Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
105) DASAR PERUMAHAN SELANGOR
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Nik Nazmi Bin Nik Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelesaikan permasalahan rumah kos rendah pasca dasar setinggan sifat?
Kerajaan Negeri sentiasa memastikan pengagihan rumah kos rendah yang dibina untuk
penempatan semula setinggan hanya diagihkan kepada mereka yang benar-benar layak
sahaja untuk mendapatkan unit-unit tersebut. Pengagihan rumah kos rendah kepada
setinggan akan dibuat berdasarkan senarai nama yang dibanci oleh PBT/Pejabat Tanah
Daerah yang mana berkaitan. Bagi memastikan tiada tambahan nama oleh pihak luar,
hanya nama setinggan yang dibanci oleh PBT berkaitan sahaja yang akan diguna pakai
untuk tujuan tawaran rumah kos rendah.
Maklumat tawaran rumah kepada setinggan juga akan dimasukkan ke dalam Sistem
Pendaftaran Permohonan Rumah Kos Rendah (SPPR) yang berpusat di Lembaga
Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk memastikan setinggan tidak akan
mendapat tawaran rumah berserta kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri di
kawasan PBT lain. Selain itu, untuk mengelakkan sebarang bantahan daripada orang
awam, semua senarai nama setinggan yang akan ditawarkan rumah akan dipamerkan
sama ada di dewan orang ramai dan rumah-rumah ibadat dalam sesebuah kawasan
penempatan berkenaan supaya maklum balas daripada penduduk asal diperolehi dan
nama yang disenaraikan adalah menepati kedudukan mereka sebagai setinggan asal di
kawasan tersebut.
Masalah setinggan yang gagal atau tidak layak membuat pinjaman bank juga akan
dibantu supaya mereka masih boleh memiliki rumah kediaman sendiri melalui skim khas
yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri. Perobohan rumah setinggan tidak akan
dilakukan selagi proses pinjaman bank belum selesai untuk tujuan pembelian rumah kos
rendah. Walaupun, Dasar setinggan sifar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri
terdahulu masih diteruskan oleh Kerajaan Negeri sekarang, namun ia akan dilakukan
secara lebih berhemah dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk
setinggan yang akan dipindahkan. Kerajaan Negeri amat menitikberatkan kebajikan dan
kemampuan kewangan setinggan sebelum dipindahkan ke penempatan baru. -
Apa langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah perumahan di kalangan rakyat berpendapatan rendah?
Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menyediakan keperluan perumahan kepada
seluruh rakyat Negeri Selangor. Ini termasuklah juga keperluan perumahan golongan
berpendapatan rendah. Untuk makluman Yang Berhormat, dalam tempoh Januari 2008
sehingga Oktober 2009 sahaja sebanyak 7,534 unit rumah kos rendah telah siap dibina
berdasarkan kepada Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) yang dikeluarkan oleh semua
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor. Bagi peringkat perancangan pula,
sebanyak 1,662 unit rumah kos rendah lagi dijangka akan dibina oleh pihak pemaju
swasta. Ini berdasarkan kepada Pelan Bangunan yang diluluskan oleh semua PBT di
Negeri Selangor.
Bagi memastikan penyediaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah terus
disediakan, Kerajaan Negeri melalui Dasar Pembangunan Tanah telah menetapkan
sebarang pembangunan tanah yang melebihi 10 ekar dalam kawasan Lembah Klang
akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 20% Rumah Kos
Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana manakala kawasan di Luar
Lembah Klang pula akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 10%
Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana. Untuk pembangunan
yang kurang daripada 10 ekar (2 – kurang 10 ekar) pula, syarat penyediaan 30% rumah
kos sederhana akan dikenakan bagi kawasan dalam Lembah Klang. Dengan
pengenaan syarat seperti yang dinyatakan di atas, ia secara tidak langsung akan dapat
membantu Kerajaan Negeri menyediakan keperluan rumah mampu milik untuk golongan
berpendapatan rendah dan sederhana.