembali merancakkan sektor ekonomi, Kerajaan Negeri sedang menggiatkan usaha bagi menggalakkan ekonomi berasaskan pengetahuan di pusat pertumbuhan strategik yang antaranya merangkumi perkhidmatan sokongan industri, perkhidmatan logistik berintegrasi, perkhidmatan berteraskan ICT, perkhidmatan perdagangan profesional dan perkhidmatan pengagihan barangan. Walaupun terdapat potensi pertumbuhan ekonomi akan meningkat, kadar dan kekuatan pemulihan akan terus terdedah kepada risiko yang berpunca daripada faktor dalam negeri dan faktor luaran. Pertumbuhan mungkin berpotensi untuk meningkat sekiranya langkah-langkah rangsangan ekonomi dan program yang dirancang dapat memberikan impak yang lebih besar daripada jangkaan termasuklah sekiranya negara berjaya mengawal dengan cekap penularan pandemik COVID-19.

  2. Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi usaha pemulihan ekonomi di Negeri Selangor?

    Izinkan saya menjawab soalan ini bersama-sama soalan yang diterima daripada YB Sementa (No.125), YB Seri Kembangan (No.14), YB Sungai Burong (No.26) dan YB Permatang (No.233) memandangkan kesemua soalan yang diutarakan membangkitkan mengenai langkah, strategi dan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memulihkan ekonomi negeri Selangor.

    Pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada negara dengan ketara bermula April 2020. Semua pihak termasuk negeri Selangor terkesan dari sudut sosial dan ekonomi oleh langkah dan prosedur operasi ketat yang dilaksanakan. Dalam usaha untuk menangani penularan wabak, meringankan beban rakyat dan memastikan ekonomi serta pembangunan negeri terus meluncur laju walaupun dihimpit pandemik, pada tahun 2020, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi – Selangor Prihatin Pertama, Kedua dan Ketiga. Fasa Gempur COVID dengan sembilan (9) inisiatif dan nilai kewangan sebanyak RM127.78 juta telah diumumkan pada 20 Mac 2020. Seterusnya, pada 1 April 2020, Pakej Rangsangan Prihatin 2 dengan sebelas (11) inisiatif telah diumumkan untuk menampan kesan langsung wabak, manakala pakej ketiga diumumkan pada 13 Julai 2020. Ketiga-tiga pakej rangsangan ini dibiayai oleh peruntukan Kerajaan Negeri, sumbangan Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor ini ialah RM55.85 bilion.

    Bagi fasa pertama, bantuan kewangan diberikan secara terus kepada rakyat dan wira barisan hadapan petugas kesihatan, keselamatan dan media. Fasa kedua merupakan usaha tambahan bagi menangani isu-isu sosial atau social impact serta usaha ekonomi bagi mengadaptasi kepada norma baharu kehidupan. Pelaksanaan ketiga pula adalah sebagai satu daya tahan atau economic resilience untuk Negeri Selangor membangunkan semula ekonomi setelah mengalami kejutan secara mendadak. Di bawah fasa ketiga, Kerajaan Negeri membangunkan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang menekankan kepada tiga (3) tonggak utama dalam menangani impak COVID-19. Pertama, Jaminan Bekalan Makanan (food security), kedua, Kemampanan Ekonomi ataupun economic stability dan ketiga, Pembangunan Keupayaan ataupun capacity building.

    Usaha yang telah dirangka menerusi Pakej Selangor Prihatin dan Belanjawan Negeri 2021 diteruskan melalui pelancaran Pakej Kita Selangor 1.0 pada 20 Januari 2021. Pakej yang menyenaraikan dua belas (12) inisiatif bantuan rakyat dan memberi implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta kepada Kerajaan Negeri ini dirangka untuk memastikan suatu keseimbangan di antara bantuan kepada mereka yang memerlukan dan upaya merancakkan ekonomi. Antara intipati utama pakej ini merangkumi bantuan khas rakyat sepanjang PKP 2.0, usaha merangsang ekonomi, bantuan kepada mangsa banjir dan tabung khas COVID-19. Pada 9 Jun 2021, Pakej Kita Selangor 2.0 diumumkan berteraskan tiga (3) strategi meliputi dua puluh lima (25) program dengan nilai sejumlah RM551.56 juta yang dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor. Tiga (3) strategi tersebut merangkumi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat, menyelamatkan industri dan sektor ekonomi serta usahawan di Selangor dan kawalan kesihatan untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

    Kesemua inisiatif yang dilaksanakan ini dijangka mampu merangsang ekonomi dan memberi impak yang menyeluruh dalam membangunkan semula ekonomi negeri Selangor. Negeri Selangor sebagai salah satu negeri penyumbang KDNK terbesar Malaysia perlu segera menyediakan pemangkin untuk merangsang ekonomi dalam sektor-sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negeri Selangor. Oleh yang demikian, beberapa solusi kitaran ekonomi untuk pemulihan juga telah dirangka seperti berikut:

    1. Meningkatkan kecairan tunai penyedia perkhidmatan/kontraktor melalui Program Selangor Advanced dengan pembiayaan RM100 juta;
    2. Pemulihan tenaga kerja (upskilling) menerusi Program Youth Economy Smart Selangor (YESS) dengan penciptaan sekurang-kurangnya 10 ribu peluang pekerjaan yang melibatkan lokaliti Dewan Negeri Selangor;
    3. Merancakkan pembangunan hartanah menerusi penambahbaikan polisi pembangunan Rumah Mampu Milik termasuklah meningkatkan jumlah kediaman (availability) rumah untuk Smart Sewa;
    4. Usahawan Digital menerusi Program Digital Selangor yang bermatlamat untuk memacu ekonomi negeri menerusi inisiatif digitalisasi agar ekonomi negeri dapat memberi penciptaan nilai baharu kepada masyarakat;
    5. Konsep Pertanian 4.0 yang menjurus kepada kaedah pertanian masa hadapan seperti precision agriculture (penggunaan peralatan moden dan teknologi GPS), penanaman secara fertigasi dan kaedah tanaman menegak (vertical agriculture) dalam memastikan bekalan makanan atau food security negeri Selangor berada dalam tahap yang selamat dan dalam masa sama meningkatkan pendapatan agropreneur serta amalan pertanian lestari (sustainable agriculture);
    6. Penambahbaikan pengurusan terimaan hasil Kerajaan Negeri termasuklah usaha-usaha untuk memberi kemudahan kepada pemaju/individu bagi membayar premium tanah secara berperingkat tanpa menjejaskan hasrat untuk pemajuan tanah. Selain itu, strategi ini juga akan meningkatkan sistem penyampaian Kerajaan Negeri dalam pengurusan terimaan hasil;
    7. Usaha Kerajaan Negeri turut melibatkan industri kecil dan sederhana di Negeri Selangor di mana Kerajaan Negeri membantu bebanan kos syarikat-syarikat IKS menerusi Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja. Usaha ini adalah langkah pertama syarikat-syarikat IKS merebut kesempatan untuk meningkatkan persaingan digitalisasi dan revolusi industri 4.0;
    8. Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasakan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat Negeri Selangor Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya melalui pembangunan infrastruktur air yang lestari dengan penerbitan Sukuk Kelestarian Air Selangor di bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment Sukuk, SRI Sukuk). Nilai sukuk yang akan diterbitkan berjumlah sehingga RM10 bilion dengan tempoh matang antara 1 hingga 20 tahun. Hasil daripada penerbitan sukuk ini akan digunakan untuk membiayai infrastruktur air mesra alam.

    Usaha-usaha ini dijangka dapat membantu Kerajaan Negeri untuk merancakkan ekonomi Negeri Selangor yang menjadi tunjang kepada ekonomi negara. Selain itu, Kerajaan Negeri juga melaksanakan instrumen kawalan perbelanjaan yang berhemah berteraskan konsep integriti dan mengekang perbelanjaan yang tidak perlu supaya pengurusan perolehan memberikan pulangan terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan (value for money). Sehingga kini, tiada jangka masa tertentu yang dapat diberikan oleh mana-mana pihak dalam menentukan pemulihan ekonomi di dalam negara mahupun di Negeri Selangor. Pemulihan tersebut bergantung kepada pelbagai faktor luaran dan dalaman yang perlu dititikberatkan oleh semua pihak terlibat sama ada pihak kerajaan, penggiat industri mahupun rakyat. Walau bagaimanapun, negeri Selangor sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara tidak punya pilihan lain melainkan menjadi peneraju yang merintis jalan ke arah pemulihan yang pantas. Demi merealisasikan cita-cita ini kita memerlukan sokongan setiap individu, setiap institusi serta agensi kerajaan dan pentingnya Kerajaan Negeri mempunyai hubungan simbiotik yang profesional demi kebaikan rakyat negeri Selangor khususnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.