Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
399) E-WASTE
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha kerajaan dalam menangani masalah buangan bahan elektronik yang semakin bertambah?
Bagi menangani masalah buangan bahan elektronik yang semakin bertambah, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan pengurusan e-waste dapat dilaksanakan secara lestari. Antaranya, JAS Negeri Selangor telah melesen sebanyak 28 premis atau fasiliti kitar semula e-waste di negeri ini yang berupaya memproses e-waste ini secara mesra alam bagi menghasilkan logam-logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum dan palladium. Tindakan ini diambil bagi memastikan e-waste tidak dilupus secara sesuka hati termasuk memberikannya kepada pihak yang tidak sepatutnya, membuang ke dalam sungai, tapak pelupusan sampah atau membakarnya secara terbuka. Di samping itu, pihak JAS juga sedang melaksanakan Mekanisme Pengurusan Buangan Peralatan Elektrik dan Elektronik (E-Waste) di Malaysia yang merangkumi kawalan terhadap enam (6) jenis item iaitu pendingin hawa, mesin basuh, telefon bimbit, televisyen, komputer riba/komputer dan peti sejuk. Di bawah mekanisme ini, satu kerangka undang-undang khusus telah dirangka bagi mengawal pengurusan peralatan elektrik dan elektronik daripada pembuatan sehingga ianya dilupuskan sebagai e-waste. Mekanisme ini mengetengahkan konsep Extended Producer’s Responsibility (EPR) bagi memastikan pihak pengeluar bertanggungjawab dalam menguruskan produk elektrik dan elektronik secara mesra alam selepas jangka hayat akhir (end of life) produk tersebut. Selaras dengan pemakaian konsep EPR, pihak pengeluar dan pengimport adalah dipertanggungjawabkan untuk membayar deposit atau sumbangan kitar semula bagi setiap peralatan elektrik dan elektrik yang ditempatkan dalam pasaran negara.
-
Sejauh manakah usaha kerajaan dalam meningkatkan kesedaran penduduk terhadap pengurusan E-Waste?
Kerajaan Negeri melalui JAS Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah dan sedang menjalankan beberapa aktiviti bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pengurusan e-waste antaranya seperti berikut:-
i. Pelaksanaan projek perintis bagi menjadikan stesen-stesen minyak di Negeri Selangor sebagai Pusat Pengumpulan E-Waste;
ii. Pelaksanaan projek perintis bagi menjadikan pasaraya-pasaraya di Negeri Selangor sebagai Pusat Pengumpulan E-Waste;
iii. Program pengumpulan e-waste pada hari Sabtu terakhir setiap bulan di lokasi tumpuan orang ramai;
iv. Program kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Rakan Strategik Alam Sekitar (RSAS) bagi program pengumpulan e-waste di lokasi-lokasi berdekatan dengan komuniti sempena hari bertemakan alam sekitar seperti Sambutan Hari Bumi, Hari Alam Sekitar Sedunia, Hari Ozon Sedunia dan Hari Alam Sekitar Negara;
v. Program ceramah dan pameran kesedaran alam sekitar mengenai pengurusan e-waste secara mesra alam dan lestari di sekolah-sekolah, agensi kerajaan dan swasta serta premis kilang;
vi. Galakan premis untuk berdaftar sebagai pusat pengumpulan e-waste bagi kemudahan setempat di kawasan komuniti;
vii. Pembinaan Pusat Kitar Semula setempat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan komuniti;
viii. Makluman secara infografik di laman media sosial Jabatan Alam Sekitar, pembangunan laman web berkaitan e-waste https://ewaste.doe.gov.my; dan
ix. Pembangunan satu aplikasi mudah alih (mobile aps) bagi tujuan rakyat mendapat maklumat pusat pengumpulan yang terhampir dengan lokasi iaitu ‘MyEwaste’. Aplikasi ini juga akan memberi maklumat jenis-jenis e-waste yang boleh dihantar ke pusat pengumpulan tersebut.
-
Senaraikan pusat pengumpulan E-waste di Negeri Selangor.
Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai lokasi pusat-pusat pengumpulan e-waste ini, Jabatan Alam Sekitar telah membangunkan satu aplikasi aplikasi mudah alih (mobile aps) bagi membolehkan orang ramai menyemak maklumat pusat pengumpulan yang terhampir dengan lokasi masing-masing. Aplikasi ini juga akan memberi maklumat jenis-jenis e-waste yang boleh dihantar ke pusat pengumpulan tersebut. Sehingga kini, terdapat sebanyak 57 pusat pengumpulan e-waste yang berdaftar di Negeri Selangor.
MAKLUMAT TAMBAHAN
TAFSIRAN E-WASTE (SW110)
Merujuk kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974, buangan elektrik dan elektronik atau e-waste adalah dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah kod SW110.Kod SW110 ditafsirkan sebagai buangan daripada pemasangan elektrikal dan elektronik yang mengandungi komponen seperti akumulator, suis raksa, kaca daripada tiub sinar katod dan kaca teraktif atau kapasitor bifenil terpoliklorin yang lain, atau yang dicemari dengan kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, kuprum, litium, perak, mangan, atau bifenil terpoliklorin.
SENARAI PUSAT PENGUMPULAN E-WASTE (COLLECTION POINT) BERDAFTAR DI NEGERI SELANGOR
1.A Five Stars Metals Sdn Bhd
2.Asajaya Recycling Centre Kajang (Tzu Chi)
3.Banting Recycling Centre (Tzu Chi)
4.Bayu Tinggi Recycling Centre (Tzu Chi)
5.Broga Recycling Centre (Tzu Chi)
6.Bukit Beruntung Recycling Centre (Tzu Chi)
7.Bukit Jelutong Recycling Centre (Tzu Chi)
8.Bukit Kuchai Recycling Centre (Tzu Chi)
9.Bukit Sentosa Recycling Centre (Tzu Chi)
10.Cempaka Recycling Centre (Tzu Chi)
11.Cheras Batu 9 Recycling Centre (Tzu Chi)
12.Desa Aman Recycling Centre (Tzu Chi)
13.E Plus Resources
14.Erth
15.Far Spectrum Development Sdn Bhd
16.Icycle Malaysia Sdn Bhd
17.Jenjarom Recycling Centre (Tzu Chi)
18.Kampung Baru Ampang Recycling Centre (Tzu Chi)
19.Kampung Baru Serdang Recycling Centre (Tzu Chi)
20.Kampung Semenyih Recycling Centre (Tzu Chi)
21.Kapar Recycling Centre (Tzu Chi)
22.Kayu Ara Recycling Centre (Tzu Chi)
23.Kota Kemuning Recycling Centre (Tzu Chi)24.Maju E-Waste Sdn Bhd
25.Mayang Jaya Recycling Centre (Tzu Chi)
26.Puchong Hartamas Recycling Centre (Tzu Chi)
27.Puchong Puteri Recycling Centre (Tzu Chi)
28.Pulau Ketam Recycling Centre (Tzu Chi)
29.Putra Heights Recycling Centre (Tzu Chi)
30.Recovery Initiative Sustainable Eco-Facility (Cawangan Afes)
31.Rezki It Solutions
32.Saujana Damansara Recycling Centre (Tzu Chi)
33.Sekinchan Recycling Centre (Tzu Chi)
34.Senheng Warehouse Lo-Centre Wing
35.Shan Poornam Metals Sdn Bhd (Selangor)
36.Smart Sustainable Solutions Sdn Bhd
37.Sri Gombak Recycling Centre (Tzu Chi)
38.Sri Melati Recycling Centre (Tzu Chi)
39.Sri Muda Recycling Centre (Tzu Chi)
40.Sri Putra Recycling Centre Sungai Buloh (Tzu Chi)
41.SS3 Recycling Centre (Tzu Chi)
42.Sungai Buloh Brp Recycling Centre (Tzu Chi)
43.Sungai Chua Recycling Centre (Tzu Chi)
44.Sungai Long Sek 7 Recycling Centre (Tzu Chi) Taman Berkeley Recycling Centre (Tzu Chi)
45.Taman Chi Liung Recycling Centre (Tzu Chi)
46.Taman Kinrara Recycling Centre (Tzu Chi)
47.Taman Megah Recycling Centre (Tzu Chi)
48.Taman Meru Recycling Centre (Tzu Chi)
49.Taman Mewah Jaya 2, Recycling Centre (Tzu Chi)
50.Taman Sungai Besi Indah Kl (Tzu Chi)
51.Taman University Recycling Centre (Tzu Chi)
52.Tan Boon Ming Sdn Bhd
53.Tanjong Sepat Recycling Centre (Tzu Chi)
54.Trash4cash Selangor & Kl – Bumi Waste (M) Sdn Bhd
55.Ulu Yam Bahru Recycling Centre (Tzu Chi)
56.Unbox Asia Sdn Bhd
57.USJ 8 Recycling Centre (Tzu Chi)