Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
209) DATO’ BANDAR DAN YDP PBT
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Malaysia adalah antara segelintir negara demokrasi yang melantik kakitangan awam untuk menerajui kerajaan tempatan sebagai DATO' Bandar dan YDP PBT. Amalan ini bercanggah dengan prinsip demokrasi kerana kakitangan awam adalah pelaksana dasar dan bukan peneraju penggubalan dasar kerajaan. Selaras dengan usul yang telah diluluskan oleh Sidang DUN agar Kerajaan berusaha memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan. Apakah langkah-langkah yang sedang dilakukan oleh kerajaan untuk mengatasi kepincangan ini?
Sebagaimana YB-YB sedia maklum, Dewan Undangan Negeri Selangor telah pun meluluskan usul memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan. Kerajaan Negeri menerima usul ini secara prinsip tetapi kajian dan perbincangan meluas perlu dijalankan bagi memikirkan bagaimana memperkenalkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan merujuk kepada Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.
-
Apakah halangan atau sekatan di segi undang-undang dan peraturan Kerajaan Pusat yang menghalang Kerajaan Negeri melantik DATO' Bandar dan YDP PBT bukan di kalangan kakitangan awam?
Tiada halangan atau sekatan bagi melantik Dato’ Bandar dan YDP PBT daripada kalangan bukan kakitangan awam. Perkara ini pernah dilakukan Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.
-
Jika tiada sebarang halangan undang-undang, apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk melantik DATO' Bandar dan YDP PBT bukan di kalangan kakitangan awam?
Namun Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini akan mengkaji segala isu berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan pelantikan Dato’ Bandar dan YDP PBT bukan di kalangan kakitangan awam.