Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

95) DRAF RANCANGAN TEMPATAN PETALING JAYA 2

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah bantahan yang telah diterima daripada bantahan awam terhadap Draf RTPJ2?

    Draf RTPJ2 merupakan sebahagian daripada Draf Rancangan Tempatan Daerah
    Petaling dan Sebahagian Klang (RTDPSK) yang kini telah dikenali dengan Draf
    Rancangan Tempatan MBSA, MBPJ dan MPSJ 2020. Laporan DRT ini telah diasingkan
    kepada 3 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu MBSA, MBPJ dan MPSJ untuk
    memudahkan dari segi pentadbiran dan pelaksanaannya.
    Program Publisiti dan Penyertaan Awam telah berlangsung selama sebulan bermula
    pada 29 November 2007 hingga 28 Disember 2007 dan telah disambung hingga 28
    Januari 2008. Di dalam tempoh sehingga berakhirnya program tersebut, terdapat
    sejumlah 273 borang bantahan awam telah diterima mengikut pecahan kawasan PBT
    seperti berikut:
    Draf Rancangan Tempatan Jumlah Bantahan
    (Borang)
    i. Majlis Bandaraya Shah Alam 62
    ii. Majlis Bandaraya Petaling Jaya ( Draf RTPJ 2) 108
    iii. Majlis Perbandaran Subang Jaya 103
    Jumlah Keseluruhan 273

  2. Apakah perkembangan terbaru terhadap Draf Rancangan ini memandangkan proses bantahan awam telah dijalankan dan penduduk-penduduk sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pihak Kerajaan Negeri?

    Draf RT MBSA, MBPJ (RTPJ2) dan MPSJ 2020 disediakan berdasarkan peruntukan
    Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Mengikut Subseksyen 12 Akta
    172 proses penyediaan Rancangan Tempatan ini telah melalui beberapa peringkat
    laporan termasuk Laporan Awal, Laporan Teknikal dan Laporan Draf Rancangan
    Tempatan yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja yang
    dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri
    Selangor.
    Draf RT MBSA, MBPJ dan MPSJ 2020 ini telah dibentangkan sebanyak 3 kali di dalam
    Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri untuk kelulusan Draf RT ini di Publisiti
    kepada orang awam iaitu:
    i. Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil 1/2006 pada 9 Februari 2006
    ii. Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil 2/2006 pada 8 Jun 2006
    iii. Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil 1/2007 pada 25 Januari 2007
    Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil 1/2007 pada 25 Januari 2007 telah
    meluluskan Draf RT ini diadakan program publisiti dan penyertaan awam mengikut
    peruntukan Seksyen 13 Akta 172 untuk diperiksa dan mendapat pandangan, cadangan
    atau bantahan dalam tempoh yang ditetapkan.
    JPBD Selangor bersama JPBD Semenanjung Malaysia, MBSA, MBPJ dan MPSJ telah
    mengadakan Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam pada 29
    November 2007 di Auditorium MBSA. Program Publisiti dan Penyertaan Awam ini
    berlangsung selama sebulan bermula pada 29 November 2007 hingga 28 Disember
    2007 dan telah disambung hingga 28 Januari 2008.
    Bagi memudahkan orang awam untuk memberikan maklumbalas, pandangan,
    cadangan atau bantahan terhadap Draf Rancangan Tempatan MBSA, MBPJ dan MPSJ
    ini, beberapa tempat pameran dan pemeriksaan laporan telah ditetapkan seperti berikut
    :-
    i. Ruang Legar, Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor, Bangunan
    Darul Ehsan, Shah Alam;
    ii. Tingkat G, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam;
    iii. Majlis Bandaraya Petaling Jaya :
    • Ruang Legar, Pejabat Pengurusan Projek PKNS, Kota Damansara;
    • Ruang Legar, Jabatan Landskap MBPJ Kelana Jaya;
    • Tingkat Bawah, Pejabat Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan Taman Medan;
    dan
    iv. Ruang Legar, Dewan Kenanga, Majlis Perbandaran Subang Jaya.
    Selain daripada tempat-tempat pameran di atas, pemeriksaan Laporan Draf Rancangan
    Tempatan ini juga boleh dibuat dengan melayari serta dimuatturun melalui laman web
    JPBD Negeri Selangor, MBSA, MBPJ dan MPSJ seperti berikut:
    i. www.jpbdselangor.gov.my
    ii. www.mbsa.gov.my
    iii. www.mbpj.gov.my
    iv. www.mpsj.gov.my
    Selama tempoh program publisiti dan penyertaan awam dijalankan, sebanyak 273
    borang bantahan telah diterima. Peringkat seterusnya JPBD Selangor akan
    menyelaraskan penyediaan laporan publisiti dan penyertaan awam yang disediakan
    oleh Pejabat Projek Zon Tengah di JPBD Semenanjung Malaysia sebelum diangkat ke
    Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran Awam.
    Bagi mematuhi Seksyen 14 Akta 172 iaitu “bagi maksud menimbangkan bantahan
    terhadap dan representasi berkenaan dengan sesuatu draf rancangan tempatan, Pihak
    Berkuasa Perancang Tempatan boleh mengarahkan supaya suatu siasatan tempatan
    atau pendengaran lain diadakan oleh suatu Jawatankuasa yang terdiri daripada tiga
    orang yang dilantik oleh Jawatankuasa Perancang Negeri”.
    Jawatankuasa yang akan mendengar dan menimbang bantahan awam adalah
    Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran Awam yang akan dipengerusikan oleh
    Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan.
    Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran Awam yang baru
    telah dilantik di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil 2/2008 yang
    telah bersidang pada 19 Ogos 2008.
    Oleh itu, Mesyuarat Jawatankuasa Siasatan dan Pendengaran Awam akan bersidang
    pada satu tarikh yang ditetapkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan,
    Pengurusan Bangunan dan Setinggan. Di dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut
    semua pembantah yang mengemukakan borang bantahan sahaja yang akan dipanggil
    secara rasmi untuk menyatakan bantahan yang telah dikemukakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.