Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011

174) DATUK BANDAR, YANG DIPERTUA & PEGAWAI-PEGAWAI DAERAH

Tahun: 2011

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Manoharan A/l Malayalam

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan sistem ÒKPIÓ bagi kesemua Datuk Bandar, Yang DiPertua Majlis dan Pegawai-Pegawai Daerah?

    1. Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan pengukuran prestasi kerja bagi Datuk Bandar, Yang Dipertua Majlis dan Pegawai-pegawai Daerah melalui Sistem ‘Sasaran Kerja Tahunan’. Walaupun sistem ini adalah berbeza dari ‘KPI’ namun objektif pengukuran masih menjurus kepada prestasi kerja Datuk Bandar, Yang DiPertua Majlis, Pegawai- pegawai Daerah dan juga semua ketua jabatan di negeri

     

    Selain daripada Sasaran Kerja Tahunan tersebut, prestasi kerja Datuk Bandar, Yang DiPertua Majlis, Pegawai-pegawai Daerah secara khusus turut diukur melalui Laporan Prestasi Kerja Tahunan atau LNPT bagi setiap tahun. Laporan LNPT  ini merupakan  salah satu elemen yang menggambarkan prestasi kerja penjawat awam sepanjang berkhidmat dalam sektor awam.

     

     

    Selain daripada pengukuran-pengukuran tersebut, ada di antara jabatan/agensi melalui inisiatif sendiri melaksanakan sistem pengukuran prestasi mengikut kesesuaian jabatan itu sendiri, seperti KPI ,Balanced Scorecard dan sebagainya. Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah mula melaksanakan penilaian individu semua warga kerja secara bulanan. Ini secara kolektifnya mencerminkan prestasi keseluruhan jabatan serta ketua jabatan dan ianya dapat dipantau dari semasa ke semasa. Sebagai kesimpulan, kerajaan negeri memandang serius akan prestasi semua warga kerja di negeri Selangor dan akan sentiasa membuat penambahbaikan secara berterusan.

     

  2. Adakah Rakyat Negeri Selangor berpuas hati dengan kerja-kerja serta tindakantindakan kesemua Datuk Bandar, Yang DiPertua Majlis dan Pegawai-Pegawai Daerah?

    1. Kerajaan negeri sentiasa komited dalam memberi keutamaan kepada kehendak dan keperluan rakyat. Ini adalah hasrat utama kerajaan negeri, di mana kita bekerja untuk rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri Selangor. Segala dasar-dasar yang diperkenal dan dilaksanakan adalah bertunjangkan kepada keperluan ekonomi semasa dan juga kebajikan rakyat negeri

     

    Dalam merealisasikan hasrat ini, rintihan dan pandangan rakyat terhadap perkhidmatan yang disediakan sentiasa diambil kira. Selaras dengan ini,  Kajian  Kepuasan  Pelanggan dilaksanakan dalam menganalisa keberkesanan terhadap  perkhidmatan  yang disediakan terutamanya bagi jabatan/agensi yang lebih dekat atau berurusan terus dengan rakyat seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah. Berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh rakyat, langkah-langkah yang sewajarnya diambil dalam mengatasi sesuatu isu atau masalah yang dikemukakan.

     

     

    Namun, tidak dapat juga dinafikan bahawa terdapat golongan masyarakat yang sengaja membawa masalah yang bertujuan menjatuhkan kredibiliti sektor awam Selangor. Golongan ini adalah antara yang tidak memahami dasar kerajaan negeri dan juga  individu yang mempunyai kepentingan diri dalam sesuatu isu. Ini merupakan antara beberapa masalah yang menyukarkan Yang Dipertua, Pegawai Daerah atau Ketua-  ketua jabatan dalam mengambil tindakan. Walau bagaimanapun dalam mempraktikkan ketelusan, kerajaan negeri juga mengalu-alukan rakyat untuk mengemukakan sebarang aduan atau pandangan terhadap ketidakpuasan mana-mana jabatan atau kakitangan yang tidak menyediakan perkhidmatan sepertimana yang dijanjikan kepada rakyat. Mereka boleh melaporkan kepada jabatan itu sendiri, Pejabat  Menteri  Besar  atau melalui Unit Aduan Awam, Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor. Sekiranya pandangan atau aduan yang dikemukakan adalah  berasas, maka siasatan  dan tindakan yang sewajarnya akan diambil untuk membetulkan keadaan

  3. Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menangani Datuk Bandar, Yang DiPertua dan Pegawai Daerah yang masih degil serta tidak mahu bekerja keras?

    a)            Jawatankuasa Mengkaji Soalan Dewan yang bermesyuarat pada 10 Mac 2010 telah menolak soalan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.