Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

3) E-WALLET (WAVPAY)/ PENDIGITALISASIAN

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah jaminan keselamatan data peribadi dan transaksi para warga Selangor dengan penggunaan sistem Wavpay yang kian giat diguna pakai dalam pelbagai aplikasi agihan bantuan di Selangor seperti BINGKAS dan sebagainya?

    Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd merupakan syarikat pelaburan (investee company) kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (“MBI”). Setakat ini Kerajaan Negeri Selangor telah menggunakan e-dompet Wavpay untuk dua inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang (“ISP”) iaitu untuk Program BINGKAS dan juga Program INSAN.

    Memandangkan e-dompet Wavpay adalah perkhidmatan yang disediakan oleh Wavpay Systems Sdn Bhd, iaitu syarikat e-money issuer yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (“BNM”), segala sistem e-dompet dan pengumpulan data, termasuk data peribadi pelanggan, adalah di bawah kawal selia BNM dan tertakluk kepada pematuhan ketat ke atas polisi yang dikeluarkan oleh BNM berkaitan pengurusan maklumat pelanggan dan pemberitahuan yang dibenarkan (Management of Customer Information and Permitted Disclosure), selain pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.  Pangkalan data bagi setiap e-money issuer di bawah kawal selia BNM adalah diwajibkan untuk mematuhi ciri-ciri keselamatan IT yang diwajibkan di bawah Pengurusan Risiko dalam Teknologi (Risk Management in Technology) bagi memastikan keselamatan pangkalan data dari pencerobohan.

     

    Selain itu juga, pengguna e-dompet Wavpay juga perlu bertanggungjawab ke atas keselamatan maklumat dengan memastikan peranti yang digunakan untuk mengakses sistem e-dompet Wavpay mempunyai ciri keselamatan seperti ID dan kata laluan yang selamat yang tidak dikongsikan dengan orang lain.

Lampiran

Tiada Lampiran.