Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

210) EKONOMI LUAR BANDAR

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan statistik dan indikator pencapaian ekonomi rakyat luar bandar di Selangor ?

    Anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Selangor mempunyai taburan penduduk yang tertinggi di Malaysia dengan jumlah 5.72 juta penduduk. Daripada jumlah berkenaan, 92.3% taburan penduduk adalah di kawasan bandar manakala 7.7% taburan penduduk adalah di kawasan luar bandar yang kebanyakannya meliputi kawasan-kawasan seperti di Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sabak Bernam.

    Faktor pertumbuhan ekonomi setempat telah memperluaskan peluang-peluang pekerjaan dalam sektor-sektor bukan tradisional yang membolehkan golongan miskin mempelbagaikan sumber pendapatan mereka di samping mengurangkan pergantungan kepada aktiviti-aktiviti tradisional yang berpendapatan dan berproduktiviti rendah sekaligus membantu dalam peningkatan ekonomi rakyat luar bandar. Selain daripada itu, kepesatan sektor perkhidmatan dan perindustrian juga telah memberi manfaat kepada ekonomi rakyat luar bandar di Selangor.

  2. Apakah strategi dan pelan tindakan kerajaan untuk memajukan sektor ekonomi luar bandar ?

    Pembangunan Desa bukan merupakan satu projek yang boleh dilihat secara sendiri. Kerajaan Negeri ingin mengutarakan matlamat untuk menjalankan pembangunan desa secara holistik ini dengan kaedah mengambil kira soal pandangan dari kumpulan pelaksana, kerjasama daripada pembuat dasar, dan juga agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan Pejabat Daerah. Pada masa yang sama, matlamat utama yang ingin diutarakan oleh Kerajaan Negeri ialah untuk mengurangkan jurang pendapatan serta menanam nilai keempunyaan projek tersebut dalam diri masyarakat kampung. Pada masa ini, kaedah yang dilaksanakan dalam membantu membangunkan masyarakat kampung ialah dengan memberi insentif dan bantuan. Kerajaan Negeri ingin mengubah konsep ini kearah satu konsep yang menyeluruh dan holistik bagi memastikan pembangunan kampung setanding dengan pembangunan di kawasan bandar.

  3. Selain bidang pertanian, apakah bidang-bidang lain yang akan diwujudkan untuk meningkatkan ekonomi rakyat luar bandar ?

    Dalam sesebuah masyarakat, kita mempunyai pemimpin bagi mengetuai komuniti atau masyarakat. Adalah tidak dinafikan bahawa golongan belia merupakan pelapis yang akan menjadi pemimpin masyarakat di masa hadapan. Bagi membantu belia-belia di desa lepasan SPM yang tidak mendapat tempat di institusi-institusi pengajian tinggi, Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif dengan melaksanakan Program Kemahiran Teknikal Belia Negeri Selangor. Dalam program ini, seramai lima (5) orang belia yang memenuhi syarat akan ditawarkan untuk mengikuti kursus kemahiran sama ada dalam bidang elektrikal, lif, perpaipan, penyaman udara atau perladangan. Mereka akan ditempatkan untuk mengikuti pengajian di institusi kemahiran teknikal yang dilantik oleh Kerajaan Negeri. Jangka masa program ini adalah di antara (enam hingga dua belas) 6-12 bulan. Setelah tamat mengikuti kursus-kursus ini, para belia akan dilantik bekerja dalam bidang perladangan dan penjagaan bangunan mengikut bidang yang diceburi. Hal ini secara tidak langsung dapat memberi peluang pekerjaan dan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi di luar bandar.

Lampiran

Tiada Lampiran.