Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

186) DEKLARASI DARURAT IKLIM

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan unjuran purata hujan di penghujung tahun ini dan juga tahun-tahun yang akan datang.

    SPBT

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan Soalan No. 220 daripada Yang Berhormat Sementa berkaitan Deklarasi Darurat Iklim.

    Ahli-ahli Yang Berhormat, isu perubahan iklim telah menjadi agenda utama perbincangan di peringkat global berikutan ketidaktentuan cuaca dan iklim dunia yang berubah-ubah secara melampau menyebabkan berlakunya bencana alam, kenaikan paras air laut dan cuaca ekstrim di serata dunia. Semua ini bukti jelas yang semakin membimbangkan. Berdasarkan kepada Laporan Penilaian Perubahan Iklim ke-6 yang dikeluarkan Panel Perubahan Iklim Antara-Kerajaan (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ogos 2021 dan Februari 2022, telah menyatakan satu “isyarat kecemasan” kepada dunia bahawa pemanasan global semakin meruncing.

     

    Kesan perubahan iklim yang dihadapi di Negeri Selangor boleh dilihat melalui perubahan ekstrim dalam pola cuaca seperti hujan lebat dan ribut kencang yang telah mengakibatkan banjir yang teruk di kawasan-kawasan di Selangor. Kekerapan hujan yang turun pada masa sekarang tidak lagi mengikut musim monsun. Jumlah hujan yang dijangka meningkat ini akan menjurus kepada kejadian ribut petir, banjir kilat, air pasang besar dan tanah runtuh. Susulan dengan perubahan iklim yang tidak menentu ini, Kerajaan Negeri perlu membuat pertimbangan sekiranya tindakan kecemasan iklim atau darurat iklim wajar dilaksanakan. Darurat iklim adalah keadaan yang memerlukan tindakan segera untuk mengurangkan atau menghentikan perubahan iklim dan mengelakkan kerosakan alam sekitar yang berpotensi tidak dapat dipulihkan. Untuk makluman, sekiranya deklarasi darurat iklim dilaksanakan, Negeri Selangor akan menjadi negeri pertama yang agresif dalam mengambil tindakan menangani impak perubahan iklim.

     

    Sehubungan dengan itu, terdapat keperluan untuk Kerajaan Negeri Selangor menyediakan satu pendekatan berperingkat yang akan mengintegrasikan tindakan jangka pendek (pengurusan risiko bencana iklim) dengan usaha jangka sederhana dan panjang (adaptasi perubahan iklim) bagi meningkatkan daya tahan masyarakat setempat.

     

    Sebagai persediaan, Kerajaan Negeri melalui Jawatakuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau sedang membangunkan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor 2030 yang akan bertindak sebagai satu dokumen penting bagi menggembleng keupayaan dan langkah mitigasi serta adaptasi sebagai persediaan dalam membangunkan negeri yang berteraskan kepada elemen alam sekitar dan perubahan iklim. Selain itu, agenda perubahan iklim dan teknologi hijau juga merupakan elemen keutamaan yang digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS1) yang bersifat proaktif dan strategik untuk jangka masa pendek dan panjang.

     

    Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan sejumlah dana bagi melaksanakan langkah-langkah mitigasi dan adaptasi seperti mengurangkan pelepasan karbon oleh industri, pengurusan sisa yang efisyen, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, menyediakan insentif atau skim untuk rakyat berpendapatan rendah serta subsidi untuk menggalakkan penggunaan teknologi pertanian yang lebih hijau. Pengisytiharan tersebut juga akan menuntut komitmen Kerajaan Negeri terhadap tindakan iklim dengan melaksanakan semakan dan kemas kini secara berkala terhadap Dasar/Rancangan/Pelan Induk Negeri Selangor. Dari segi perundangan pula, penyediaan undang-undang dan peraturan penguatkuasaan yang ketat serta pematuhan kepada perjanjian antarabangsa berkaitan perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan.

    METEOROLOGI

    Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, Negeri Selangor dijangka akan menerima hujan pada paras purata pada penghujung tahun ini iaitu di antara 250mm hingga 370mm pada bulan November dan 210mm hingga 310mm pada bulan Disember 2022 berdasarkan Laporan Tinjauan Cuaca Bagi Tempoh Oktober 2022 hingga Mac 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia). Untuk tahun 2022, unjuran taburan hujan yang dijangka melanda Negeri Selangor adalah sekitar 2600mm.

     

    Merujuk kepada laporan Malaysia Third National Communication and Second Biennial Update Report to The UNFCCC (United Nation Framework Convension on Climate Change), purata hujan tahunan yang diunjurkan sehingga tahun 2030 bagi negeri-negeri di kawasan tengah barat Semenanjung termasuk Negeri Selangor menunjukkan kenaikan sebanyak 6%. Manakala unjuran sehingga tahun 2050 menunjukkan peningkatan purata hujan tahunan sebanyak 11% untuk kawasan yang sama.

  2. YAB Dato Menteri Besar telah menyatakan bahawa kemungkinan ada deklarasi Darurat Iklim di Negeri Selangor. Apa yang harus dilakukan oleh kerajaan selepas pengisytiharan tersebut?

    Berdasarkan kepada kajian oleh United Nations Development Program (UNDP), sebanyak 1.2 juta masyarakat global mendapati dan percaya bahawa perubahan iklim adalah satu darurat global. Masyarakat global menyifatkan perubahan iklim akan menyebabkan kematian akibat daripada berlakunya stres haba, bencana alam yang serius, penularan penyakit, kekurangan bekalan makanan dan lain-lain lagi. Justeru itu, sehingga Disember 2020, situasi ini telah menyebabkan 15 buah negara telah mengisytiharkan darurat iklim termasuklah Jepun dan New Zealand.

     

    Berdasarkan kepada situasi dan fenomena iklim semasa, Kerajaan Negeri perlu meneliti, mengkaji dan mendapatkan pandangan pakar mengenai pengisytiharan kecemasan iklim atau darurat iklim. Pengisytiharan sedemikian pada peringkat kerajaan tempatan akan menetapkan keutamaan untuk mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, sekali gus membentuk serta melaksanakan dasar dan memperuntukkan dana bagi tujuan tersebut. Sebelum Kerajaan Negeri mengumumkan darurat iklim, aspek kesiapsiagaan perlu diberi perhatian bagi menghadapi pelbagai risiko seperti pelan rancangan yang jelas bagi memantau dan mengurangkan pelepasan karbon, membina daya tahan masyarakat dan mengutamakan perlindungan alam sekitar. Walau bagaimanapun, antara implikasi yang akan dihadapi oleh rakyat sekiranya berlaku darurat iklim adalah:

    i.    Kehidupan rakyat akan dilindungi dan dijamin keselamatan

    • Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada pembangunan kental iklim yang mengambil kira aspek perubahan iklim dan alam sekitar dalam dasar serta perancangan, penilaian dan pelaksanaan pembangunan. Pelaksanaan strategi tersebut akan mengurangkan risiko dan impak perubahan iklim kepada alam sekitar dan rakyat khususnya kerana secara tidak langsung ianya akan melindungi rakyat dan menambah baik kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat.

    ii.   Penyesuaian diri dalam adaptasi dan mitigasi perubahan iklim

    • Rakyat perlu menyesuaikan diri dan mengadaptasi kaedah-kaedah dalam menangani perubahan iklim seperti memilih kecekapan tenaga, penjimatan air, mengurangkan pelepasan karbon melalui penggunaan kenderaan awam. Kepelbagaian strategi adaptasi dan mitigasi yang selari dengan pembangunan negeri dilaksanakan secara bersepadu dan seimbang dalam usaha mengurangkan impak perubahan iklim. Penglibatan rakyat amat diperlukan untuk bekerjasama dalam setiap aspek dan menjadi asas penting dalam mewujudkan kelestarian.

Lampiran

Tiada Lampiran.