Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

157) DIGITALISASI PERKHIDMATAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah hasil kajian awal Portal Perkhidmatan Online Kerajaan Negeri Selangor (Selangor Government Online Services (SGOS)? Adakah SGOS akan memberi impak kepada operasi PBT?

    Kerajaan Negeri Selangor telah memulakan kajian awal Portal Selangor Government Online Services (SGOS) bagi menyokong inisiatif “Whole of Government” sebagai “aggregator” (platform sehenti) perkhidmatan Kerajaan Negeri untuk diakses oleh rakyat dengan mudah.

    Sehingga 24 Jun 2024, kajian masih berjalan termasuk perbincangan bersama agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Kajian ini meliputi perkhidmatan online yang disediakan oleh agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kajian dijangka selesai pada September 2024 dan akan merangkumi penyediaan dokumen spesifikasi dan rekabentuk infrastruktur bagi pembangunan dan pengoperasian SGOS

    Adakah SGOS akan memberi impak kepada operasi PBT ?

    Pelaksanaan SGOS tidak akan mengganggu operasi sedia ada di PBT, malahan akan berfungsi sebagai saluran tambahan bagi rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh PBT.

  2. Apakah KPI bagi memantau keberkesanan digitalisasi perkhidmatan kerajaan?

    Berikut adalah KPI bagi memantau keberkesanan digitalisasi perkhidmatan Kerajaan Negeri Selangor:

    Pelan Strategik Pendigitalan Pentadbiran SUK Selangor (PSPPSUK) 2021-2025

    PSPPSUK 2021-2025 merupakan dokumen yang menggariskan  hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan SUK Selangor bagi tempoh 2021 hingga 2025.  Selaras dengan visi Pelan Strategik SUK Selangor 2023-2025 sebagai Selangor Negeri “Smart, Caring and Resilience”, PSPPSUK 2021-2025 bertujuan untuk menggalakkan penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam, meningkatkan kebolehcapaian dan meningkatkan kecekapan operasi kerajaan negeri.

    PSPPSUK 2021-2025 telah menggariskan empat (4) teras stategik pendigitalan iaitu: (i) Pemantapan Infostruktur Secara Inklusif dan Bersepadu, (ii) Pengukuhan Infostruktur Pendigitalan Stabil dan Mampan, (iii) Pemerkasaan Persekitaran Pendigitalan Pentadbiran Negeri dan (iv) Pengukuhan Kepakaran dan Kepimpinan Strategik Pendigitalan Pentadbiran Negeri. Berpandukan Visi, Misi dan Teras Strategik Pendigitalan, beberapa strategi dan program telah dirancang untuk dilaksanakan bagi memastikan matlamat “Selangor Negeri Pintar Berdayahuni di ASEAN 2025” dapat dicapai.

    Pemantauan Berkala Pelaksanaan PSPPSUK Selangor 2021-2025 turut dilaksanakan bertujuan untuk mengkaji dan menilai keberkesanan pelaksanaan PSPPSUK, mengenal pasti cabaran yang dihadapi dan mencadangkan pelarasan atau penambahbaikan yang sesuai untuk memastikan PSPPSUK terus relevan dengan visi dan matlamat kerajaan negeri.

    Smart Selangor Action Plan (SSAP)

    Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh SSDU Innovations Sdn Bhd (SDU) adalah berpandukan Smart Selangor Action Plan (SSAP) 2025. Fokus utama SSDU dalam menjadikan Negeri Selangor terbahagi kepada empat (4) domain utama iaitu Smart Government, Smart Economy, Smart Community dan Smart Digital. Inisiatif di bawah domain Smart Government memainkan peranan penting dalam membentuk perkhidmatan Negeri Selangor secara digital dan kini peratusan kemajuan di bawah domain ini adalah sebanyak 65%.

    Smart Government

    Matlamat Smart Government adalah untuk menghasilkan tiga (3) outcome utama iaitu: (i) Memudahkan rakyat Selangor dan peniaga di Selangor untuk berurusan dengan kerajaan negeri; (ii) Menjadi kerajaan berasaskan data (data-driven) untuk meningkatkan responsif perkhidmatan di Selangor; serta (iii) Menjadi kerajaan berkebolehan tinggi yang sentiasa fit untuk era digital.

    Antara inisiatif utama Smart Government yang telah dilaksanakan oleh SSDU adalah seperti berikut:

    • Citizen E-Payment (CEPat)

    Merupakan aplikasi pembayaran elektronik berpusat untuk perkhidmatan berbayar kerajaan di Selangor seperti cukai taksiran, lesen, kompaun, sewaan dan sebagainya. Sehingga kini terdapat 62 perkhidmatan ditawarkan di dalam CEPat yang meliputi 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor dan 6 medium pembayaran tersedia untuk pilihan pengguna. Objektif pelaksanaan adalah untuk menyediakan saluran pembayaran alternatif secara atas talian kepada pengguna perkhidmatan kerajaan di Negeri Selangor.

    • Pendigitalan Pengurusan Bencana

    Projek Pendigitalan Pengurusan Bencana Negeri Selangor. Objektif projek ini adalah seperti berikut:

    1. Mengupayakan digitalisasi untuk proses pengumpulan maklumat bencana di Bilik Gerakan Bencana Daerah; dan
    2. Mengupayakan digitalisasi untuk perkongsian maklumat bencana di antara Bilik Gerakan Bencana Daerah dan Bilik Gerakan Bencana Negeri secara berpusat di SSOC agar maklumat dapat dikumpul secara bersepadu bagi tujuan pemantauan dan penyelarasan secara berpusat.
    • District Disaster Operation Centre (DDOC)

    Pembangunan DDOC untuk tiga (3) Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di Selangor iaitu di PDT Petaling, PDT Klang dan PDT Hulu Langat. Objektif pelaksanaan projek ini adalah seperti berikut:

    1. Menyediakan infrastruktur yang diselaraskan secara terurus, perkakasan dan perisian yang menyokong pemantauan bencana yang lebih efektif dan efisien untuk meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri Selangor;
    2. Pembangunan command centre di peringkat PDT untuk mengupayakan ketersambungan di SSOC; dan
    3. Memastikan pembangunan DDOC mampu meningkatkan keberkesanan penyaluran maklumat cuaca, paras air sungai dan laut, indeks pencemaran udara, taburan hujan serta lain-lain maklumat data bencana yang boleh diintegrasikan dengan SSOC.
    • E-MMKN

    Projek e-MMKN merangkumi tiga (3) komponen utama iaitu :

    1.⁠ ⁠Pendigitalan dokumen rasmi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor,

    2.⁠ ⁠Pengubahsuaian bilik MMKN, dan

    3.⁠ ⁠Pembekalan peralatan ICT untuk bilik MMKN.

  3. Nyatakan langkah mengelakkan keciciran bagi golongan kurang celik digital.

    Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi membudayakan penggunaan teknologi digital kepada masyarakat terutamanya rakyat Negeri Selangor. Program ini melibatkan penjawat awam, sektor swasta, sektor pendidikan dan orang awam. Tujuan utama program-program ini diwujudkan adalah bagi mengurangkan jurang celik digital antara penduduk di segenap lapisan samada di kawasan bandar mahupun luar bandar. Antara program yang telah diwujudkan adalah seperti berikut:

    Program Latihan Digital Penjawat Awam

    Program Latihan Digital Penjawat Awam diwujudkan adalah bagi memberikan latihan digital kepada penjawat awam Negeri Selangor. Program ini dapat memberikan nilai tambah kepada penjawat awam Negeri Selangor dengan ilmu pengetahuan mengenai perkembangan terkini dalam dunia digitalisasi. Ia juga dapat membantu pegawai dalam membudayakan inovasi dalam tugasan seharian seterusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Program ini sedang dalam proses pelaksanaan dan dijangka selesai dalam bulan Julai yang akan memberi manfaat kepada 100 orang penjawat awam di Negeri Selangor.

    Program Galakan Penggunaan Aplikasi Digital Kerajaan Negeri Selangor

    Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah bagi meningkatkan kesedaran penggunaan aplikasi digital Kerajaan Negeri Selangor dikalangan komuniti dan masyarakat di Negeri Selangor. Ia juga bertujuan untuk mewar-warkan kepada orang ramai akan wujudnya kemudahan aplikasi Smart Selangor bagi kemudahan dan kebaikan rakyat di negeri ini. Melalui kempen ini, diharapkan bilangan rakyat Selangor menggunakan aplikasi digital akan meningkat seterusnya mengukuhkan lagi matlamat pembangunan aplikasi iaitu untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti serta memberikan keselesaan tambahan kepada rakyat selain daripada membudayakan gaya hidup moden seiring dengan perkembangan digital masa kini.

    Berikut merupakan objektif bagi menjalankan program tersebut:

    1. Meningkatkan kadar penggunaan empat (4) aplikasi Smart Selangor yang berikut:
      a) Citizen E-Payment (CEPat)
      b) Scan To Ride (STR)
      c) Selangor Intelligent Transport System (SITS)
      d) Smart Selangor Parking (SSP)
    2. Meningkatkan kesedaran di kalangan komuniti di Negeri Selangor tentang kepentingan dan manfaat menggunakan aplikasi-aplikasi pintar dalam kehidupan harian. Ini boleh melibatkan penerangan tentang aplikasi yang tersedia, fungsi-fungsi yang ditawarkan serta kaedah penggunaan.
    3. Mengurangkan jurang digital di antara masyarakat di bandar mahupun di luar bandar dalam memartabatkan budaya inovasi terutamanya untuk mendapatkan perkhidmatan berbayar daripada Kerajaan Negeri.
    4. Menyokong hasrat Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan Negeri Selangor terus mendepani negeri-negeri lain di Malaysia untuk merealisasikan agenda inovasi dan digitalisasi di kalangan komuniti.

Lampiran

Tiada Lampiran.