Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

241) DIGITALISASI PERNIAGAAN PASAR AWAM

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan berhasrat untuk membantu penyewa-penyewa gerai pasar awam untuk membina aplikasi atau platform atas talian untuk memulakan perniagaan atas talian?

    Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk membantu penyewa-penyewa gerai pasar awam dengan melancarkan Platform Selangor (PLATS) 2.0 – Selangor E-Kitchen & E-Pembekalan Peruncit Mikro Dan Kecil pada 11 April 2021.

    Inisiatif ini merupakan usaha oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebuah anak syarikat MBI Selangor dengan kerjasama Yayasan Hijrah Selangor dan Grab Express.

  2. Apakah usaha kerajaan bagi membantu penyewa-penyewa gerai pasar awam untuk mengembangkan perniagaan mereka?

    Antara usaha Kerajaan Negeri bagi membantu penyewa-penyewa gerai pasar awam untuk mengembangkan perniagaan mereka ialah melalui Platform Selangor (PLATS) 2.0 yang diperkenalkan bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor. Sebagai makluman, PLATS 2.0 merupakan kesinambungan kepada PLATS 1.0 yang telah dilancarkan pada tahun 2020 yang lalu.

    PLATS dibangunkan untuk menggerakkan ekonomi penjaja, peniaga serta PKS mikro di Selangor serta menyediakan lokasi maya / ‘virtual’ secara percuma kepada semua yang berdaftar dan menjalankan perniagaan secara atas talian.

    Turut dilancarkan adalah Inisiatif Rakan Digital Selangor (RDS), sebuah program digitalisasi untuk membimbing rakyat Negeri Selangor khususnya golongan penjaja, peniaga dan PKS mikro bagi menggunakan aplikasi digital dalam mengembangkan perniagaan mereka dalam pasaran ekonomi digital.

    RDS akan bergerak, turun padang untuk mendekati peniaga, penjaja dan PKS mikro dengan memberi pendedahan mengenai inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri Selangor supaya dapat membantu mendigitalkan perniagaan mereka. RDS juga akan terlibat untuk meluaskan lagi perkongsian pengalaman perniagaan oleh penjaja dan peniaga melalui medium digital dan media sosial.

Lampiran

Tiada Lampiran.