Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
95) DIDAPATI BANYAK HOTEL-HOTEL BAJET DIBINA SEMENJAK EMPAT TAHUN YANG LALU DI SELURUH NEGERI SELANGOR
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah bilangan hotel bajet yang beroperasi setakat ini mengikut kawasan PBT?
Bilangan hotel bajet yang beroperasi di Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor adalah seperti berikut :
BIL PIHAK BERKUASA TEMPATAN BILANGAN HOTEL BAJET 1. MBSA 30 2. MBPJ 57 3. MPK 17 4. MPAJ 14 5. MPSJ 10 6. MPS 21 7. MPKj 31 8. MPSp 6 9. MDKS 19 10. MDHS 5 11. MDKL 9 12. MDSB 18 -
Adakah bilangan hotel bajet ini bertepatan dengan keperluan sosial dan pembangunan ekonomi negeri?
Bilangan hotel bajet yang wujud pada hari ini dilihat bertepatan dengan keperluan sosial dan pembangunan ekonomi negeri pada hari ini berikutan permintaan terhadap hotel bajet semakin meningkat dari semasa ke semasa. Kebanyakan hotel-hotel bajet ini mempunyai permintaan yang tinggi kerana perkara-perkara yang berikut :
- Penginapan sementara bagi pelajar separuh masa
- Kegunaan persinggahan bagi urusan kerja dalam tempoh yang singkat
- Penginapan bagi keluarga yang datang melawat dalam tempoh yang singkat
- Alternatif kepada golongan berpendapatan rendah
Kewujudan hotel bajet ini turut menyumbang kepada peningkatan sektor pelancongan negeri. Selain itu juga, kewujudan hotel bajet dilihat dapat membantu penduduk setempat menjana pendapatan daripada aspek peluang pekerjaan dan lain-lain perniagaan yang berkaitan, seperti perkhidmatan dobi, pengangkutan dan lain-lain.
-
Apakah syarat-syarat dari PBT bagi kelulusan sesebuah hotel bajet?
Antara syarat-syarat yang dikenakan bagi kelulusan permohonan hotel bajet adalah:
Kelulusan Kebenaran merancang
Mengemukakan permohonan kebenaran merancang perubahan material penggunaan bangunan dari kedai pejabat kepada hotel bajet. Kebenaran Merancang juga mensyaratkan keperluan-keperluan lain seperti berikut : i. Lot Parkir Kereta
Menyewa 5 petak tempat letak kereta daripada Majlis bagi tujuan kemudahan pengunjung.
- Sokongan Bomba
Mengemukakan surat kelulusan / sokongan daripada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor.
- Pengudaraan
Mempunyai 10% pembukaan pengudaraan semula jadi berdasarkan luas lantai atau menyediakan pengudaraan mekanikal.
- Tong Sampah
Menyediakan tong sampah dan pembuangan sampah mengikut peraturan Majlis.
- Papan tanda
Menyediakan papan tanda alamat dalam tulisan rumi dan jawi mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Majlis.
- Kacau Ganggu
Memastikan aktiviti yang akan dijalankan kelak tidak menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar. Pemohon juga perlu menjaga kebersihan tapak dan memastikan aktiviti yang dijalankan kelak bebas dari kegiatan yang menyalahi undang-undang.
- Pelan Tambahan Pindaan
Pengusaha dikehendaki segera mengemukakan pelan tambahan dan pindaan bangunan kepada Majlis untuk kelulusan dengan mematuhi syarat-syarat berikut :-
- Tangga Kecemasan
Struktur tangga kecemasan (sebagaimana syarat Bomba) hendaklah terletak di dalam sempadan lot premis (tidak dibenarkan didirikan di atas rizab lorong belakang)
- Surau
Menyediakan kemudahan surau untuk kegunaan lelaki dan wanita secara berasingan dengan ukuran 10’ x 10’ dan tambahan 4’ x 2’ untuk ruang wuduk.
Buku Rekod
Menyediakan buku rekod penggunaan hotel yang mengandungi maklumat : i. Nama Pelanggan ii. No. Kad Pengenalan iii. Alamat Pelanggan iv. No. Telefon
Iklan Di Premis
Tidak dibenarkan memaparkan iklan promosi yang mengelirukan dan
yang boleh menimbulkan tanggapan negatif (cth: seperti promosi dengan kadar harga RM 9.99 sejam)
Aktiviti Yang Tidak Dibenarkan
Aktiviti yang menyalahi syarat kelulusan lesen seperti urut dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Penyediaan Kaunter Perkhidmatan
Menyediakan kaunter untuk perkhidmatan kepada pelanggan.