Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
133) DISKAUN BUMIPUTERA
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Dato' Mohamad Satim Bin Diman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Seorang Ahli Parlimen Selangor mencadangkan agar kerajaan negeri memansuhkan diskaun bumiputera dalam pemilikan premis komersial dan kediaman mewah. Adakah kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan tersebut?
Untuk makluman Y.B, pada masa kini, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor pada 14 Oktober 2010 telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Y.B. Tuan Iskandar Bin Abdul Samad (EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan) sebagai pengerusi, REHDA (ahli) dan LPHS sebagai urusetia bagi membincangkan/ melihat lebih mendalam mengenai pembangunan industri perumahan di negeri Selangor terutamanya dari aspek diskaun Bumiputera dan kaedah pelepasan kuota Bumiputera. Ianya bagi memastikan setiap lapisan masyarakat di negeri Selangor mampu memiliki kediaman yang selesa untuk diduduki.
Sehubungan dengan itu, sebarang cadangan pemansuhan diskaun Bumiputera dalam pemilikan pemilikan premis komersial dan kediaman mewah adalah bergantung kepada pertimbangan jawatankuasa tersebut.
-
Bagaimanakah prestasi pemilikan hartanah Bumiputera di Selangor ketika ini?
Berdasarkan kepada data pemilikan hartanah Bumiputera (perumahan) di negeri Selangor yang diperolehi dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula tahun 2000 sehingga 2008, secara keseluruhannya pemilikan hartanah perumahan bukan bumiputera adalah melebihi pemilikan hartanah bumiputera. Peratus pemilikan hartanah perumahan bukan bumiputera secara keseluruhannya adalah tinggi iaitu sebanyak 54% berbanding dengan pemilikan hartanah perumahan bumiputera hanya sebanyak 46%. Namun begitu, pemilikan hartanah Bumiputera meningkat daripada 41% kepada 53% dari Tahun 2006 hingga Tahun 2007. Pecahan pegangan pemilikan Bumiputera adalah seperti di Jadual 1.
Jadual 1 : Data Pemilikan Hartanah Bumiputera Mengikut Tahun
TAHUN 2006 TAHUN 2007 TAHUN 2008 JUMLAH BUMIPUTERA 380,411 (41%) 544,133 (53%) 141,286 (39%) 1,065,830 (46%) BUKAN BUMIPUTERA 542,683 (59%) 473,408 (47%) 219,290 (61%) 1,235,381 (54%) JUMLAH 923,094 1,017,541 360,576* * Data bagi Tahun 2008 masih tidak lengkap disebabkan terdapat PBT yang belum mengemukakan maklumat.
-
Bagaimanakah prestasi jualan rumah anak-anak syarikat kerajaan negeri untuk kuota Bumiputera?
Prestasi jualan rumah milik anak- anak syarikat kerajaan negeri terutamanya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah amat menggalakkan dan berjaya menjual kesemua unit- unit rumah kuota Bumiputera sebanyak 70% yang dikenakan kepada mereka.