Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
46) DASAR PEMBANGUNAN WANITA SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha yang telah di lakukan agar wanita di Selangor membangun setaraf dengan pembangunan di peringkat nasional?
- Untuk makluman Yang Berhormat Kota Damansara, usaha ke arah pembangunan wanita di Selangor dilaksanakan secara kolektif menerusi pendekatan menyeluruh dengan mengambil kira keperluan di peringkat akar bumi masyarakat sehingga pembuat keputusan. Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah merangka beberapa agenda dan program berpandukan Dasar Wanita Selangor (DWS) bagi memastikan pembangunan wanita yang mampan dan inklusif meliputi hal ehwal ekonomi, sosial, politik, kesihatan, pengarusperdanaan gender, inovasi dan kreativiti. Antara usaha yang dilakukan oleh WBS bagi memastikan kelangsungan pembangunan wanita seiring dengan peringkat nasional adalah seperti berikut:
- Merealisasikan kesaksamaan gender bagi mencapai keadilan sosial
Pembangunan DWS telah mengambil kira kerangka (framework) Dasar Wanita Negara dan Matlamat Pembangunan Lestari berorientasikan kesaksamaan gender dan keadilan sosial. Justeru, WBS menerusi program Pengarusperdanaan Gender (Gender Mainstreaming-GM) telah dilaksanakan bagi memastikan keseimbangan dalam pembentukan dasar dan pembangunan negeri menerusi :
- Penubuhan Jawatankuasa Pengarusperdanaan Gender Antara Exco Negeri Selangor yang dipengerusikan secara tetap oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dengan peneraju utama oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor. Ahli jawatankuasa ini turut dianggotai oleh Pegawai Kewangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Exco-Exco perintis yang dilantik setiap tahun untuk melaksanakan agenda pengarusperdanaan gender bagi portfolio masing-masing;
- Pelantikan penyelaras gender di setiap jabatan perintis yang dikenali sebagai Pegawai Titik Tumpuan Gender (Gender Focal Point-GFP) dan Pasukan Tumpuan Gender (Gender Focal Team-GFT) yang berperanan untuk menyelaras, melaksanakan dasar dan program gender seperti Audit Gender, Pelan Tindakan Gender dan mengutip Data Pecahan Jantina (Sex-Disaggregated Data-SDD) di setiap Jabatan/ Agensi Kerajaan; dan
- Pembangunan kapasiti secara berterusan dan berkala mengenai Pengarusperdanaan Gender kepada semua penjawat awam Kerajaan Negeri bagi memastikan ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh dengan jaya dan mampan.
- Memperkukuh kepimpinan wanita melalui pembangunan kapasiti dan kemahiran yang mampan
Pelbagai usaha dilakukan untuk memperkukuh wanita melalui pembangunan kapasiti dan kemahiran yang mampan seperti berikut:
- Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang diketuai oleh 56 Penyelia di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah diberikan pelbagai latihan kepimpinan, pembangunan kapasiti dan kemahiran seiring dengan keperluan semasa. Sebanyak sepuluh (10) modul kemahiran dan sepuluh (10) modul pembangunan kapasiti disediakan sebagai panduan kepada PWB untuk melaksanakan program pembangunan wanita di komuniti;
- Usaha Kerajaan Negeri diperkukuhkan lagi dengan pelaksanaan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) bagi melahirkan kepimpinan wanita yang berkualiti dan memberi nilai tambah ke arah usaha mencapai 30 peratus minimum wanita sebagai pembuat keputusan;
- Pada tahun 2022, usaha mengukuhkan kepimpinan wanita diteruskan melalui pelaksanaan Program Sidang Wanita Selangor. Program ini menyasarkan wanita yang berpotensi untuk menjadi pemimpin khususnya dalam bidang politik untuk diberikan latihan berkaitan politik, perlembagaan, kesedaran gender dan proses membuat keputusan di pentadbiran Kerajaan Negeri. Wanita yang terpilih akan mewakili kawasan DUN masing-masing di mana mereka akan membuat demonstrasi kepimpinan melalui usul dan perbahasan ‘Mock’ di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri; dan
- WBS amat komited dalam memastikan pembangunan wanita dari pelbagai sumber program seperti Global Asian Women Leaders Network – Women2Win, dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan penawaran biasiswa kepada wanita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi menaiktaraf kehidupan sosial, ekonomi dan kendiri yang lebih sejahtera.
- Pengukuhan Kerjasama antara pemegang taruh dan masyarakat
WBS giat melaksanakan jaringan hubungan dan kerjasama dengan pelbagai agensi, perwakilan dan masyarakat bagi meneruskan usaha pembangunan wanita yang inklusif dan mampan. Justeru, bagi merealisasikan usaha tersebut, WBS akan melaksanakan program-program berikut :
- Himpunan Majlis Wanita Selangor (MANIS) bagi mengenalpasti isu dan cabaran, memberi input dan maklum balas menerusi solusi dan proses gerak kerja yang substantif bagi permurnian Pelan Tindakan Dasar Wanita Selangor. Disamping itu, program ini bertujuan untuk membincangkan langkah dan tindakan jangka panjang yang pragmatik berkaitan dasar, intervensi program, advokasi dan pendanaan terhadap pembangunan wanita di Selangor; dan
- Program Pencarian Gadis Influencer Selangor (GADIS) yang berperanan untuk menjadi jurucakap semua program dan maklumat bagi Kerajaan Negeri kepada anak muda Selangor. Perkara ini adalah penting untuk memastikan wanita muda Selangor mendapat peluang dan akses kepada maklumat dan manfaat daripada program Kerajaan Negeri.
- Melestarikan Kesejahteraan dan Keselamatan Wanita
Pandemik COVID-19 yang melanda negara telah menjadi salah satu punca peningkatan isu keganasan rumah tangga. Ia merupakan masalah sosial yang melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, kelas dan status ekonomi. Justeru, bagi menangani masalah ini, WBS telah menubuhkan Hotline Khusus Keganasan Rumah atau Talian SELamat bagi membolehkan mangsa (pemandiri) mendapatkan bantuan atau khidmat nasihat. Talian ini juga menghubungkan kerjasama dengan beberapa agensi lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bantuan Guaman Selangor, Kaunselor SUK dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memastikan ekosistem kesejahteraan dan keselamatan wanita dapat ditambahbaik dan menjadi solusi terhadap isu atau masalah yang dihadapi oleh pemandiri
-
Apakah usaha yang telah di lakukan agar wanita di Selangor membangun setaraf dengan pembangunan di peringkat antarabangsa?
Matlamat Pembangunan Lestari telah menggariskan tujuh belas (17) matlamat usaha global ke arah kehidupan yang lebih saksama. Bagi mengangkat usaha global ini, Matlamat ke-5 Kesaksamaan Gender adalah menjadi keutamaan kerana matlamat tersebut merentasi kesemua matlamat lain dalam memastikan pembangunan wanita yang relevan dan menghasilkan impak. Antara usaha WBS yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa adalah melalui :
- Pelaksanaan Pengarusperdanaan Gender di mana sebuah manual berkaitan belanjawan responsif gender bagi Ahli Parlimen; dan
- Program Global Asian Women Leaders Network -Women2Win dengan kerjasama WBS bersama The Sasakawa Peace Foundation dari Jepun bagi mengasah bakat kepimpinan wanita dan meningkatkan penyertaan wanita dalam pembuatan keputusan.