Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

92) EKONOMI DIGITAL

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah ekonomi digital menyumbang kepada prestasi ekonomi atau pelaburan di Selangor?

    Bagi tempoh Januari hingga September 2023, sebanyak 75 projek bagi industri teknologi maklumat dan telekomunikasi (Information & Communications) telah diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM 5,416,293,265 (RM 5.42 bilion). Dari jumlah ini, sebanyak RM 3,270,531,885 (RM 3.27 bilion) adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM 2,145,761,380 (RM 2.15 bilion) daripada pelaburan asing. Sebanyak 4,940 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan. Industri ini menyumbang sebanyak 22% kepada jumlah pelaburan dalam sektor perkhidmatan di Selangor.

    Berdasarkan trend semasa, pelaburan dalam industri ini menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan dimana industri merekodkan pertumbuhan 5% pada suku pertama tahun 2023, meningkat kepada 15% pada suku tahun kedua dan peningkatan sebanyak 39% pada suku tahun ketiga tahun 2023. Pertumbuhan yang positif ini menggambarkan sektor ekonomi digital adalah sektor yang perlu diberikan penekanan bagi memastikan perkembangan ekonomi yang mampan di Negeri Selangor.

  2. Apakah usaha-usaha kerajaan dalam pembangunan ekonomi digital?

    Antara usaha – usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam membangunkan ekonomi digital terangkum dalam penyediaan polisi serta perlaksaan inisiatif – inisiatif yang dibawah Rancangan Selangor Pertama (RS1).

    Selain itu, agensi – agensi khusus turut diwujudkan dibawah Kerajaan Negeri yang berperanan untuk merancang dan melaksanakan inisiatif – inisiatif digital di Negeri Selangor seperti penubuhan SSDU yang memberi tumpuan kepada pembangunan inisiatif bandar pintar yang meningkatkan kualiti hidup penduduk dan menggalakkan pembangunan ekonomi digital. Dengan memanfaatkan teknologi seperti Internet of Things (IoT), analitik data besar (‘big data analytics’) dan kecerdasan buatan (AI), SSDU menyasarkan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber, meningkatkan kecekapan dan mencipta persekitaran kondusif bagi memacu ekonomi digital. Beberapa program telah dilaksanakan dan masih dilangsungkan sehingga kini seperti Smart Selangor SME Platform yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan dan peningkatan prestasi Perusahaan Kecil dan Sederhana di Selangor melalui automasi pengurusan dan operasi perniagaan, pemasaran digital dan juga e-dagang.

    Disamping itu, Kerajaan Negeri juga menubuhkan SIDEC yang berperanan membantu usahawan IKS dalam menyediakan latihan – latihan yang berkaitan dalam ekonomi digital. Antara program – program yang dilaksanakan seperti Selangor Accelerator Program yang memfokus kepada usahawan start-up ke arah pengkomersilan hasil inovasi dan eCommerce Accelerator Program yang membantu usahawan untuk meneroka dan menembusi pasaran global.

    Kerajaan Negeri, melalui Invest Selangor telah menggariskan pelaburan digital (Digital Investment) antara kluster industri yang diberikan penumpuan sebagai industri yang berpotensi untuk berkembang di Selangor. Antara industri yang diberikan perhatian dibawah pelaburan digital ini seperti seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology. Industri – industri yang terpilih ini memberikan kesan limpahan yang memberangsangkan terhadap ekonomi digital di Selangor.

    Penyertaan program-program pelaburan berkaitan pelaburan digital seperti Malaysia Digital Expo (MDX), Malaysia Digital State Summit (MDSS) dan sebagainya adalah di antara usaha untuk menarik lebih ramai pemain industri untuk melabur di Selangor.

    Invest Selangor juga menganjurkan program fasilitasi yang melibatkan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan projek-projek berjalan dengan lancar.

    Beberapa syarikat besar dan multinasional yang terlibat dalam penyediaan kemudahan pusat data (Data Centre) seperti Vantage Data Centre, EdgeConneX dan NEXTDC yang telah memilih Selangor sebagai lokasi pelaburan yang strategik.

  3. Apakah cabaran dalam pembangunan sektor ekonomi digital?

    Antara cabaran – cabaran yang dihadapi dalam pembangunan sektor ekonomi digital di Selangor adalah seperti;-

    1. Kekurangan tenaga kerja mahir dalam sektor ekonomi digital. Walaupun Selangor menghasilkan lebih dari separuh tenaga kerja dalam sektor digital di Malaysia, namun isu ketidakpadanan serta jurang kemahiran masih menyumbang kepada kekurangan tenaga kerja mahir.

    Dalam usaha menangani cabaran ini, Kerajaan Negeri menerusi agensi – agensi yang berkaitan telah melaksanakan beberapa inisiatif seperti berikut;-

    • Selangor Digital School’ yang dilancarkan oleh SIDEC bertujuan untuk memupuk bakat serta mengurangkan jurang kemahiran terutamanya dalam bidang AI. Setakat ini, SIDEC telah memeterai kolaborasi bersama 105 buah syarikat seperti Yinson Holdings Berhad, Fusionex Group, Razer Merchant Services yang komited dalam penyerapan tenaga kerja dalam kalangan pelajar yang menyertai program ini.
    • SHRDC juga memainkan peranan dalam menawarkan program latihan berasaskan teknologi tinggi seperti ‘data analytics’, ‘data automation’ dan sebagainya. Statistik terkini dari SHRDC menunjukkan lebih dari 80% peserta yang mengikuti program ini telah mendapat pekerjaan.

      2. Penerimagunaan (Adoption)

    Ekonomi digital merujuk kepada aktiviti-aktiviti ekonomi yang timbul daripada penyambungan individu, perniagaan, peranti, data, dan operasi melalui teknologi digital. Dengan definisi ini, isu penerimagunaan harus dilihat dari sudut individu dan perniagaan.

    Jika dilihat dari sudut individu, penerimagunaan ekonomi digital terutamanya selepas era Covid-19 telah meningkat bahkan dalam kalangan warga emas sekalipun yang digerakkan melalui kewajiban penggunaan MySejahtera dan Selangkah untuk mengawal penularan Covid-19. Begitu juga dengan inisiatif pemberian bantuan kerajaan melalui eWallet turut menyumbang kepada penerimagunaan warga Selangor.

    Namun, terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi ‘cybersecurity’. Kebelakangan ini, kita sering mendengar isu ‘scammer’ yang semakin berleluasa. Hal ini menyebabkan sesetengah warga Selangor semakin hilang kepercayaan terhadap ekonomi digital dan cenderung untuk kembali ke arah cara yang lama. Ini adalah isu nasional dimana kerajaan pusat melalui Kementerian Komunikasi dan Digital sedang berusaha untuk menyelesaikannya. Di peringkat Kerajaan Negeri Selangor, penubuhan Cyber Emergency Resposnse Team (CERT) Selangor yang dilancarkan pada akhir tahun 2022 telah digerakkan bagi menangani isu ini.

    Dari sudut perniagaan pula, terdapat persepsi, terutamanya dalam kalangan MSME, bahawa penggunaan digital ekonomi ini melibatkan kos yang tinggi dan pulangan yang tidak pasti. Terdapat pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan program untuk memberikan pendidikan, galakkan dan sokongan untuk membantu mereka dalam memacu perniagaan melalui penggunaan ekonomi digital. Dalam usaha membantu usahawan Selangor dalam perkara ini, Kerajaan Negeri melalui SIDEC telah melaksanakan beberapa program latihan seperti eCommerce Accelerator Program.

    Selain itu, Kerajaan Persekutian melalui MDEC juga turut menyediakan insentif yang diperlukan dibawah Smart Automation Program, SME Business Digitalisation Grant.

    3. Infrastruktur Digital

    Sambungan internet adalah tunjang kepada pembangunan ekonomi digital. Umumnya, Selangor mempunyai sambungan internet yang baik berbanding negeri-negeri lain. Namun, penting untuk diingatkan bahawa kualiti dan ketersediaan internet adalah berbeza-beza di pelbagai lokasi dalam Selangor. Masih terdapat kawasan-kawasan terutamanya diluar bandar yang mempunyai capaian internet yang terhad.

    Selangor telah diberikan keutamaan untuk mendapatkan rangkaian 5G. Usahasama di antara Kerajaan Negeri dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  telah dijalankan bagi merealisasikan sasaran 5G sepenuhnya menjelang 2025 di seluruh kawasan yang mempunyai penduduk termasuk luar bandar

Lampiran

Tiada Lampiran.