Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
127) DENGGI
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah peratus faktor sikap manusia menyumbang kepada isu Denggi di Selangor? Sila nyatakan mengikut PBT
Salah satu faktor utama sikap manusia yang menyumbang kepada peningkatan kes denggi ini adalah sikap masyarakat yang tidak mahu mengambil tahu dan mengambil tanggungjawab dalam menjaga kebersihan terutama di kawasan dalam rumah dan sekeliling. Sikap sambil lewa ini bukan sahaja membahayakan keluarga tetapi juga masyarakat sekeliling memandangkan nyamuk tidak mengenal
Masalah membuang sampah tidak pada tempatnya juga merupakan sikap yang sukar di kawal di peringkat pihak berkuasa memandangkan perkara ini adalah terletak pada diri masing-masing. Walaupun telah disediakan tong- tong sampah, sikap malas dan ambil jalan mudah segelintir masyarakat akan menyebabkan sampah berada di merata kawasan dan menyebabkan wujudnya tempat pembiakan.
Kebergantungan yang tinggi masyarakat terhadap pihak berkuasa negeri membuatkan semua masalah domestik hanya diletakkan di bahu pihak berkuasa dan tidak di sandang bersama-sama. Sebagai contoh jika berlaku kes demam denggi, masyarakat hanya mengharapkan pihak berkuasa untuk membuat semburan kabus dan bukan mengambil inisiatif untuk bersama- sama membersihkan kawasan rumah dan sekeliling.
Berbalik kepada pertanyaan Yang Berhormat Batu Tiga mengenai peratusan faktor manusia menyumbang kepada isu denggi, setakat ini Kerajaan Negeri belum menjalankan apa-apa kajian untuk mengenal pasti kadar sumbangan kepada kes denggi mengikut kategori faktor penyumbang.
-
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh KNS dalam membetulkan sikap rakyat menangani isu Denggi ini? Sila Nyatakan.
Langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam membetulkan sikap rakyat bagi menangani isu denggi ini adalah dengan melaksana dan meneruskan program-program mempromosikan bahaya denggi melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Pegawai Daerah atau wakilnya selaku Pengerusi Mesyuarat Tindakan Denggi Daerah akan merancang satu aktiviti turun padang seperti gotong-royong bersama penduduk yang akan dilaksanakan oleh PBT dan PKD beserta Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis dan Ketua Kampung atau Ketua Komuniti kawasan tersebut. Semasa program tersebut, satu sesi taklimat dan pameran bahaya denggi akan dilaksanakan. Kempen kesedaran penggunaan Aerosol, insect repellent dan abate akan diterangkan kepada penduduk sebagai kawalan awal di peringkat isi rumah.
Pihak PBT dan PKD juga melaksanakan pemeriksaan tempat pembiakan dari rumah ke rumah bagi mengenalpasti punca dan menghapuskan tempat pembiakan di dalam rumah. Semasa aktiviti ini berlangsung, penerangan berkaitan denggi juga akan diberikan kepada isi rumah tersebut dan lokasi- lokasi berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan.
-
Apakah cabaran yang di hadapi bagi permasalahan di atas?
Cabaran utama dalam melaksanakan program dan aktiviti promosi bahaya denggi adalah kerjasama dan keterlibatan masyarakat semasa program dan aktiviti yang dilaksanakan. Kadar kehadiran bagi sesuatu program seperti gotong–royong kurang menggalakkan dan kebanyakkan rumah yang terlibat dengan kes denggi juga tidak berminat menyertai program yang dijalankan.
Cabaran kedua adalah kadar kemasukan dalam rumah sangat rendah iaitu kurang mendapat kerjasama daripada penduduk untuk membenarkan pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan tempat pembiakan di dalam rumah. Apabila pihak berkuasa melakukan aktiviti pemeriksaan dari rumah ke rumah, penduduk akan meninggalkan rumah atau hanya berdiam diri di dalam rumah. Sikap ini menyukarkan pihak berkuasa untuk menghapuskan punca- punca tempat pembiakan yang mungkin terdapat didalam rumah.
Kebanjiran pendatang asing di sesetengah kawasan perumahan terutama di kawasan berstrata juga merupakan salah satu cabaran kepada pihak berkuasa dalam menangani sikap. Masalah komunikasi yang lemah menyebabkan mereka kurang mengambil tahu dan menitik beratkan isu kebersihan.
Walaubagaimanapun, pihak Kerajaan Negeri tidak akan berputus asa dan akan selalu memikirkan dan melaksanakan program-program kesedaran kepada masyarakat di negeri Selangor bagi memastikan kadar kes demam denggi dan kadar kematian berkurangan dari masa ke semasa.