Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

44) EKONOMI IKS DAN PENJAJA

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah perancangan Kerajaan Negeri memberi bantuan tambahan bagi membantu ekonomi IKS terutamanya penjaja mendepani ramalan cuaca kerap hujan sekitar November 2022 hingga Mac 2023?

    Berdasarkan keadaan semasa Kerajaan Negeri masih mengekalkan bantuan Kerajaan sedia ada. Namun Kerajaan Negeri akan memfokuskan bantuan kepada rakyat yang mengalami musibah banjir.  Setiap kawasan yang mengalami bencana akan diberikan bantuan asas hidup tanpa mengira bangsa.  Bencana banjir merupakan fenomena tahunan yang tidak dapat dielakkan.  Justeru, fokus utama Kerajaan Negeri ketika fenomena ini adalah kepada rakyat secara keseluruhannya.  Walau bagaimanapun usahawan yang mempunyai pinjaman kewangan boleh membuat perbincangan dan penyelarasan bayaran bulanan kepada pihak bank atau pemberi mikrokredit berkaitan.

  2. Adakah sedikit kelonggaran akan diberikan Hijrah Selangor dalam meringankan beban peminjam dalam situasi tersebut nanti?

    Berdasarkan rekod, Yayasan Hijrah Selangor pernah memberi moratorium kepada semua peminjam ketika berlakunya pandemik Covid-19 iaitu pada bulan Mac 2020 hingga Jun 2020 (3 bulan) dan pada bulan Jun 2021 hingga Julai 2021 (1 bulan setengah) dengan persetujuan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hijrah Selangor (ALPA YHS) dan Kerajaan Negeri. Sekiranya berlaku situasi ramalan tersebut, peminjam boleh membuat perundingan dengan Hijrah Selangor untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman jika keperluan mendesak.

Lampiran

Tiada Lampiran.