Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

102) DASAR PEMBASMIAN KEMISKINAN SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Selangor akan menyemak semula garis kemiskinan dalam negeri mengikut taraf hidup bandar dan luar bandar?

    Yang Berhormat Balakong, usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan pendapatan dan keadaan sosio ekonomi untuk berhijrah keluar daripada kitaran kemiskinan. Oleh yang demikian, pada tahun 2020 Kerajaan Negeri telah menetapkan kadar PGK baharu iaitu berjumlah RM2,000.00 seisi rumah selaras dengan keputusan MMKN ke 26/2020 bertarikh 29 Julai 2020 dan ianya terpakai dalam menyelaras dan melaksanakan program Kerajaan Negeri Selangor. Justeru itu, dengan kenaikan PGK daripada RM1,500.00 kepada RM2,000.00 seisi rumah, ianya telah membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk memohon bantuan dan menerima manfaat. Sehubungan dengan itu, buat masa ini PGK yang sedang diguna pakai ini dilihat releven untuk diteruskan, namun begitu Kerajaan Negeri akan menyemak semula garis kemiskinan dalam negeri mengikut taraf hidup bandar dan luar bandar dari semasa ke semasa sekiranya mempunyai keperluan.

  2. Apakah strategi jangka panjang Kerajaan Selangor dalam usaha pembasmian kemiskinan dalam negeri?

    Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dilihat merupakan satu strategi jangka panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha membasmi kemiskinan. ISP merupakan program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat di samping mengupaya dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). ISP terdiri daripada empat puluh empat (44) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara program yang terlibat ialah Program BINGKAS, Skim Air Darul Ehsan, Skim HIJRAH, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Bas Smart Selangor dan banyak lagi. Program-program ISP ini diyakini dapat menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekali gus dapat membantu mengangkat golongan yang tidak bernasib baik ini keluar dari kitaran kemiskinan. Walaupun program-program yang dilaksanakan ini tidak mampu untuk membasmi kemiskinan sehingga sifar, namun secara tidak langsung ianya telah membantu mengurangkan beban rakyat Selangor dalam menjalani kehidupan seharian.

Lampiran

Tiada Lampiran.