Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

83) E-SISA

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakan E-Sisa diuruskan di negeri Selangor?

    Buangan elektrik dan elektronik (e-waste) terbahagi kepada dua kategori iaitu e-waste yang dihasilkan daripada proses perindustrian dan e-waste yang dihasilkan oleh pengguna (isi rumah). E-waste yang dihasilkan daripada proses perindustrian telah dikawal pengurusannya dibawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Manakala, e-waste yang dihasilkan oleh pengguna pula, satu Mekanisma Pengurusan Buangan Peralatan Elektrik dan Elektronik (e-waste) sedang dibangunkan bagi mengawal pengurusan peralatan elektrik dan elektronik daripada pembuatan sehingga ianya dilupuskan sebagai e-waste. Mekanisme ini menerapkan konsep shared responsibility dikalangan pihak berkepentingan seperti:

    • pengilang dan pengimport peralatan elektrik dan elektronik
    • pengguna/penjana buangan,
    • pusat pengumpulan berdaftar; dan
    • kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan

    Pengurusan e-waste dengan cara yang betul adalah komitmen yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak sebagai usaha untuk memastikan pengurusan e-waste yang sistematik dan berkesan. Oleh itu, pengguna atau penjana buangan samada dari isi rumah atau industri adalah bertanggungjawab untuk melupuskan e-waste kepada pusat pengumpulan yang berdaftar atau kemudahan pemerolehan kembali yang dilesenkan JAS sahaja.  Kerajaan Negeri melalui JAS Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terus berusaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pengurusan e-waste bagi memastikan ianya tidak dilupuskan kepada pihak yang tidak sepatutnya, membuang ke dalam sungai, tapak pelupusan sampah atau membakarnya secara terbuka. Bagi memastikan pengurusan e-waste dapat dilaksanakan secara lestari, JAS Negeri Selangor telah melesenkan sebanyak 28 kemudahan pemerolehan kembali atau fasiliti kitar semula e-waste yang berupaya untuk memproses e-waste secara mesra alam bagi penghasilan produk logam berharga seperti emas, perak, tembaga, platinum dan palladium.

  2. Berapakan jumlah E-Sisa terdapat di negeri Selangor?

    Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, jumlah buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang direkod diterima oleh Kemudahan Pemerolehan Kembali (e-waste) yang beroperasi  di Negeri Selangor adalah seperti berikut:

    E-waste daripada Industri (SW110)

    Tahun Metrik Tan (MT)
    2022 207,117.85
    2023 6,890.02

     

    E-waste daripada isi rumah (household e-waste)

    Tahun Metrik Tan (MT)
    2022 9.30
    2023 52.8

    ** Program pengumpulan e-waste daripada isi rumah bermula pada tahun 2021

  3. Bagaimanakah syarikat E-Sisa dikawal selia bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar?

    Pusat pengumpulan berdaftar dan kemudahan pemerolehan kembali yang menjalankan aktiviti pengumpulan, pemerolehan kembali atau kitar semula e-waste adalah tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan yang berkaitan di bawahnya. Diperingkat pembangunan, kemudahan pemerolehan kembali atau kitar semula e-waste adalah tertakluk untuk menyediakan dan mendapat kelulusan laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA) dan pelan pengurusan alam sekitar (EMP) sebagai langkah mengenalpasti impak ke atas alam sekitar serta langkah mitigasi yang bersesuaian mengikut aktiviti atau proses yang dijalankan di premis. Diperingkat operasi pula, kemudahan ini dikawal melalui perlesenan yang mana pihak premis adalah terikat untuk mematuhi syarat-syarat lesen yang ketat merangkumi kawalan kapasiti pemprosesan, keperluan pemasangan sistem kawalan pencemaran di premis, menjalankan pemantauan dan pengawasan terhadap kualiti udara dan efluen yang dilepaskan serta menyediakan orang kompeten bagi mengendalikan sistem kawalan pencemaran dan pengurusan buangan terjadual yang baik.

Lampiran

Tiada Lampiran.