Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
74) DIALOG MAHASISWA MENGENAI KERAJAAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Usaha menghimpun mahasiswa untuk dialog dan memberi penerangan tentang Negeri Selangor diadakan sempena Raya Idul Fitri pada 22 Syawal 1431 = 01 Oktober 2010 di Annex, Dewan Negeri Selangor. Difahamkan mengenai kehadiran mengecewakan, Mengapa?
Kehadiran Mahasiswa di dalam program tersebut adalah seramai 84 orang, di mana sasaran kehadiran adalah seramai 112 orang. Sasaran peserta adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin pelajar dan pemimpin Persatuan Mahasiswa Selangor di IPTA dan IPTS yang berada di Negeri Selangor. Mahasiswa yang telah hadir dalam program ini adalah terdiri daripada mahasiswa dari Universiti Malaya, UNISEL, Universiti Multimedia, Universiti Madinah, Kolej Masterskill dan Kolej Inpens. Bagi pihak penganjur kehadiran mahasiswa ke program ini adalah satu jumlah yang agak memberansangkan, memandangkan ini adalah kali pertama program Dialog secara terbuka ini dianjurkan.
Setelah diteliti di antara faktor kehadiran mahasiswa ini tidak menepati sasaran adalah disebabkan oleh perkara berikut:
- Pertindihan tarikh dengan Majlis konvokesyen IPT, seperti Universiti Islam Antarabangsa
- Pelajar pada saat-saat akhir menarik diri.
- IPT sedang bercuti seperti KUIS
Secara keseluruhannya, kerjasama yang diperolehi adalah baik dari semua IPT. Namun begitu, pihak penganjur mendapati ada beberapa IPT khususnya IPTA enggan berkerjasama dan menganggap bahawa program yang dianjurkan berbau politik dan menyebabkan mereka enggan menghantar pelajar untuk menyertainya. Meskipun di dalam surat jemputan secara jelas dinyatakan objektif program iaitu untuk meningkatkan daya kepimpinan mahasiswa yang merupakan pelapis kepada pemimpin negara pada masa akan datang. Jemputan ini juga hanya terhad kepada pemimpin pelajar dan ahli persatuan Mahasiswa Selangor memandangkan tajuk Dialog yang dianjurkan ialah ”Pembangunan Negeri Selangor, Perspektif Mahasiswa” . Isu lain antaranya ialah, pihak penganjur perlu mendapatkan kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi terlebih dahulu sebelum membuat jemputan. Namun begitu ada juga IPTA yang dapat memberi kerjasama yang baik melalui persatuan Mahasiswa Selangor IPT tersebut, dengan menghantar wakil dengan diiringi oleh pegawai pengiring.
-
Adakah sebarang sekatan oleh pentadbir-pentadbir pengajian tinggi?
-
Adakah objektif pertemuan dicapai?
Pihak penganjur telah menetapkan objektif program seperti berikut :
- Memberi ruang dan peluang kepada golongan belia khususnya Mahasiswa untuk memberi pendapat dan pandangan mereka kepada pimpinan Kerajaan Negeri secara bersemuka, khusus tentang pembangunan Negeri Selangor.
- Mendidik mahasiwa untuk lebih yakin, mempunyai jati diri yang kukuh serta memupuk sikap prihatin kepada golongan belia untuk turut sama-sama menyumbang kepada pembangunan Negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya.
- Menonjolkan peranan Mahasiswa sebagai ” check and balance” kepada pentadbiran Kerajaan Negeri dan juga peranan mereka sebagai pelapis kepada kepimpinan Negara.
Secara umumnya pihak penganjur mendapati bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah mendapat pelbagai input yang baik dari mahasiswa yang hadir. Di antara Isu yang dibangkitkan adalah seperti isu kebajikan dan pendidikan masyarakat setempat yang berhampiran dengan kampus mereka, penambahbaikan IPT Kerajaan Negeri, isu penyaluran maklumat berkenaan pencapaian Kerajaan Negeri Selangor kepada masyarakat dan sebagainya. Oleh itu objektif yang digariskan secara umumnya telah tercapai berdasarkan input dan mutu perbincangan, meskipun jumlah mahasiswa yang hadir tidak menepati sasaran.