Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

74) E-DAGANG

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagi perusahaan kecil dan sederhana terjejas akibat pandemik Covid-19, adakah Kerajaan Negeri Selangor mempunyai cara yang lain untuk membantu PKS selain daripada insentif yang diberikan, contohnya dalam transformasi digital bisnes?

    Secara dasarnya dalam tempoh penularan pandemik COVID-19 ketika ini, bukan sahaja memberikan kesan kepada syarikat multinasional tetapi juga kepada syarikat-syarikat berstatus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Menyedari keadaan tersebut, Kerajaan Negeri turut mengadakan beberapa program bagi membantu syarikat-syarikat yang terkesan tersebut.

  2. Jika ya, apa cara dan program akan dilaksanakan?

    Antara bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada syarikat berstatus Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah seperti;-

    i. Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Selangor (PRODUTK).

    • Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) ini merupakan insentif daripada Kerajaan Negeri untuk membantu bebanan kos sekaligus mendigitalisasikan urus tadbir tenaga kerja syarikat-syarikat PKS di Negeri Selangor.

    • Syarikat-syarikat IKS dapat menggunakan perkhidmatan sistem urus tadbir tenaga kerja secara percuma selama tiga (3) bulan melalui penyedia-penyedia perkhidmatan sistem yang dilantik. Selepas tamat tempoh program ini, syarikat PKS juga mempunyai pilihan untuk meneruskan penggunaan perkhidmatan sistem tersebut dengan kadar yang rendah.

    • Objektif program ini adalah untuk;-

    1. Sebagai langkah pertama untuk membantu syarikat PKS dalam proses transformasi digital.
    2. Memusatkan sistem urus tadbir agar dapat mengakses data berkenaan produktiviti tenaga kerja syarikat PKS.
    3. Meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi syarikat PKS.
    4. Membolehkan syarikat PKS menjalankan operasi perniagaan dengan selamat dan melindungi kesihatan awam.

    ii. Program Selangor E-Bazar dengan Kerjasama Shopee dan Lazada.

    • Selangor E-Bazar Raya 2020 telah diadakan pada 4 Mei 2020 hingga 4 Julai 2020 bertujuan untuk membantu para pengusaha untuk memasarkan produk keluaran sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh Kerajaan.

    • Program Selangor E-Bazar yang telah dilaksanakan ini telah menarik minat seramai 6,400 penjual dan berjaya merekodkan jualan sebanyak RM 11.71 juta.

    • Berdasarkan sambutan yang memberansangkan dan kejayaan yang telah direkodkan, Kerajaan Negeri merancang untuk meneruskan kerjasama dengan pihak Shopee dan Lazada bagi menganjurkan Program Selangor E-Bazar 11.11 dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

    • Objektif kempen Selangor E-Bazar 11.11 ini adalah untuk merancakkan semula ekonomi di Negeri Selangor semasa pasca COVID-19 disamping meningkatkan kuasa beli pembeli sekali gus membantu usahawan Selangor yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan.

    • Selain daripada itu, kempen Selangor E-Bazar ini juga diharapkan dapat mencipta budaya digitalisasi dikalangan usahawan di Selangor secara O2O (Offline to Online) dan melahirkan lebih ramai usahawan tradisional yang berubah ke arah digital.

    iii. Mewujudkan Platform Digital Selangor Business Hub sebagai alternatif bagi aktiviti-aktiviti promosi pelaburan dan perindustrian negeri Selangor, berikutan penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini. Selangor Business Hub ini akan merangkumi empat komponen utama iaitu:-

    1. Investment Promotion Portal
    Aktiviti-aktiviti yang terlibat merangkumi program penggalakan pelaburan secara webinar bersama rakan industri dari dalam dan luar negara, mesyuarat dan business matching sessions bersama pelabur yang berpotensi secara online.

    2. Virtual Selangor International Business Summit (SIBS) 2020
    Penganjuran persidangan antarabangsa terbesar negeri Selangor yang bakal menghimpunkan empat program utama SIBS, webinar dan juga sesi business matching. Antara program yang dilaksanakan seperti:-

    • Virtual Selangor International Exhibition (SIE) 2020
    • Virtual Selangor ASEAN Business Conference (SABC) 2020
    • Virtual Selangor Halal International Conference.

    3. Selangor Halal Business Hub
    Platform Informasi Halal yang bakal dibangunkan melalui Selangor Halal Action Plan bagi membantu usahawan-usahawan negeri Selangor untuk mendapatkan persijilan halal untuk produk-produk mereka.

    4. Selangor IT & Ecommerce Council (SITEC) Virtual Hub
    Hub informasi dan webinar bagi program E-Commerce, Start-Ups dan Digitalisasi SITEC.

    iv. Selain itu, melalui Kerajaan Negeri melalui SITEC juga turut menawarkan latihan kepada usahawan-usahawan yang berminat untuk menceburi aktiviti pemasaran dan perniagaan secara E-Dagang di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.