Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
25) DIALISIS BUAH PINGGANG
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu pasakit-pesakit yang memerlukan rawatan dialisis yang semakin meningkat saban hari dengan kos semakin tinggi dan menjadi lebih mahal selain daripada Bantuan SMART Sihat?
Kerajaan negeri melalui Program Bantuan Sihat Selangor telah memperuntukan sebanyak RM5 juta bagi meringankan beban kos pesakit yang menjalani rawatan dialisis. Sehingga 16 November 2018, sebanyak 1,120 permohonan telah diluluskan dan seramai 315 orang pesakit telah mengemukakan tuntutan bayaran. Kerajaan Negeri turut membantu pesakit yang telah mendapat tajaan daripada pihak lain seperti Lembaga Zakat Selangor, PERKESO dan lain-lain pertubuhan. Bantuan ini bagi menampung kos yang tidak ditanggung oleh agensi tajaan berkenaan seperti ubatan dan suntikan
Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri akan memperkasakan Program Gaya Hidup Sihat bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya menjaga kesihatan dari aspek fizikal, pemakanan dan mental. Langkah ini seterusnya dapat mengurangkan kecenderungan untuk mendapat penyakit tidak berjangkit dan boleh mengurangkan bebanan kos rawatan kesihatan di masa depan.
-
Apakah status perancangan Kerajaan Negeri untuk membina pusat-pusat dialisis milik Kerajaan Selangor? Apakah ada rancangan kerajaan membina sebuah pusat dialisis dalam kawasan Teratai? Jika ada, sila nyatakan lokasi.
Pada masa ini, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pusat rawatan dialisis swasta sedia ada yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk membina atau mempunyai pusat dialisis sendiri memandangkan Kerajaan Persekutuan telah menyediakan rawatan dialisis di hospital-hospital kerajaan. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pusat rawatan swasta yang terdapat di negeri Selangor bagi memudahkan pesakit mendapatkan rawatan di pusat rawatan swasta yang berhampiran dengan kediaman.