Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

20) EKONOMI BELIA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha-usaha Kerajaan Selangor untuk menambahbaik keadaan ekonomi anak muda termasuk meningkatkan purata pendpatan mereka pada pasca pandemik COVID-19?

    Pandemik COVID-19 telah disahkan merebak di Malaysia pada 25 Januari 2020. Dengan penyebaran virus di semua negeri dan wilayah persekutuan di Malaysia sehingga kini, kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang pertambahan kes positif dalam negara. Akibat daripada ini, segenap lapisan masyarakat termasuklah golongan anak muda telah terjejas dari sudut ekonomi apabila kehilangan pekerjaan ataupun pendapatan.

    Anak muda adalah golongan yang paling terkesan susulan pandemik yang melanda. Ini kerana ramai di kalangan anak muda yang baru menamatkan pengajian tidak mempunyai pekerjaan malah bagi anak-anak muda yang baru berjinak dengan dunia perniagaan, mereka turut kehilangan pendapatan apabila perniagaan tidak dapat dijalankan susulan pelaksanaan PKP.

    Sehubungan itu, atas keprihatinan Kerajaan Negeri  terhadap masalah anak-anak muda ini, beberapa inisiatif atau program telah diperkenalkan bagi membantu mereka menambah baik keadaan ekonomi termasuk meningkatkan pendapatan mereka semasa pasca pandemik COVID-19. Antara inisiatif atau program yang telah dilaksanakan adalah :

     

    i) Program Roda Darul Ehsan (RIDE)

    –           Selaras dengan peralihan ke era digital pada masa ini, Kerajaan Negeri menggalakkan sokongan anak muda untuk menyertai sektor ekonomi gig dalam bidang e-hailing terutamanya sebagai penghantar makanan. Sektor ini menjadi trend penglibatan anak muda pada masa ini kerana anak-anak muda kini adalah golongan yang tidak suka terikat kepada sesuatu perkara. Dengan menyertai ekonomi GIG, mereka bebas menentukan tempoh pekerjaan mereka.

    –           Inisiatif RiDE adalah merupakan salah satu usaha untuk terus membantu kumpulan ini sekaligus menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor ekonomi.

    –           Subsidi sebanyak RM500.00 disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada golongan anak muda melalui program RIDE ini untuk anak-anak muda ini mendapatkan lesen motorsikal dan seterusnya dihubungkan terus kepada penyedia perkhidmatan seperti Grab, Food Panda dan sebagainya.

    –           Susulan permintaan yang tinggi terhadap permintaan ‘food delivery’ dan sebagainya, Kerajaan Negeri berharap program RIDE ini akan dapat memenuhi keperluan tenaga kerja dan merancakkan lagi sektor tersebut dan juga dapat menambahkan pendapatan mereka.

    –           Sehingga kini, seramai 3277 orang pemohon telah mendapat manfaat daripada program ini dengan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM1,718,847.00.

     

    ii) Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja

    –           Pelaksanaan Program ini merupakan salah satu inisiatif dan usaha Kerajaan Selangor di bawah EXCO Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan yang dipengerusikan oleh Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Othman bertujuan untuk mengatasi kadar pengangguran di Selangor selaras dengan permintaan yang tinggi dan sambutan yang menggalakkan berikutan kadar kehilangan pekerjaan yang semakin meningkat disebabkan pandemik COVID-19.

    Matlamat utama pelaksanaan program ini adalah untuk melahirkan modal insan yang proaktif dengan mewujudkan saluran dan peluang bagi meningkatkan taraf hidup mereka. Manakala objektif program ini adalah:

    a) menyediakan informasi terkini di dalam dunia kerjaya dan cabaran semasa serta menyediakan panduan menghadapi persediaan kerjaya dan menempuh alam pekerjaan;

    b) menjadikan satu medan interaksi yang proaktif di antara pencari kerja dan pihak industri dalam menyediakan laluan kerjaya berdasarkan kecenderungan personaliti dan minat;

    c) menyediakan peluang kerjaya kepada masyarakat setempat sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran di Selangor terutamanya golongan belia; dan

    d) membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja khususnya di tahap kritikal dengan mendahulukan penglibatan di kalangan warga tempatan.

    –            Pada tahun 2021, sebanyak enam (6) siri program telah dan akan diadakan seperti berikut :-

    BIL TARIKH LOKASI
    1 23 Oktober 2021 Dewan Jubli Perak, SUK Selangor
    2 30 Oktober 2021 Dewan MPKS, Bandar Baru Kuala Selangor
    3 6 November 2021 Dewan Merdeka Kuala Kubu Bharu
    4 13 November 2021 Dewan Demesne, Hulu Langat
    5 20 November 2021 Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh
    6 27 November 2021 Dewan Jubli Perak, SUK Selangor

     

     

    iii)        Program Selangor Kerjaya

    –           Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) juga telah mengadakan satu inisiatif baharu iaitu Program Selangor Kerjaya yang bertujuan untuk membantu rakyat Selangor mencari pekerjaan.

    –           Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan melalui Potal Selangor Kerjaya dengan pautan https://www.selangortalentportal.com.my.

    –           Kemudahan Selangor Talent Portal ini adalah diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong dan individu yang ingin mencari peluang pekerjaan, di mana mereka hanya perlu mendaftar dengan Selangor Talent Portal.

    –           Melalui program ini, calon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon akan diberikan latihan – latihan profesional dan akses pembelajaran atas talian selama dua belas (12) bulan.

     

    iv) Selangor Advance

    –            Selangor Advance merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

    –            Inisiatif ini adalah untuk meningkatkan aliran tunai para usahawan seterusnya membantu perkembangan ekonomi pasca wabak COVID-19 khusus kepada kontraktor dan penyedia perkhidamatan kerajaan dan syarikat swasta yang terpilih.

    –            Program ini dirangka berdasarkan system pembiayaan patuh Syariah yang berkonsepkan Tawarruq bagi membantu syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam isu aliran tunai.

    –            Menerusi inisiatif ini, pihak kontraktor dan penyedia perkhidmatan akan mendapatkan bayaran kerja yang dijalankan dalam tempoh masa yang singkat. Ini akan dapat membantu pemilik perniagaan memiliki dana yang mencukupi bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka.

    –            Para pembekal / penyedia perkhidmatan tersebut boleh memohon untuk menyertai program secara atas talian di www.selangoradvance.com.my dan boleh mula memohon untuk pembayaran awal atas nilai invois setelah mendapatkan kelulusan untuk mengambil bahagian.

     

    v) Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

    –           Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.

    –           Setiap daerah diperuntukkan sebanyak RM250,000.00 untuk program bantuan DUMS. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

    • Rakyat Negeri Selangor atau pun yang telah bermastautin lebih daripada 10 tahun;
    • Perusahaan dijalankan di Negeri Selangor;
    • Berumur antara 18 – 55 tahun;
    • Nilai jualan kurang daripada RM300,000.00 atau bilangan pekerja 2-5 orang;
    • Perusahaan telah dan masih beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun;
    • Perusahaan dijalankan sepenuh masa; dan
    • Perusahaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

     

    vi) Klinik Usahawan Selangor

    –           Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan.

    –           Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam bidang perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.

     

    vii)       Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

    –           Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 33 Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi.

    –           Matlamat utama program ini ialah untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga- peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Program bantuan ini terbuka kepada semua pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan.

     

    viii)      Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor

    –           Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan. Di samping itu, ianya dapat membantu usahawan India menjadi lebih berdikari dan mampu untuk menjana ekonomi. Peserta terlibat akan diberikan latihan dan pengupayaan kepakaran, penyediaan cadangan projek, pengurusan pemasaran dan kewangan.

    –           Antara modul yang telah dirangka ialah latihan kemahiran bersama syarikat peneraju/mentor terpilih selama tiga (3) hingga enam (6) bulan bergantung kepada industri yang terpilih. Sepanjang tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan dipantau oleh syarikat peneraju. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama HIJRAH Selangor.

     

    ix) Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor

    –           HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2020. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan.

    –           Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu terdapat beberapa program lain di bawah agensi ini seperti berikut:

    • Skim Zero to Hero
    • NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)
    • GO Digital (Skim Pembiayaan Digitalisasi)
    • SITHAM – Program Keusahawan India

     

    x) Program Inisiatif Kemahiran Teknikal & Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)

    –           Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dan memperkenalkan Program IKTISASS yang bertujuan untuk melahirkan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia tercicir serta berkeperluan khas dan graduan dengan memberi latihan dalam bidang kemahiran teknikal dan professional seiring dengan keperluan industri semasa.

    –           Bagi tahun 2021, di bawah Program IKTISASS telah melaksanakan Program SELatih Sure – Selatih Strategik Upskilling Reskilling dengan kerjasama Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) yang dijangka boleh membantu memulihkan peluang tenaga kerja di Selangor di dalam menghadapi kemelesetan peluang pekerjaan.

     

    Kesemua inisiatif atau program ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam membantu rakyat Negeri Selangor khususnya golongan anak muda yang terjejas susulan pandemik COVID-19 untuk meneruskan kelangsungan hidup dan seterusnya membina semula ekonomi mereka pasca COVID-19 ini.

  2. Sejauh manakah keberkesanan usaha-usaha tersebut ?

    Jawapan adalah sama seperti di atas.

Lampiran

Tiada Lampiran.