Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
88) DEWAN ORANG RAMAI BANTING
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Dewan Orang Ramai Banting selama ini jarang diguna orang ramai kerana kedudukannya yang terlalu dekat dengan jalan besar Banting menyebabkan kenderaan surah keluar masuk. Apakah rancangan MPKL dan JKR untuk mengatasi masalah ini melalui pengambilan tanah dan perancangan pembangunan di sekeliling kawasan tersebut?
Dewan Orang Ramai Banting terletak di Jalan Sultan Abdul Samad, Bandar Banting, Kuala Langat. Dewan ini didirikan di atas tanah kerajaan. Kedudukan Dewan Orang Ramai Banting adalah berhadapan dengan jalan utama, iaitu Jalan Sultan Abdul Samad dan jalan tersebut di bawah penyelenggaraan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat.
Dewan Orang Ramai Banting dibina pada tahun 1968 dengan keluasan bangunan 557.45 meter persegi. Dewan Orang Ramai Banting dilengkapi dengan pentas, dua unit gelanggang badminton, bilik persalinan dan tandas.
Dewan ini didirikan di atas tanah kerajaan yang mana Majlis Perbandaran Kuala Langat telah menghantar permohonan warta kepada Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat yang bertarikh 22 Januari 2020. Permohonan perwartaan bagi tujuan Kemudahan Awam di atas Lot 193, Lot 194, Lot 195 dan tempat letak kenderaan seluas 0.49 ekar.
Kawasan sekitar Dewan Orang Ramai Banting dikelilingi dengan bangunan perniagaan. Terletak di sebelah kiri bangunan Dewan Orang Ramai Banting ialah Lot 192, Lot 191, Lot 190, merupakan lot-lot tanah kosong yang merupakan tanah hakmilik. Manakala Lot 189 terdapat sebuah bangunan kedai pejabat 2 tingkat yang sekarang dijadikan sebagai pusat jualan kereta terpakai.
Bagi Lot 189, MPKL masih menunggu status tanah dari Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat samada hakmilik atau tanah yang dirampas oleh PDTKL.
Manakala, di sebelah kanan bangunan Dewan Orang Ramai Banting ialah Lot 1096, dan di atasnya terdapat bangunan pejabat 2 tingkat. Bangunan tersebut merupakan pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang Kuala Langat (LPPKL) dan semakan jabatan mendapati tanah tersebut adalah tanah hakmilik.
Di bahagian belakang bangunan Dewan Orang Ramai Banting ini adalah bangunan komersial, yang merupakan kedai pejabat 2 tingkat terletak di Jalan Cemerlang 2, Pusat Perdagangan Banting. Status tanah bagi bangunan komersial tersebut adalah tanah hakmilik.
Oleh kerana kedudukan Dewan Orang ramai Banting yang terlalu dekat dengan jalan utama dan menyebabkan masalah keluar masuk kenderaan ke dewan tersebut, maka Majlis Perbandaran Kuala Langat mencadangkan dewan tersebut digunakan bagi tujuan lain yang bersesuaian seperti galeri atau dipajakkan kepada pihak yang berminat sekiranya ada, untuk aktiviti yang bersesuaian dengan perancangan pembangunan di kawasan tersebut pada masa akan datang. Sekiranya pembangunan kawasan Pusat Perdagangan Banting siap sepenuhnya, dicadangkan juga laluan keluar masuk ke kawasan tersebut ditukar kepada laluan lain mengikut perancangan pembangunan kawasan tersebut.
Majlis Perbandaran Kuala Langat mempunyai perancangan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk membina sebuah bangunan dewan yang baru di Jalan Cemerlang 6, Pusat Perdagangan Banting seluas 0.26 ekar yang telah diperuntukkan untuk Dewan Orang Ramai. Oleh kerana keluasan 0.26 ekar, tapak tersebut hanya boleh dibangunkan sebuah dewan bersaiz satu gelanggang tanpa kemudahan tempat letak kenderaan.