Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
242) DESTINASI PELANCONGAN BARU DUN SEKINCHAN
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila huraikan apakah bantuan dan peruntukan yang telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi menjayakan matlamat tersebut ?
Sekinchan ialah sebuah pekan kecil di daerah Sabak Bernam yang mempunyai banyak keistimewaan dan daya tarikan tersendiri dari aspek pelancongan. Kerajaan Negeri Selangor dan Tourism Selangor telah banyak membantu terutama dari aspek promosi dan publisiti bagi membantu Sekinchan untuk terus terkenal kerana beberapa faktor boleh menjadi faktor kekurangan pelancong terutama iaitu dari aspek kedudukan yang jauh dari Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Keunikan Sekinchan yang berkedudukan hampir dengan pesisir pantai serta disekelilingi pula dengan kebun buah-buahan serta keindahan sawah padi saujana mata memandang . Kemeriahan lebih terasa apabila tiba musim menuai dan yang paling menariknya di Sekinchan tiga kaum utama terlibat dalam mengerjakan sawah padi iaitu Melayu, Cina dan yang paling menarik ialah kaum India juga membuat sawah padi yang jarang berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia. Selain itu, buah-buahan segar seperti mangga , ciku dan nangka yang enak dan manis menanti kehadiran pelancong serta hasil tanaman seperti jagung, keladi serta ubi kayu sentiasa boleh didapati hampir sepanjang tahun. Selain produk pertanian, Sekinchan juga begitu sinonim dengan hasil laut yang segar dan terdapat juga industri hiliran seperti udang kering, ikan masin, keropok serta industri membuat kek ikan dan bebola ikan.
Berdasarkan ciri-ciri keistimewaan yang terdapat di Sekinchan Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangori telah membantu dalam banyak aspek terutama dalam mempromosikan destinasi ini samada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa . Berikut adalah beberapa tindakan yang telah dilakukan oleh Tourism Selangor dalam membantu mempromosikan Sekinchan seperti :
- Menyediakan risalah pelancongan
- Selangor Breakaway
- Risalah Pelancongan daerah Sabak Bernam
- Selangor Vision
- Membawa wartawan dan pengamal media melalui Selangor Shines Fam Tour 2011.
- Membawa deligasi agensi pelancongan dari Singapura melalui Fam Tour Agensi Pelancongan dari Singapura.
- Promosi melalui laman web TSSB
- Promosi Pelancongan dalam dan luar negara
- Roadshow Selangor Shines seluruh negara
- Kembara Selangor Shines sekolah menengah dan IPTA / IPTS seluruh Selangor
- MASUM / SMIFT
- Promosi Luar Negara
- ATM Dubai
- WTM London
- Fascinating Malaysia Travel Fair Singapura
7. Tajaan penerbitan ‘ Sekichan Tourist Book ‘
8. Tajaan penginapan krew penerbitan Singapura ‘Mediacorp Singapore’ bagi penyediaan drama cina bagi siaran Singapura yang menjadikan Sekinchan sebgai lokasi pengambaran.
- Menyediakan risalah pelancongan
-
Sila nyatakan bilakah pihak Kerajaan Negeri akan meluluskan permohonan untuk membina sebuah Muzium Padi di Dun Sekinchan ?
Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan cadangan ke arah penambahbaikan sektor pelancongan di negeri Selangor lebih-lebih lagi dalam rangka kempen Selangor Shines ketika ini. Namun begitu, bagi penubuhan Muzium Padi di DUN Sekinchan ia merupakan satu proses perancangan pembangunan pelancongan yang bersifat jangka panjang. Ia tidak akan dilaksanakan dalam waktu terdekat dengan mengambil kira keperluan semasa terutama dari sudut keupayaan kewangan negeri dan produk-produk lain yang telah sedia ada.
Ketika ini, di daerah Sabak Bernam telah terdapat Muzium Pertanian dan Perikanan yang antara lain turut memfokuskan kepada pengisian bahan-bahan dan dokumentasi terhadap industri jelapang padi di negeri Selangor. Kerajaan Negeri berpendapat, kewujudan muzium ini perlu diperkukuhkan dan dibangunkan secara bersepadu terlebih dahulu. Pengisian, dokumentasi dan pengembangan pembangunan muzium berkenaan perlu mampu menarik minat pengunjung dan menjadikan ia sebahagian daripada produk pelancongan yang lebih menarik di daerah Sabak Bernam. Justeru itu, muzium sedia ada dilihat masih mampu memberikan maklumat dan informasi di samping sebagai daya tarikan ke daerah berkenaan. Bagi DUN Sekinchan, perancangan mewujudkan Muzium Padi perlu juga pada masa yang sama melihat keupayaan muzium yang telah sedia ada supaya ia benar-benar berfungsi pada skala yang lebih maksimum.
-
Sila nyatakan apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang bakal dilakukan oleh Kerajaan bagi memperkasakan sektor pelancongan di Dun Sekinchan ?
Walaupun Sekinchan mempunyai pelbagai keistimewaan dari aspek pelancongan namun pelbagai tindakan perlu diambil bagi memastikan ianya terus dikenali dan menjadikan faktor jarak bukanlah penghalang bagi pelancong tempatan dan luar negara untuk mengunjungi Sekinchan. Sehubungan dengan itu semua ‘key players’ dan penggerak utama pelancongan di Sekinchan perlu mencari inisiatif bagi memastikan Sekinchan terus dikenali disamping mewujudkan produk-produk baru pelancongan bagi memastikan kesinambungan aktiviti pelancongan di kawasan ini.
Tourism Selangor akan terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sekinchan sebagai destinasi pelancongan unik di Selangor. Antara tindakan yang akan terus dilakukan adalah seperti berikut :
- Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor akan meneruskan semua aktiviti promosi yang telah dijalankan samada di dalam mahupun pun luar negara dan sentiasa mengkaji pasaran baru yang sesuai bagi mempromosikan Sekinchan kerana bukan semua siri promosi luar negara yang disertai sesuai untuk mempromosikan agro pelancongan yang terdapat di Sekinchan .
- Tourism Selangor melalui laman web rasmi akan sentiasa mempromosikan Sekinchan dan memastikan semua maklumat yang dipaparkan adalah yang terkini dan tepat.
- Pada masa-masa akan datang Tourism Selangor juga akan membawa lawatan-lawatan para media mahupun lain-lain ‘fam tour’ serta agensiagensi pelancongan dalam dan luar negara bagi mempromosikan Sekinchan secara terus kepada ‘key players’ pelancongan.
- Tourism Selangor juga akan terus mempromosikan Sekinchan dengan menggunakan medium yang sesuai samada di media cetak, mahupun elektronik bagi memastikan golongan sasar dapat menerima maklumat berkaitan destinasi ini.
- Tourism Selangor juga akan membawa dan menganjurkan acara-acara yang akan menjadikan Sekinchan sebagai lokasi penganjuran mahupun persinggahan para peserta.
- Tourism Selangor juga akan menyediakan pakej-pakej yang menarik bagi menarik lebih ramai pelancong.