Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
12) EKONOMI GIG
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah prestasi program BikeCare-1000 Negeri Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat Sijangkang, program Bike Care – 1,000 ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi menggalakkan rakyat di negeri Selangor untuk menyertai perkhidmatan penghantaran dan pembungkusan, seterusnya menjana pendapatan di bawah ekonomi Gig. Program ini diperkenalkan pada tahun 2022 dengan mensasarkan pekerja yang telah kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan semula pekerjaan dalam suasana baharu sebagai pekerja di bawah ekonomi Gig. Namun, program ini terbuka kepada mereka yang berminat untuk menjadi pekerja ekonomi Gig.
Pemberian sumbangan adalah berbentuk wang pendahuluan (deposit) berjumlah RM1,000.00 kepada setiap penerima yang layak untuk membeli sebuah motosikal bersesuaian. Setiap permohonan bantuan di bawah Program Bike Care – 1,000 adalah melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) iaitu satu unit khas yang ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia yang berperanan dalam membantu melancarkan pelaksanaan program-program yang dirancang.
Bagi tahun 2022, sebanyak hampir 200 permohonan telah diterima dan diproses. Daripada keseluruhan permohonan tersebut, seramai 100 orang telah dipertimbang dan diluluskan untuk mendapat manfaat di bawah program ini. Manakala bagi tahun 2023, seramai 200 orang telah dipertimbangkan dan diluluskan untuk menerima manfaat. Majlis penyerahan motosikal kepada penerima manfaat 2023 telah dilaksanakan pada bulan Ogos 2024 yang lalu.
Untuk makluman ahli Yang Berhormat, Program Bike Care – 1,000 ini tidak diteruskan pada tahun 2024 oleh Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia bagi memberi fokus kepada program lain yang lebih sesuai dengan peranan dan fungsinya.
-
Sejauh manakah Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) benar-benar menjadi pemangkin kerjaya jangka panjang anak-anak muda Selangor?
Untuk makluman ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor merupakan pentadbiran yang paling awal mengiktiraf peranan penunggang p-hailing. Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang telah berjaya dilaksanakan di bawah stanco Belia, Sukan & Keusahawanan sejak tiga (3) tahun kebelakangan ini telah memberi penghargaan kepada seramai 9,000 orang penggiat p-hailing. Walau bagaimanapun, bantuan yang telah disalurkan kepada penerima adalah secara one-off sahaja.
Namun, pada masa yang sama penggiat p-hailing perlu meningkatkan taraf kehidupan dan tidak terus bersandar kepada ekonomi gig. Mereka juga tidak boleh menganggap ini sebagai satu pendapatan yang tetap kerana ekonomi gig adalah pasaran pekerjaan yang tidak tetap. Walaupun terdapat beberapa kelebihan dalam industri ini, namun apa yang lebih membimbangkan adalah penggiat ekonomi gig ini berisiko berhadapan dengan beberapa kekurangan antaranya isu pendapatan yang tidak stabil, kekurangan faedah insurans, caruman KWSP dan sebagainya serta keselamatan yang menjadi taruhan setiap individu khusus bagi yang menggunakan motosikal.
Oleh itu, bagi memastikan setiap individu penerima boleh membina kerjaya baharu, Kerajaan Negeri di bawah stanco Belia, Sukan & Keusahawanan bercadang untuk membuka peluang latihan dan pemantapan kemahiran melalui agensi seperti Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dan institusi pendidikan tinggi seperti UiTM dan UNISEL.