Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

199) DI MUSIM BUAH-BUAHAN TERDAPAT LAMBAKAN BUAH-BUAHAN TEMPATAN YANG TIDAK DI DAPAT DIJUAL

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Dr. Haji Yaakob Bin Sapari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Jabatan Pertanian untuk membantu memasarkan buah-buah ini.

    Langkah jabatan membantu memasarkan buah-buahan adalah dengan menemusuakan petani tersebut dengan usahawan industri asas tani bimbingan Jabatan Pertanian yang bersesuaian supaya hasil buah-buahan yang berlebihan tersebut dapat digunakan untuk industri hiliran seperti pembuatan jus, bakeri dan lain-lain produk hiliran berasaskan buah-buahan. Selain itu Jabatan Pertanian mendapatkan kerjasama agensi FAMA untuk membantu petani yang memerlukan pasaran hasil buah-buahan tersebut.

  2. Apakah rancangan Kerajaan supaya buah-buahan ini boleh di export

    Antara usaha-usaha supaya buah-buahan ini boleh dieksport adalah dengan memastikan pengeluaran hasil yang bermutu tinggi dan mempunyai pensijilan MyGAP atau SOM. MyGAP merupakan skim pensijilan yang komprehensif untuk sektor tanaman, Pensijilan MyGAP ini memudahkan laluan pasaran eksport memandangkan pensijilan ini telah dikenali di seluruh dunia

    SOM pula ialah sebuah program pensijilan yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian untuk mengiktiraf ladang-ladang yang diusahakan secara organik mengikut kriteria dan keperluan yang telah ditetapkan dalam Standard Skim Organik Malaysia (SOM).Hasil yang dikeluarkan dari ladang telah diberi pensijilan SOM pula boleh dilabelkan sebagai produk organik dan berhak menggunakan Organik Malaysia di atas produk mereka. Dengan label ini, produk tersebut boleh dipasarkan sebagai produk organik dengan harga yang setimpal.

    Melalui Program Ladang Kontrak Jabatan Pertanian, luang-luang pasaran untuk eksport hasil pertanian dapat dikenalpasti dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Petani yang terlibat akan dibantu untuk mencapai standard yang diperlukan untuk tujuan eksport.

  3. Berapa peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan untuk membantu penanam buah-buahan

    Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian memperuntukkan insentif sebanyak RM480,000.00 pada  tahun  2014   untuk   membantu   penanam   buah-buahan di Negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.