Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

242) EAST COAST RAIL LINE (ECRL)

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan perkembangan terkini berkenaan projek ECRL di kawasan Negeri Selangor.

    Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 km adalah merupakan projek rel yang akan menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Pembinaan projek ECRL ini dibahagikan kepada tiga (3) seksyen iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang.

    Terdapat lima (5) buah stesen di negeri Selangor iaitu stesen ITT Gombak (stesen penumpang), stesen Bandar Serendah (stesen penumpang dan kargo), stesen Puncak Alam (stesen penumpang), stesen Kapar (stesen penumpang) dan stesen Jalan Kastam (stesen penumpang dan kargo) dengan jumlah keseluruhan panjang jajaran di negeri Selangor adalah 90.5km (sehingga bulan Januari 2023, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebanyak 39.64% dan untuk kemajuan kerja di negeri Selangor adalah sebanyak 5.22%).

    Proses pengambilan balik tanah yang terlibat di dalam negeri Selangor telah diwartakan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960. Selain itu, kerja-kerja awalan di terowong-terowong yang terletak di negeri Selangor telah bermula seperti di Terowong Gombak dan Terowong Serendah.

    Untuk makluman, kerja-kerja pembinaan di negeri Selangor dijadualkan selesai pada Disember 2026 bagi Seksyen C1 (Mentakab, Pahang ke ITT Gombak, Selangor) manakala bagi Seksyen C2 (Gombak – Serendah – Pelabuhan Klang) pula pada Disember 2027.

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi penyelesaian aduan bantahan dari masyarakat berkenaan projek ECRL yang akan melibatkan tanah perkuburan cina Batu Arang?

    Pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) sebagai pemilik projek ECRL telah mengadakan enam (6) sesi libat urus dengan kerajaan negeri Selangor, Persatuan Kubur Cina Batu Arang, penduduk dan wakil rakyat tempatan berkenaan tanah perkuburan Cina di Batu Arang, Rawang Selangor.

    Pada 3 November 2022, kerajaan negeri Selangor melalui Mesyuarat LIMAS telah meminta pihak MRL untuk berunding dengan Persatuan Kubur Cina Batu Arang berkenaan jajaran ECRL yang melalui kawasan perkuburan tersebut.

    Lanjutan daripada itu, beberapa sesi perjumpaan telah diadakan dengan Persatuan Kubur Cina Batu Arang, penduduk dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang dari bulan November sehingga Disember 2022.

    Pihak MRL berserta kontraktor projek ECRL iaitu China Construction Communications ECRL (CCC-ECRL) telah mengadakan perbincangan lanjut dengan Persatuan Kubur Cina Batu Arang pada 16 Februari 2023.

    Dalam masa yang sama, pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak juga telah mengaturkan satu sesi perbincangan bersama dengan pihak Persatuan Kubur Cina Batu Arang bersama dengan pihak ECRL yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mac 2023 untuk mencari jalan penyelesaian isu tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.