Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
188) E-WASTE
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perkembangan pelaksanaan tersebut dan apakah penambahbaikkan yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk terus meningkatkan pengumpulan E-Waste di Negeri Selangor?
Untuk makluman, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Ke 28/2024 yang telah diadakan pada 2 Oktober 2024 dan disahkan oleh MMKN Selangor Ke 29/2024 pada 9 Oktober 2024, telah menimbang dan meluluskan pelaksanaan Program Pengurusan Dan Pengutipan Sisa Elektrik Dan Elektronik (E-Waste) Negeri Selangor. Program yang julung kali diadakan ini adalah merupakan program kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan dan Agensi Negeri bertujuan untuk membantu orang awam melupuskan e-waste dengan betul dalam masa yang sama mempromosikan pelupusan secara mesra alam.
Bagi memastikan program E-Waste dilaksanakan dengan berkesan, beberapa tindakan dan penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri seperti berikut:
- Menyediakan Garis Panduan Program Pengurusan Dan Pengutipan Sisa Elektrik Dan Elektronik (E-Waste) Negeri Selangor untuk rujukan PBT dan Jabatan/Agensi Negeri sebagai pelaksana program serta pihak-pihak berkepentingan yang terlibat dalam pengurusan dan pengutipan e-waste di Negeri Selangor dengan mengambil kira keperluan yang terkandung di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS);
- Bekerjasama dengan Electronic Recycling Through Heroes (ERTH), sebuah syarikat pengumpulan e-waste yang sah, yang menawarkan perkhidmatan pengambilan secara percuma dari rumah atau penghantaran percuma melalui Pos Malaysia, dengan ganjaran wang tunai bagi e-waste yang diserahkan. Selain daripada ERTH, syarikat-syarikat pengumpul sisa yang lain turut menyertai program ini;
- Menyediakan fasiliti/kemudahan pusat pengumpulan E-Waste komuniti seperti PJ Eco Plaza SS8 dan Drive Through Recycling Center (DTRC) The Spine Kelana Jaya serta penyediaan tong E-Waste di lokasi-lokasi awam seperti taman perumahan, balai bomba, polis dan hospital.
- Projek perintis di stesen minyak dan pasar raya melalui kerjasama dengan Rakan Strategik Alam Sekitar (RSAS) seperti Petron Malaysia dalam program pengumpulan E-Waste di stesen-stesen servis Petron dan Pasaraya Giant di mana kotak replika (e-waste) disediakan di 16 pasaraya Giant bagi memudahkan orang awam mengekses kepada kemudahan kitar semula.
- Pembangunan aplikasi mudah alih dan portal lestariselangor.com untuk memudahkan rakyat mendapatkan maklumat mengenai pusat pengumpulan e-waste yang terdekat dan menyediakan perkhidmatan kutipan e-waste secara “door-to-door”.
Selain itu, sebagai penambahbaikan kepada program ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk PBT, Jabatan/Agensi Negeri serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi penganjuran program/kempen pengutipan e-waste di Negeri Selangor termasuk menambah jumlah pusat pengumpulan. Kerajaan Negeri juga turut memperluaskan penyertaan program ini kepada syarikat pengumpulan sisa e-waste yang lain dan berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi meningkatkan hasil kutipan sisa e-waste di Negeri Selangor.