Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

174) EKONOMI JAGAAN BAGI BELIA B40

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri membantu belia B40 menampung kos memulakan hidup seperti perbelanjaan perkahwinan, perbelanjaan keperluan bayi hingga 3 tahun dan kos jagaan anak?

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil maklum untuk menambah baik keadaan ekonomi Generasi Muda Selangor dengan merangka pelbagai program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) antaranya seperti RIDE, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar dan Program Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS). Bantuan untuk memulakan hidup kepada belia bukan saja dalam bentuk kewangan, tetapi juga dalam bentuk perkhidmatan yang membantu golongan belia meningkatkan kemahiran dan menambah pendapatan sedia ada.

    Kerajaan Negeri memberikan bantuan berbentuk kewangan (cash assistance) untuk mengurangkan beban perbelanjaan keluarga termasuk golongan belia melalui Bantuan Kehidupan Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS). Bantuan berjumlah RM300 sebulan ini dapat mengurangkan beban dengan membantu ketua keluarga membeli barangan keperluan asas termasuk barang keperluan bayi dan kanak-kanak, peralatan pendidikan bagi pelajar dan barang keperluan asas yang lain.

    Melalui program Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar atau ASUH PINTAR, Kerajaan Negeri membantu meringankan beban kos penjagaan kanak-kanak khususnya untuk golongan B40. Bantuan ini merupakan program subsidi yuran taska/nurseri sebanyak RM100 sebulan bagi keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah. Pembayaran bantuan akan terus dibayar kepada taska/nurseri tempat anak dijaga.

    Bagi membantu anak muda berumur 17-40 tahun yang terlibat secara sepenuh masa bekerja sebagai rider E-Hailing, Kerajaan Negeri menyediakan Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE).  Inisiatif ini menawarkan subsidi bernilai RM500.00 seorang dan RM50.00 caruman KWSP.

    Bagi anak muda yang berminat mengembangkan perniagaan, Kerajaan Negeri menyediakan Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS). Program khas ini memberikan bantuan dalam bentuk mesin atau peralatan untuk membantu usahawan muda di Negeri Selangor meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

    Selain itu, bantuan dalam bentuk peningkatan kemahiran seperti Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk memberi bimbingan secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), PKNS untuk menjalankan program ini.

    Program BPU PKNS bukan sahaja menumpukan pembangunan usahawan-usahawan muda dari umur 21 hingga 45 tahun dari kategori usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana, tetapi juga turut menjalankan program-program keusahawanan bermodul untuk pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah bagi membudayakan keusahawanan dalam kalangan peserta-peserta program.

    Kerajaan Negeri juga menyediakan kemudahan pinjaman kepada golongan belia untuk berniaga iaitu Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor. HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2020. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    Kerajaan Negeri buat masa ini tiada bantuan bagi tujuan perbelanjaan perkahwinan.

Lampiran

Tiada Lampiran.