Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
131) DIGITALISASI PERKHIDMATAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memacu digitalisasi perkhidmatan agensi-agensi kerajaan?
1. Pendigitalan Pentadbiran SUK Selangor (PSPPSUK Selangor) 2021-2025
PSPPSUK 2021-2025 merupakan dokumen yang menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan SUK Selangor bagi tempoh 2021 hingga 2025. Selaras dengan visi Pelan Strategik SUK Selangor 2023-2025 sebagai Selangor Negeri “Smart, Caring and Resilience”, PSPPSUK 2021-2025 bertujuan untuk menggalakkan penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam, meningkatkan kebolehcapaian dan meningkatkan kecekapan operasi kerajaan negeri.
PSPPSUK 2021-2025 telah menggariskan empat (4) teras stategik pendigitalan iaitu: (i) Pemantapan Infostruktur Secara Inklusif dan Bersepadu, (ii) Pengukuhan Infostruktur Pendigitalan Stabil dan Mampan, (iii) Pemerkasaan Persekitaran Pendigitalan Pentadbiran Negeri dan (iv) Pengukuhan Kepakaran dan Kepimpinan Strategik Pendigitalan Pentadbiran Negeri. Berpandukan Visi, Misi dan Teras Strategik Pendigitalan, beberapa strategi dan program telah dirancang untuk dilaksanakan bagi memastikan matlamat “Selangor Negeri Pintar Berdayahuni di ASEAN 2025” dapat dicapai.
Pemantauan Berkala Pelaksanaan PSPPSUK Selangor 2021-2025 turut dilaksanakan bertujuan untuk mengkaji dan menilai keberkesanan pelaksanaan PSPPSUK, mengenal pasti cabaran yang dihadapi dan mencadangkan pelarasan atau penambahbaikan yang sesuai untuk memastikan PSPPSUK terus relevan dengan visi dan matlamat kerajaan negeri.
2. Perkhidmatan End to End (E2E)
Selain daripada itu, Pejabat SUK Negeri Selangor melalui Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) telah mengumpul data bagi Perkhidmatan End to End (E2E) yang melibatkan semua jabatan / agensi di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri.
(Taksiran Perkhidmatan E2E: Perkhidmatan yang dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya dari mula hingga akhir, proses yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana tanpa berurusan secara bersemuka)
Sehingga Februari 2024, perkhidmatan E2E telah mencapai 82.32% dengan bilangan Perkhidmatan E2E untuk jumlah keseluruhan adalah 2,048.
3. Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor
Portal Kerajaan Negeri Selangor adalah merupakan medium komunikasi dan saluran rasmi Kerajaan Negeri Selangor bagi penyampaian maklumat dan perkhidmatan kepada rakyat dan komuniti.
Portal ini juga merupakan gerbang utama dan pusat setempat bagi maklumat dan perkhidmatan online Kerajaan Negeri Selangor yang menghubungkan pelanggan kepada laman web/ portal jabatan negeri/ pihak berkuasa tempatan / agensi-agensi di bawah bidang kuasa pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Portal ini menerima kunjungan melebihi 1 juta kunjungan setiap tahun. Oleh yang demikian, mana – mana Jabatan / Agensi Kerajaan Negeri Selangor yang ingin membuat hebahan melalui portal berhubung dengan majlis dan program, boleh membuat permohonan hebahan tersebut melalui portal ini.
4. Kajian Awal Spesifikasi Keperluan Pelaksanaan Portal Perkhidmatan Online Kerajaan Negeri Selangor (Selangor Government Online Services – SGOS)
Kerajaan Negeri Selangor ke arah membangunkan sebuah Portal Perkhidmatan Online sebagai platform sehenti untuk menyediakan rakyat dengan akses mudah kepada perkhidmatan Kerajaan Negeri Selangor. Portal ini membolehkan pengguna melakukan pelbagai peringkat urusan seperti permohonan, pembayaran bil, pembaharuan lesen dan sebagainya serta mempunyai akses terus kepada maklumat berkenaan perkhidmatan seluruh jabatan/agensi Kerajaan Negeri Selangor. Usaha ini adalah bersesuaian dengan keperluan Kerajaan Malaysia ke arah meningkatkan perkhidmatan online Kerajaan Secara Hujung-ke-Hujung (End-to-End) yang dipantau oleh pihak MAMPU terhadap semua jabatan/agensi di bawah Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Dengan memusatkan dan mengautomasikan perkhidmatan di atas satu platform, kecekapan operasi sesebuah jabatan dapat dipertingkatkan dengan ketara. Platform ini mengurangkan kertas kerja, menghapuskan pemprosesan manual dan membolehkan transaksi digital untuk berlaku dengan lebih lancar. Seterusnya Transformasi Digital di jabatan Kerajaan Negeri Selangor akan berlaku dengan pantas.
Bagi memastikan pembangunan Portal Perkhidmatan Online yang mempunyai semua potensi di atas, suatu kajian yang menyeluruh dan berimpak tinggi diperlukan. Sehubungan itu kajian awal SGOS, sedang dilaksanakan dan dijangka selesai pada hujung Mei 2024.
5. Selangor Government Online Data Exchange (SelgDX)
Kerajaan Negeri telah merangka satu dasar yang menyeluruh dan lengkap iaitu Dasar Perkongsian Data Selangor merangkumi Garis Panduan dan Standard Operating Procedure (SOP). Pendekatan dalam merangka dasar ini berteraskan penyelidikan yang meluas dan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan. Dasar ini berupaya melonjakkan inovasi digitalisasi berpacukan data melalui tatakelola perkongsian yang memenuhi prinsip perkongsian data iaitu atas keperluan dan mendapat persetujuan.
SelGDX menyasarkan digitalisasi melalui perkongsian data kepada 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor dengan menyokong pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU). Bagi merealisasikan tujuan Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan (DOSM) serta usaha meningkatkan tadbir urus yang lebih komprehensif, perkongsian data-data PBT akan diselaraskan melalui SelGDX sebagai platform perkongsian data merentas agensi yang SELAMAT, CEPAT dan TEPAT.
-
Apakah sasaran digitalisasi pada tahun 2024, dan agensi/ jabatan mana yang akan di digitalisasi?
Pelbagai agensi / jabatan terlibat untuk digitalisasi. Berikut adalah antara projek penambahbaikan yang difokuskan bagi penggunaan Pejabat Dewan Negeri Selangor, Seksyen Agihan dan Pembangunan (AP), UPEN, Seksyen Pihak Berkuasa dan Tempatan (SPBT), UPEN, Bahagian Khidmat Pengurusan, dan projek baharu bagi Unit Pengurusan Bencana, Bahagian Khidmat Pengurusan.
- Sistem e-Sidang Baharu
Sistem e-Sidang Dewan Negeri Selangor sedia telah dibangunkan pada tahun 2016 dengan mengambil contoh dan rujukan sistem yang digunakan oleh Pentadbiran Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKKM), khususnya Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) dan Bahagian Dewan Undangan Negeri & Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Sistem ini telah berfungsi dengan baik sebagai sistem pemudahcara persidangan dengan kawalan oleh Speaker dan Setiausaha DUN yang memaparkan empat (4) tetingkap atau komponen dalam satu paparan di setiap surface yang telah beroperasi seperti Aturan Urusan Mesyuarat Termasuk paparan Pertanyaan Mulut dan Usul-Usul yang di bentangkan secara siaran langsung, ruangan instant messaging dan perkongsian fail digital. Sistem ini digunakan oleh semua ADUN, Speaker, Timbalan Speaker, Wakil Dewan dan Wakil Jabatan / Agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor.
Sehubungan itu, pada tahun 2024 sistem e-Sidang akan dinaik taraf untuk memastikan persidangan berjalan dengan lebih lancar serta menepati ciri-ciri terknologi terkini. Antara ciri-ciri dan fungsi baharu adalah pengurusan soalan dan jawapan untuk kegunaan semasa persidangan dewan serta intergrasi diantara sistem dan portal dewan. Dengan adanya modul pengurusan soalan dan jawapan ini akan memudahkan urusan soalan dan jawapan secara digital dan berpusat pada sistem e-Sidang yang baharu.
Seterusnya, sistem e-Sidang yang baharu akan dilengkapi dengan modul kehadiran ADUN semasa persidangan dewan dan menambah baik modul chat box dengan intergrasi SMS dan Whatsapp. Sistem yang baharu di jangka siap dan melalui fasa Go-Live pada hujung Oktober 2024.
- Kajian Awal Spesifikasi Keperluan Pelaksanaan Portal Perkhidmatan Online Kerajaan Negeri Selangor (Selangor Government Online Services (SGOS))
Kerajaan Negeri Selangor ke arah membangunkan sebuah Portal Perkhidmatan Online sebagai platform sehenti untuk menyediakan rakyat dengan akses mudah kepada perkhidmatan Kerajaan Negeri Selangor. Portal ini membolehkan pengguna melakukan pelbagai peringkat urusan seperti permohonan, pembayaran bil, pembaharuan lesen dan sebagainya serta mempunyai akses terus kepada maklumat berkenaan perkhidmatan seluruh jabatan/agensi Kerajaan Negeri Selangor. Usaha ini adalah bersesuaian dengan keperluan Kerajaan Malaysia ke arah meningkatkan perkhidmatan online Kerajaan Secara Hujung-ke-Hujung (End-to-End) yang dipantau oleh pihak MAMPU terhadap semua jabatan/agensi di bawah Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Bagi memastikan pembangunan Portal Perkhidmatan Online yang mempunyai semua potensi di atas, suatu kajian yang menyeluruh dan berimpak tinggi diperlukan. Sehubungan itu kajian awal SGOS, sedang dilaksanakan dan dijangka selesai pada hujung Mei 2024.
- Pelaksanaan District Disaster Operation Centre (DDOC) utk PDT Negeri Selangor
Merujuk keputusan Mesyuarat Post-Exco Bilangan 3 Tahun 2022 bertarikh 17 Februari 2022 yang dipengerusikan oleh YB. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf Bilik Gerakan di semua Pejabat Daerah dan Tanah serta menambah baik perkhidmatan penyelarasan pemantauan, pengoperasian dan pemakluman insiden / bencana di Negeri Selangor supaya lebih efektif dan efisyen.
Projek Pendigitalan Pengurusan Bencana (District Disaster Operation Centre (DDOC)) Negeri Selangor bagi tiga (3) Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) iaitu PDT Klang, PDT Petaling dan PDT Hulu Langat telah dilaksanakan pada tahun 2023. Enam (6) PDT selebihnya akan dilaksanakan pada tahun 2024 melibatkan penyediaan infrastruktur dan perkakasan di DDOC PDT masing-masing
Pembangunan DDOC mampu meningkatkan keberkesanan penyaluran maklumat cuaca, paras air sungai dan laut, indeks pencemaran udara, taburan hujan serta lain-lain maklumat data bencana yang boleh diintegrasikan dengan Smart Selangor Operation Centre (SSOC).
- Pelaksanaan District Disaster Operation Centre (DDOC) – Dashboard
Projek Pendigitalan Pengurusan Bencana (District Disaster Operation Centre (DDOC)) Negeri Selangor bagi kegunaan Unit Pengurusan Bencana, Bahagian Khidmat Pengurusan. Objektif projek ini adalah seperti berikut:
- Mengupayakan digitalisasi untuk proses pengumpulan maklumat bencana di Bilik Gerakan Bencana Daerah; dan
- Mengupayakan digitalisasi untuk perkongsian maklumat bencana di antara Bilik Gerakan Bencana Daerah dan Bilik Gerakan Bencana Negeri secara berpusat di Smart Selangor Operation Center (SSOC) agar maklumat dapat dikumpul secara bersepadu bagi tujuan pemantauan dan penyelarasan secara berpusat.
- Sistem Pengurusan Projek
Sistem Pengurusan Projek dibangunkan bagi menyokong gagasan Rancangan Selangor Satu (RS1) untuk memantau kemajuan projek yang telah diperuntukkan dengan Bajet Pembangunan Kerajaan Negeri Selangor daripada fasa pengagihan belanjawan sehingga fasa pengukuran prestasi dan penjanaan laporan. Sistem ini akan menggantikan Sistem Smart Projek sedia ada yang telah dibangunkan pada tahun 2016. Pemilik utama projek adalah Seksyen Agihan dan Pembangunan, UPEN dan digunakan oleh Unit SIAP bagi memantau keseluruhan projek, Seksyen Makro dan Penswastaan bagi projek-projek swasta, ketua-ketua jabatan dan pemilik projek yang menerima penyaluran peruntukan Bajet Pembangunan Kerajaan Negeri Selangor.
- Sistem ePelelong
Kerajaan Negeri Selangor melalui kerjasama di antara pihak Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT), UPEN dan pihak Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) kini dalam usaha membangunkan Sistem e-Pelelong versi baharu dengan ciri-ciri baharu termasuk pembayaran secara atas talian melalui medium DuitNow Online Banking/Wallets (DOBW). Sesi libat urus bersama pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Negeri Selangor telah selesai dilaksanakan pada 11 Januari 2024. Sistem ini akan memberi manfaat dalam memudahkan proses permohonan baharu, pembaharuan dan pembatalan lesen pelelong serta memudahkan proses perekodan dan pemantauan urusan lelongan yang dilaksanakan di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor serta Mahkamah Tinggi.
- Sistem eKuarters
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melalui kerjasama di antara pihak Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) dan pihak Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) kini sedang dalam usaha membangunkan Sistem eKuarters versi baharu dengan ciri-ciri baharu bagi menambahbaik perkhidmatan pengurusan kuarters di bawah pentadbiran SUK Selangor.
-
Berapa peruntukan yang disediakan dan nyatakan pembayaran kepada konsultan luar jika ada?
Beberapa peruntukan telah disediakan bagi tujuan digitalisasi. Masing-masing diuruskan mengikut pembangunan projek masing-masing. Berikut adalah tujuh (7) contoh digitalisasi bagi tahun 2024:
- Sistem e-Sidang
Pada tahun 2024 sistem e-Sidang akan dinaik taraf untuk memastikan persidangan berjalan dengan lebih lancar serta menepati ciri-ciri terknologi terkini. Jumlah keseluruhan pembangunan sistem e-Sidang yang baharu adalah sejumlah RM396,500.00 dan di jangka siap dan melalui fasa Go-Live pada hujung Oktober 2024.
- Kajian Awal Spesifikasi Keperluan Pelaksanaan Portal Perkhidmatan Online Kerajaan Negeri Selangor (Selangor Government Online Services – SGOS)
Bagi memastikan pembangunan Portal Perkhidmatan Online yang mempunyai semua potensi di atas, suatu kajian yang menyeluruh dan berimpak tinggi diperlukan. Jumlah keseluruhan pelaksanaan kajian awal spesifikasi keperluan pelaksanaan SGOS adalah sebanyak RM400,680.00. Sehubungan itu kajian awal SGOS, sedang dilaksanakan dan dijangka selesai pada hujung Mei 2024.
- Pelaksanaan District Disaster Operation Centre (DDOC) untuk PDT Negeri Selangor
Pelaksanaan DDOC bagi tahun 2024 untuk 9 PDT dianggarkan sebanyak RM1,000,000.00.
- Pelaksanaan District Disaster Operation Centre (DDOC) – Dashboard
Pembangunan dashboard di Smart Selangor Operation Centre (SSOC) pada tahun 2024 bagi menghubungkan data dari DDOC 9 PDT ke SSOC dianggarkan sebanyak RM500,000.00.
- Sistem Pengurusan Projek
Sistem Pengurusan Projek akan dibangunkan pada tahun 2024 hingga tahun 2025 melibatkan satu (1) tahun pembangunan dan satu (1) tahun waranti. Anggaran kos peruntukan adalah sebanyak RM1,060,000.00.
- Sistem ePelelong
Sistem e-Pelelong Negeri Selangor dibangunkan untuk tempoh 12 bulan beserta satu (1) tahun tempoh waranti dengan kos peruntukan sebanyak RM375,000.00.
- Sistem eKuarters
Sistem eKuarters Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dibangunkan untuk tempoh sembilan (9) bulan beserta satu (1) tahun tempoh waranti dengan kos peruntukan sebanyak RM244,860.00.