Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
265) EKONOMI DIGITAL
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mu'izzuddeen Bin Mahyuddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan cabaran Kerajaan Negeri menggalakkan penggunaan teknologi pembayaran secara QR dan atas talian bagi pengusaha runcit dan kedai makan di Selangor.
Cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam menggalakkan penggunaan teknologi pembayaran QR dan atas talian di kalangan peniaga kecil seperti pengusaha runcit dan kedai makan adalah seperti berikut :
- Kurangnya Pengetahuan Digital: Ramai pengusaha, terutama golongan berusia, kurang mahir menggunakan teknologi digital dan bimbang tentang keselamatan serta ketahanan system.
- Kekurangan Infrastruktur: Tidak semua pengusaha mempunyai internet yang laju atau peranti seperti telefon pintar yang diperlukan untuk menerima pembayaran digital, terutamanya di kawasan yang liputan internetnya lemah.
- Keutamaan Pengguna Masih pada Tunai: Ramai pelanggan masih lebih selesa membayar dengan tunai, terutama untuk pembelian kecil, dan ada yang kurang percaya dengan keselamatan transaksi digital.
- Kos Transaksi: Beberapa platform pembayaran mengenakan yuran kepada peniaga, yang dirasakan sebagai beban tambahan, terutama bagi peniaga yang beroperasi dnegan keuntungan kecil.
- Risiko Keselamatan dan Gangguan Teknikal: Pengusaha bimbang tentang ancaman keselamatan siber atau gangguan teknikal yang boleh mengganggu perniagaan harian. Mereka memerlukan latihan dan pendedahan untuk memahami dan lebih yakin menggunakan kaedah ini.
Bagi mengatasi cabaran ini, Kerajaan Negeri boleh meyediakan latihan digital, bantuan infrastruktur, dan kempen kesedaran bagi menggalakkan lebih ramai peniaga kecil beralih kepada pembayaran digital.
-
Nyatakan jumlah perusahaan yang telah menggunakan teknologi pembayaran atas talian mengikut daerah.
Lebih daripada 80% peniaga di Selangor kini menggunakan pembayarna digital dalam operasi harian mereka. Peningkatan ini merupakan hasil daripada inisiatif dan kempen berterusan oleh Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan mempercepatkan penggunaan e-pembayaran dalam kalangan peniaga mikro, kecil, dan sederhana di seluruh negeri. Walaubagaimanapun jumlah mengikut pecahan daerah adalah tidak dapat diperolehi.