Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
91) DEFM DAN PENYELENGGARAAN ASET SUKAN
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila senaraikan skop kerja Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) dan jumlah peruntukan diberi kepada untuk pengurusan dan penyelengaraan.
Latar Belakang DEFM
Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) dahulunya dikenali sebagai MSNS Holdings Sdn Bhd merupakan anak syarikat Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) pada asalnya. DEFM berperanan sebagai anak syarikat MSNS yang berpengalaman dalam pengurusan bangunan dan fasiliti sukan milik MSNS pada masa itu. Pada tahun 2009, Menteri Besar Selangor iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim telah membuat penyelarasan dengan memindahkan DEFM untuk menjadi anak syarikat MBI.
Skop Kerja DEFM
Sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri yang diamanahkan untuk menguruskan fasiliti kerajaan, DEFM bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan fasiliti tersebut tertakluk kepada arahan daripada pihak Kerajaan Negeri dari masa ke semasa. Antara skop kerja asas DEFM termasuklah:
- Pengurusan Harta(sewaan, cukai, perjanjian, gantirugi, Fire Cert. dll)
- Pengurusan Fasiliti(Facilities Management, penyelenggaraan/baikpulih) ·
- Pengkomersilan Dengan Had (meningkatkan potensi pendapatan fasiliti)
- TIDAK termasuk baikpulih berskala besar(eg. Struktur lama yg rosak dll.)
Pendapatan dari aktiviti komersial dan sewaan premis yang dijana, akan digunakan semula untuk membiayai baikpulih dan pengoperasian fasiliti-fasiliti di bawah jagaan DEFM. Walaubagaimanapun, untuk KSSA kos penyelenggaraannya sangat besar dan bantuan geran Kerajaan Negeri masih diperlukan. Ini adalah kerana saiz fasiliti di KSSA adalah sangat besar, struktur dan perlatan berusia 28 tahun serta berteknologi lama. Mengakibatkan kos utiliti tidak efisien dan berlaku pembaziran. Sebagai contoh paip bekalan air yang usang di bawah tanah pecah dan sukar dikenalpasti. Peralatan lampu/pam yang bervoltan tinggi yang sepatutnya perlu ditukarkan kepada peralatan yang lebih cekap tenaga.
Kos Penyelenggaraan
Purata kos penyelenggaraan, baikpulih dan operasi Kompleks Sukan Shah Alam(KSSA) adalah RM4 Juta setahun yang disalurkan dalam betuk geran kepada pengurusan fasiliti terlibat. DEFM menguruskan KSSA sepanjang 2018 hingga 2022. Bermakna kerajaan telah berbelanja RM56 Juta sejak tahun 2008 hingga 2022. Kerajaan Negeri juga terpaksa membayar tuntutan saman NAZA TTDI pada tahun 2020 bernilai RM40 juta terhadap Kerajaan Negeri disebabkan perjanjian “land swap”yang tidak setara nilai semasa pembinaan pada tahun 1994 di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.
2013 – 2017
Terdapat beberapa siri proses baikpulih besar yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk Stadium Shah Alam. Dalam tempoh 2015 hingga 2017, sekitar RM11.745 Juta telah dibelanjakan bagi menaiktaraf kemudahan tandas, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pembaikan bumbung stadium, naiktaraf kemudahan/bilik korporat VIP/VVIP dan naiktaraf lampu limpah padang. Kos ini tidak termasuk penyelenggaraan berkala dan pembaikan kecil sepanjang tempoh tersebut
2018 – 2022
Sepanjang tempoh 2018 sehingga 2022, sebanyak RM 2.2 Juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih beberapa kemudahan seperti mengecat pagar stadium, pembersihan beam, naiktaraf tandas dan bumbung. Sebanyak RM 5.22 Juta juga telah dibelanjakan bagi penyelenggaraan berkala seperti permbersihan luar dan dalam stadium, perkhidmatan kawalan keselamatan, penyelenggaraan lif, penyelenggaraan padang dan kerja-kerja eletrik serta sivil sepanjang tempoh tersebut. Peruntukan geran Kerajaan Negeri juga digunakan untuk kerja-kerja naiktaraf, penyelenggaraan dan baikpulih kemudahan kemudahan lain dalam Kompleks Sukan Shah Alam seperti Stadium Malawati, Stadium Mini, Pusat Akuatik, Lapangan Boling Padang dan Taman Sukan Lasak Seksyen 13.
-
Sila senaraikan semua aset-aset sukan yang diselenggarakan oleh DEFM dan perancangan masa depan untuk setiap aset tersebut.
Latar Belakang DEFM
Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) dahulunya dikenali sebagai MSNS Holdings Sdn Bhd merupakan anak syarikat Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) pada asalnya. DEFM berperanan sebagai anak syarikat MSNS yang berpengalaman dalam pengurusan bangunan dan fasiliti sukan milik MSNS pada masa itu. Pada tahun 2009, Menteri Besar Selangor iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim telah membuat penyelarasan dengan memindahkan DEFM untuk menjadi anak syarikat MBI.
Fasiliti Di Bawah Pengurusan DEFM
Pada tahun 2012, DEFM telah diberikan mandat oleh MMKN untuk menguruskan Kompleks Generasi Muda dan Sukan(KGMS) Seksyen 7. Sebelum 2012, Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan kos penyelenggaraan hampir RM 2 juta setiap tahun bagi memastikan Kompleks tersebut terus berfungsi. Sejak pengambilalihan pengurusan oleh pihak DEFM, pengurusan fasiliti KGMS dapat dilaksanakan tanpa dana Kerajaan Negeri hasil pengurusan cekap dan pengkomersialan beberapa kemudahan dalam Kompleks tersebut. KGMS kini menjadi hab perkhidmatan Kerajaan Negeri di mana ianya dihuni oleh Yayasan Anak Selangor (YAWAS), Hijrah Selangor dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS). Selain itu KGMS juga menjadi salah satu pusat aktiviti belia di negeri Selangor.
Berdasarkan pencapaian ke atas KGMS tersebut, bermula 1 Jan. 2018 DEFM sekali lagi diberi mandat oleh MMKN untuk menguruskan Kompleks Sukan Shah Alam. Ini menjadikan fasiliti di bawah pengurusan DEFM adalah sebanyak 8 fasiliti merangkumi Kompleks Sukan Shah Alam dengan komponen Stadium Shah Alam, Stadium Malawati, Stadium Mini, Pusat Akuatik Darul Ehsan, Extreme Park, Lawn Bowl dan Tapak Parkir Stadium. Untuk makluman, jumlah kos penyelenggaraan Kompleks Sukan Shah Alam dan Kompleks Generasi Muda pada tahun 2021 adalah RM 4,103,752.00.
Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA)
Pada 15 Julai 2022, Dato’ Seri Menteri Besar Selangor telah mengumumkan garis masa rancangan pembangunan KSSA. Bentuk pembangunan akan dibentangkan pada September 2022 setelah perbincangan dengan semua pemegang taruh yang berkaitan selesai antaranya, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), MBSA, Pejabat Tanah dan Galian(PTG), Selangor FC, DEFM dan Kerajaan Negeri sendiri. Pada peringkat ini, input dari setiap pemegang taruh akan dijadikan komponen kepada pembangunan KSSA bagi memastikan projek ini dapat memberi manfaat kepada pembangunan sukan Selangor, bola sepak Selangor dan komuniti.
Projek pembangunan dijangka akan bermula paka suku pertama 2023 dan siap sepenuhnya pada tahun 2026. Ini bermakna rakyat Selangor akan mendapat kemudahan Kompleks Sukan Shah Alam yang baru menjelang 2026.