Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
255) EKONOMI
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kenapakah PKNS menolak pembinaan MRO- di Hulu Selangor yang melibatkan jumlah pelaburan rm5.9 billion?
PKNS secara umumnya amat mengalukan-alukan sebarang cadangan pelaburan pembangunan yang berbentuk ‘catalyst’ dan berimpak tinggi di Bernam Jaya. Pembangunan MRO dan seumpamanya dilihat bukan sahaja mampu untuk memangkin aktiviti ekonomi sekitar malah akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, menambah hasil pendapatan Negeri di samping memberi limpahan pembangunan infrastruktur dan hartanah yang lebih mapan untuk kawasan sekitar utara Negeri Selangor.
PKNS telah menerima cadangan pembangunan ‘Bernam International Airpark’ (BIA) yang melibatkan pembangunan MRO di Bernam Jaya sejak Ogos 2011 iaitu ketika syarikat Redland Aviation Services Sdn. Bhd. (Redland) menyatakan hasrat untuk melaksanakan pembangunan tersebut melalui cadangan pembelian tanah seluas 2,044 ekar. Walaupun kelulusan telah diberikan terhadap cadangan pembelian tanah tersebut namun pihak Redland gagal untuk melunaskan bayaran pembelian tanah dalam tempoh yang ditetapkan dan ini menyebabkan PKNS terpaksa membatalkan tawaran penjualan.
Cadangan pembangunan BIA tersebut kemudiannya diteruskan oleh syarikat Awan Mega Sdn. Bhd. pada Oktober 2013. Pihak Awan Mega telah mengemukakan hasrat untuk membeli tanah berkeluasan sama (2,044 ekar) untuk pembangunan BIA. Lanjutan itu, Awan Mega pada Ogos 2016 telah mengemukakan permohonan baru untuk membeli 3,992 ekar (tambahan 1,948 ekar dari keluasan asal) tanah untuk pembangunan BIA.
Memandangkan cadangan pembangunan yang dikemukakan adalah berskala besar dan memberi impak kepada Negeri dan Negara, pada Julai 2014 PKNS telah memohon Awan Mega mengemukakan dokumen sokongan seperti berikut :
- Kelulusan dan lesen penuh dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT)
- Menunjukkan Bukti Pembiayaan (Proof of Fund) dari Institusi Kewangan
- Menaikkan nilai Modal Berbayar (Paid-up Capital) dan Modal Dibenarkan (Authorized Capital) dari RM2,000.00 kepada RM120 juta (mewakili 30% dari Jumlah Harga Jualan Tanah)
PKNS turut mengambil inisiatif dengan mengadakan pertemuan bersama wakil pegawai Jabatan Penerbangan Awam (DCA) iaitu Pengarah Bahagian Standard Lapangan Terbang pada 21 Ogos 2017 di Putrajaya. Pihak DCA mengambil maklum terhadap permohonan pembangunan ‘airpark’ tersebut di Bernam Jaya. Bagaimanapun, pihak DCA dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mensyaratkan Awan Mega untuk mengemukakan laporan kajian fesibiliti dan lain- lain dokumen.
Sehingga Oktober 2017, pihak Awan Mega tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen yang diperlukan dan juga tidak dapat memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh DCA dan Kementerian Pengangkutan Malaysia. Dengan itu, PKNS sekali lagi terpaksa menolak cadangan penjualan tanah di Bernam Jaya kepada Awan Mega Sdn. Bhd.
Walaubagaimanapun, PKNS masih lagi terbuka sekiranya terdapat sebarang cadangan untuk membangunkan pusat MRO di kawasan Bernam Jaya. Namun, PKNS berharap agar cadangan seumpama ini dapat dikemukakan dari syarikat yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penerbangan, mempunyai sokongan kewangan yang kuat serta kepakaran di dalam bidang ‘aviation’. Ini bagi memastikan pembangunan berimpak tinggi dapat dilaksanakan dengan jayanya dan pendedahan risiko yang minimum kepada PKNS dan Kerajaan Negeri.
-
Adakah Kerajaan Negeri tahu pembinaan tersebut boleh mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan?
Sama seperti di SUB (a)
-
Kenapa Kerajaan Negeri menolak peluang pendapatan hasil yang boleh menjana pendapatan kasar rm3 billion setahun?
Sama seperti di SUB (a)