Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
147) EKONOMI HYDROGEN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk melibatkan diri serta menyumbang kepada ekonomi Hidrogen?
Dengan pengumuman Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor bersedia dan sedang mengorak langkah melalui penggemblengan usaha bersepadu dengan penglibatan Jabatan dan Agensi Negeri untuk menjadikan Negeri Selangor negeri peneraju dalam konteks peralihan tenaga dengan mengetengahkan potensi dan ketersediaan Negeri Selangor untuk menarik pelaburan global dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau bagi memacu peralihan tenaga.
Adalah menjadi satu keperluan kepada Kerajaan Negeri untuk meneroka industri hidrogen hijau sebagai sumber tenaga hijau di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, dalam mencapai visi dan misi ini, Kerajaan Negeri perlu memastikan ketersediaan dari aspek kebolehlaksanaan projek-projek tenaga, kemampuan kewangan, modal insan, infrastruktur dan lain-lain berkaitan. Perancangan bagi melaksanakan ekonomi hidrogen dalam konteks tempatan perlu dilakukan secara teliti dan seiring dengan situasi ekonomi semasa.
Ahli Yang Berhormat, paling utama adalah ketersediaan ekosistem yang komprehensif dan dipacu oleh teknologi tinggi serta penerimaan komuniti tempatan terhadap transisi penggunaan hidrogen. Langkah-langkah ini perlu dilaksanakan dengan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menilai tahap ketersediaan dengan mengambil kira aspek-aspek tersebut agar pelan yang akan dibangunkan akan lebih sistematik, berfokus dan strategik.
Kerajaan Negeri percaya, inisiatif ini akan meletakkan sektor tenaga
di Negeri Selangor sebagai pemangkin utama kemampanan sosio-ekonomi dalam mencapai kemakmuran bersama dan menjadi negeri yang paling maju mengaplikasikan green economy yang akan meningkatkan sumbangan KDNK negeri, mewujudkan pekerjaan kepada rakyat, menarik pelaburan asing dan memperkukuh kemampanan ekonomi negeri. Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan kerjasama strategik, pelaburan dan jaringan kerjasama dengan organisasi awam dan swasta dalam bidang kajian dasar dan regulatori, kemudahan bersepadu, logistik dan infrastruktur, demonstrasi teknologi dan inovasi komponen tempatan yang akan memberi nilai tambah kepada ekonomi hidrogen.