Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

189) DASAR RUMAH SETINGGAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai dasar penempatan setinggan? Jika ada, nyatakan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (MMKN) ke 37/2009 yang disahkan pada 25 November 2009 berkenaan Isu Perobohan Rumah Setinggan, MMKN telah menimbang dan bersetuju bahawa rumah kediaman yang didiami oleh Warganegara Malaysia yang dibina sebelum Jun 2008 atas tanah kerajaan akan dikecualikan daripada tindakan perobohan rumah setinggan supaya rundingan penyelesaian dapat dilakukan. Manakala rumah setinggan yang tidak termaktub kepada syarat-syarat ini tidak akan diberi pengecualian oleh Kerajaan Negeri.

    Manakala melalui keputusan MMKN ke 7/2014 yang disahkan pada 26 Februari 2014 berkenaan Penempatan Peneroka Bandar, “MMKN bersetuju penempatan asal peneroka bandar dirobohkan setelah mereka mendiami penempatan baru. Ini bertujuan mengelakkan isu penempatan asal tersebut disewakan atau didiami peneroka bandar yang baru. Terdapat juga peneroka asal terus  mendiami  penempatan  berkenaan  sepertimana  yang  berlaku di Kampung Kenangan dan Kampung Berembang. Sehubungan dengan itu Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) diminta menyelaras isu  penempatan  peneroka  bandar  bagi pembangunan baru dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah Daerah yang terlibat. Lokasi asal peneroka bandar perlu segera dirobohkan dan diselenggara untuk kemudahan awam sebaik sahaja peneroka bandar mendiami penempatan baru.”

    Oleh yang demikian bagi menjawab kepada soalan yang diajukan di atas, buat masa sekarang Kerajaan Negeri tidak mempunyai dasar penempatan setinggan yang spesifik. Walau bagaimanapun, terdapat penyelesaian yang dibuat oleh Pejabat Tanah Daerah (PTD) yang berkenaan berdasarkan mengikut keadaan kes (“case by case basis”) di mana cadangan untuk penyelesaian penempatan setinggan akan diangkat untuk pertimbangan MMKN dan disyorkan untuk ditawarkan mana-mana projek rumah kos rendah melalui LPHS tertakluk kepada kesediaan unit atau projek yang ada.

  2. Nyatakan dasar Kerajaan Negeri yang ada membabitkan isu perumahan di Selangor.

    Untuk makluman Yang Berhormat, secara keseluruhannya, terdapat lapan (8) dasar yang berkaitan langsung dengan perumahan dan hartanah dijadikan rujukan dalam pembangunan iaitu :

    • Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku 2.0).

    –     Dasar ini adalah bertujuan untuk merealisasikan matlamat “Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’. Ini adalah bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami. Antara intipati dasar tersebut adalah seperti berikut :

    Pengenaan syarat-syarat penyediaan komponen Rumah Selangorku (peratus penyediaan/ bilangan unit, jenis Rumah Selangorku, saiz bangunan dan harga jualan).

    Garis panduan spesifikasi Rumah Selangorku bagi mencapai matlamat Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha menyediakan rumah yang selesa, mudah diselenggara dan selamat untuk didiami.

    • Kawalan dan kaedah penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi dalam proses perancangan, pembangunan, penjualan dan penguatkuasaan.
    • Dasar Rumah Selangorku Berkaitan Pembangunan Perumahan Penjawat Amam 1 Malaysia (PPA1M) (Pindaan 2018).

    –     Program Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) merupakan satu usaha kerajaan bagi membantu penjawat awam memiliki kediaman yang berkualiti di lokasi yang strategik pada harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

    –     Dasar ini diwujudkan sebagai rujukan serta panduan kepada pemaju dan jabatan-jabatan Teknikal dalam memproses permohonan yang melibatkan projek PPA1M dan Rumah Selangorku.

     

    –     Antara kandungan dasar ini adalah pengenaan syarat-syarat penyediaan perumahan PPA1M dan komponen Rumah Selangorku (peratus penyediaan/ bilangan unit, jenis Rumah Selangorku, saiz bangunan dan harga jualan).

    • Dasar Rumah Selangorku Berkaitan Pembangunan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) (Pindaan 2018).

    –     Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) ditubuhkan di bawah Akta Perumahan Rakyat 1 Malaysia 2012 (Akta 739) untuk merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana.

    –     Dasar ini diwujudkan sebagai rujukan serta panduan kepada pemaju dan jabatan-jabatan Teknikal dalam memproses permohonan yang melibatkan projek PR1MA dan Rumah Selangorku.

    –     Antara kandungan dasar ini adalah pengenaan syarat-syarat penyediaan perumahan PR1MA dan komponen Rumah Selangorku (peratus penyediaan/ bilangan unit, jenis Rumah Selangorku, saiz bangunan dan harga jualan).

    • Dasar Pembangunan Pangsapuri Kediaman Komersial dan ‘Boutique Office’ Mampu Milik Negeri Selangor.

    –     Dasar ini dijadikan panduan di dalam penyediaan unit-unit / ruang Pangsapuri Perkhidmatan Mampu Milik, Small Office Home Office (SOHO) Mampu Milik, Small Office Versatile Office (SOVO) Mampu Milik dan Small Office Flexible Office (SOFO) Mampu Milik berdasarkan kepada bilangan unit keseluruhan yang disediakan.

    –     Penyediaan dan penjualan disasarkan khusus kepada golongan usahawan baru/ muda yang menceburi bidang perniagaan/ usahawan yang mana tidak memerlukan ruang pejabat yang luas dan mampu dimiliki.

    • Dasar Perancangan Pembangunan Berorientasikan Transit Negeri Selangor (TOD).

    –     Menggalakkan penduduk yang mendiami di kawasan berhampiran stesen transit untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

    –     Mengurangkan perjalanan keluar masuk penduduk dengan mengutamakan pembangunan bercampur di Zon Pembangunan Transit (ZPT) yang mengandungi pelbagai aktiviti penggunaan iaitu kediaman, perniagaan, pejabat, kemudahan masyarakat dan bersosial.

    –     Mengambilkira golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam dengan memberi peluang untuk memiliki hartanah dan mendiami di kawasan ZPT.

    • Mekanisma Penyelenggaraan Kuota Bumiputera Negeri Selangor.

    –     Mengawal dan memproses segala permohonan pelepasan unit- unit hartanah kuota Bumiputera oleh pemaju dan individu.

    –     Unit-unit hartanah Bumiputera yang diluluskan pelepasan, akan dikenakan syarat pemulangan potongan harga Bumiputera di antara 7 peratus hingga 10 peratus daripada harga jualan kepada LPHS sebelum pindahmilik dibuat.

    –     Bagi unit-unit hartanah Bumiputera yang dijual tanpa mendapat kelulusan, akan dikenakan syarat pemulangan potongan harga Bumiputera 7 peratus hingga 10 peratus dan tambahan 5 peratus caj pelanggaran mekanisma penyelenggaran kuota Bumiputera daripada harga jualan kepada LPHS sebelum pindahmilik dibuat.

     

    • Garis Panduan Perolehan Oleh Warganegara Asing/ Penduduk Tetap/ Syarikat Asing Di Negeri Selangor.

    –     Satu dasar/ garis panduan mengenai perolehan hartanah oleh Warga Asing/ Penduduk Tetap/ Syarikat Asing di Negeri Selangor yang merangkumi kuota jualan, syarat-syarat permohonan, kaedah permohonan, bayaran yang dikenakan dan tempoh sah kelulusan.

    • Garis Panduan Berhubung Kriteria Individu dan Syarikat Bagi Permohonan Kebenaran Untuk Memiliki Hartanah Di Bawah Kuota Bumiputera di

    –     Pentakrifkan istilah Bumiputera dan kaedah dalam mengendalikan permohonan kebenaran serta pengesahan status Bumiputera oleh individu mahupun syarikat untuk memiliki hartanah di bawah kuota Bumiputera di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.