Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

19) DASAR PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN PERUMAHAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar-dasar baru dibuat atau diperkenalkan oleh YB Exco Perumahan dan Keusahawanan dalam memikul tanggungjawab sebagai Exco pada penggal ke 14 ini?

    LPHS

    Untuk makluman Yang Berhormat, dasar-dasar baru yang telah diperkenalkan oleh saya semasa memegang jawatan selaku EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Usahawan Negeri Selangor adalah seperti berikut :

    • SKIM SEWA MILIK SELANGOR

    Pengenalan Skim Sewa Milik Selangor atau dahulu dikenali sebagai Smart Sewa To Ownership (2STAY) merupakan kesinambungan Program Skim Smart Sewa. Ia merupakan insentif baharu Kerajaan Negeri untuk membantu golongan B40 khususnya golongan yang kurang berkemampuan dan sukar untuk mendapatkan pembiayaan atau belum memiliki rumah sendiri melalui pembiayaan daripada Kerajaan Negeri (Sewa Milik / Rent-To-Own) yang diuruskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

    Unit-unit Rumah Selangorku yang dimajukan oleh pemaju akan diperolehi secara percuma / kontra berdasarkan keputusan MMKN dan unit tersebut akan dijadikan Skim Sewa Milik Selangor. Sebanyak 3,943 unit bakal siap akan diserahkan oleh pemaju kepada Kerajaan Negeri bermula pada tahun 2023 sehingga tahun 2031. Ini bagi membantu golongan B40 dalam memiliki kediaman sendiri dengan harga jualan dibawah RM200,000 seunit berbanding harga jualan sebenar RM250,000 seunit.

    • SKIM SELANGORKU TO OWNERSHIP ATAU DIKENALI S2-OWN

    Kerajaan Negeri telah memperluaskan dan menambahbaik program Dana-Sel sedia ada dengan menjenamakan program tersebut kepada Skim ‘Selangorku To Ownership’ (S2-OWN) bagi membantu pembeli setinggan terlibat untuk mendapatkan kemudahan pinjaman perumahan melalui Sewa dan Milik (Rent-To-Own) daripada Kerajaan Negeri dengan membuat bayaran sewaan bulanan yang rendah dan seterusnya membantu ke arah pemilikan rumah.

    Cadangan penyelesaian penempatan setinggan PJS 1 di projek Rumah Selangorku Jenis A yang melibatkan sejumlah 249 unit yang dibeli sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan unit tersebut akan dijadikan Skim Sewa Milik (Rent-To-Own) bagi mereka yang tidak mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan / bank. Skim ini dapat membantu setinggan yang tidak mendapat pinjaman dengan bantuan melalui dana Kerajaan Negeri dibawah Skim S2-OWN untuk memiliki kediaman sendiri.

    Pada masa ini, kemajuan kerja di tapak telah mencapai 20% siap di tapak dan dijangka pembangunan ini siap sepenuhnya pada Januari 2025.

    • SKIM BANTUAN BIAYA RUMAH SELANGOR

    Belanjawan 2023, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM100 juta bagi pelaksanaan Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor yang akan menawarkan pembiayaan sebanyak 10%-15% sebagai wang pendahuluan kediaman mampu milik LPHS kepada orang awam yang layak ditawarkan Rumah Selangorku dan Hartanah Harga Kawalan. Pemohon akan dikenakan bayaran bulanan yang tidak membebankan untuk tempoh 5-10 tahun dengan bayaran ansuran bulanan diantara RM300-RM400 sebulan.

    Bagi melengkapkan ekosistem ini, Kerajaan Negeri akan menawarkan bantuan pembiayaan kepada bakal pembeli ke arah pemilikan kediaman dapat dicapai dengan lebih berkesan oleh rakyat Negeri Selangor. Tujuan skim ini diwujudkan bagi membantu pembeli untuk keperluan perkara seperti berikut ;

    1. Pembayaran pendahuluan atau deposit pembelian kediaman atau lebih dikenali sebagai jumlah perbezaan antara harga belian dan jumlah pinjaman perumahan.
    2. Beban hutang sedia ada yang tidak efektif dan tidak berstruktur contohnya pinjaman mikro, “Buy Now Pay Later” dan sebagainya.
    3. Kos awalan yang tinggi untuk membeli perabot asas kediaman selepas penyerahan unit seperti katil dan sofa sebagai barangan kelengkapan.
    4. Bayaran kos peguam dan duti setem untuk perjanjian pinjaman dan jual beli yang perlu dibayar kepada peguamcara.
    5. Menampung kos sewa rumah sedia ada sementara untuk menunggu siap pembinaan rumah.

    Melalui program ini, Kerajaan Negeri menjangkakan mampu memberikan manfaat kepada kira-kira 4,000 pemohon di Negeri Selangor yang akan dilaksanakan pada suku kedua tahun 2023.

    • DASAR RUMAH SELANGORKU 3.0

    Sepanjang 8 tahun pelaksanaannya, Dasar Perumahan Rumah Mampu Milik       (Rumah Selangorku) telah mengalami evolusi sebagai respon kepada perubahan dalam industri perumahan dan ekonomi di Negeri Selangor. Oleh yang demikian, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang ke 29 / 2022 bertarikh 2 November 2022 telah melulus dan mengesahkan perlaksanaan Dasar Rumah Selangorku 3.0 sebagai penambahbaikan kali Ke-2 dasar tersebut (kali pertama pada tahun 2018) untuk memastikan ianya sentiasa relevan untuk diaplikasikan dalam industri hari ini.

    Penambahbaikan Dasar Rumah Selangorku 3.0 ini dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti Zon Pembangunan, Komponen Pembangunan, Speksifikasi, Kawalan Pembangunan dan Penguatkuasaan dan sebagainya. Apa yang menarik berkenaan Dasar Rumah Selangorku 3.0, ianya menawarkan pilihan unit berdasarkan keperluan seperti golongan bujang disediakan jenis Solo (1 bilik), golongan berkahwin untuk jenis Duo (2 bilik) dan Trio dan Quad (3 bilik).

    Penyediaan rumah satu bilik dan dua bilik ini telah dilaksanakan di negara maju seperti di Singapura dan United Kingdom dimana ianya realistik untuk dibangunkan di kawasan berkepadatan tinggi. Oleh yang demikian, Dasar Rumah Selangorku 3.0 ini mensyaratkan penyediaan rumah jenis tersebut dibangunkan hanya di kawasan TOD/TAD/CBD dan di seluruh kawasan Majlis Bandaraya.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri telah memikirkan kaedah bagi memudahkan pembeli rumah pertama yang mana setiap pembelian Rumah Selangorku kali ini adalah termasuk dengan Kos Guaman, Kos Pindah Milik (MOT) dan Kos Penyelenggaraan selama dua (2) tahun yang akan dibiayai oleh pemaju.

    • MEKAR (Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Negeri Selangor)

    Mobilisasi Ekonomi Komuniti Bandar Negeri Selangor (MEKAR) bermatlamat memperkasa ekonomi komuniti miskin bandar tahun 2022. Program ini mempunya 2 elemen iaitu penubuhan mart/kiosk yang menjual produk makanan keluaran penduduk setempat serta projek keusahawanan sosial ini adalah selaras dengan matlamat Suistanable Development Goals (SDGs) iaitu SDG 1 (membasmi kemiskinan) dan SDG 2 (menangani isu kebuluran dan keselamatan bekalan makanan). Program ini memberi manfaat kepada hampir 20,000 isi rumah di 8 pangsapuri kos rendah dengan implikasi kewangan sebanyak RM150,000.00.

    • Dasar Kawalan Penyewaan Warga Asing Di Rumah Kos Rendah/ Rumah Selangorku/ Rumah Mampu Milik Negeri Selangor.

    Dasar ini  telah diluluskan MMKN Ke 3/2023 bertarikh 1 Februari 2023 dan disahkan MMKN Ke 4/2023 bertarikh 17 Februari 2023 untuk mengawal dan menyekat rumah mampu milik di negeri Selangor dijadikan asrama untuk warga asing.

     

    SEKTORAL

    Tuan Speaker,

    Untuk makluman Yang Berhormat, dasar-dasar baru yang telah diperkenalkan semasa memegang jawatan selaku EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Usahawan Negeri Selangor adalah seperti berikut :

    i) PELAN TINDAKAN STRATEGIK PEMBANGUNAN USAHAWAN MIKRO NEGERI SELANGOR 2022-2026

    Pembangunan Pelan Tindakan Strategik Pembangunan Usahawan Mikro Negeri Selangor 2022-2026 dibangunkan untuk memperkasa Perusahaan Mikro dan Sederhana (PMKS) di Selangor agar menjadi salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara.  Menyedari hakikat ini, pihak jawatankuasa telah menilai ekosistem keusahawan negeri Selangor yang terdiri daripada pelbagai agensi peringkat negeri dan persekutuan yang melaksanakan aktiviti yang menjurus kepada inisiatif keusahawanan. Penilaian mendapati terdapat potensi tinggi dalam inisiatif yang dilaksanakan dan terdapat ruang penambahbaikkan bagi memberi impak yang lebih tinggi. Ia juga selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN2030) di peringkat kebangsaan yang memberi penekanan ke arah memperkasa usahawan tempatan.

    Atas dasar tersebut Jawatankuasa Pembangunan Usahawan melalui Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Selangor (MPUNS) dalam rangka mewujudkan satu pelan tindakan bagi menetapkan hala tuju inisiatif keusahawanan negeri Selangor. Pelan Tindakan Strategik PKS dan usahawan Negeri Selangor ini dirangka untuk tempoh lima tahun iaitu bermula tahun 2022-2026 bertujuan untuk menilai, menyelaras serta melaksana insiatif keusahawanan dengan lebih berkesan dan menggunakan sumber secara optimum.

    Pelan Strategik ini bersifat dinamik dan mengandungi maklumat yang signifikan kepada agensi-agensi berkaitan pembangunan usahawan di negeri Selangor dan diselaraskan dengan agensi pusat serta PKS bagi melonjakkan perniagaan dengan lebih berkesan. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan mendapat manfaat yang besar daripada pelaksanaan Pelan Tindakan Strategik PKS dan Usahawan Negeri Selangor ini. Segala bentuk program pembangunan usahawan yang dirancang dapat diterjemah dengan tindakan strategik yang akan dilaksanakan kelak.

    Objektif utama dalam melaksanakan pelan tindakan ini bertujuan menangani permasalahan yang sering dihadapai oleh PKS dan usahawan mikro. Antara isu yang akan diberi penumpuan adalah seperti berikut:

    i) Penerapan teknologi dan ICT

    ii) Pembangunan modal insan

    iii) Akses dana perniagaan

    iv) Akses kepada pasaran dan rantaian bekalan

    v) Akses kepada prasarana perniagaan

    vi) Perlesenan dan pensijilan

    vii) Pangkalan data

    Memandangkan terdapat kekangan ekonomi dan pertumbuhan yang lemah Pelan Tindakan Strategik PMK ini masih lagi dalam proses penghasilan dan telah sampai ke saringan ke tiga (3) oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

    ii) MAJLIS PEMBANGUNAN USAHAWAN NEGERI SELANGOR (MPUNS)

    Penubuhan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri (MPUNS) adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk membangunkan usahawan sebagai nadi pengerak ekonomi negeri. Ini selaras dengan moto SmartSelangor yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai negeri yang mempelopori bidang keusahawan mikro di Malaysia dan juga di peringkat ASEAN. Penubuhan MPUNS adalah bertepatan dengan pembangunan pesat industri semasa selari dengan revolusi industri 4.0 (IR4.0) yang telah merancakkan lagi pembangunan keusahawanan yang sukar dilakukan sebelum ini.

    Majlis Pembangunan Usahawan Selangor (MPUNS) ini berperanan sebagai sebuah badan untuk membantu Kerajaan Negeri dalam merancang, mengetengahkan mekanisma pembangunan usahawan yang lebih komprehensif dan mencadangkan penambahbaikan terhadap polisi atau program yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi kerajaan.

    Objektif MPUNS

    1. MPUNS bertanggungjawab memberi khidmat nasihat berhubung dasar dan pembangunan keusahawanan terutama golongan usahawan mikro dari segi kesesuaian perniagaan yang diceburi, penyediaan bantuan dana dan permis berkaitan, program pembangunan keusahawanan, program promosi dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan keusahawanan di negeri Selangor.
    2. Merancang pembangunan usahawan secara sistematik dan komprehensif;
    3. Melahirkan usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju di peringkat tempatan dan antarabangsa; dan
    4. Meningkatkan bilangan usahawan baharu di dalam industri barangan dan perkhidmatan.

    Struktur Organisasi MPUNS

    MPUNS    diterajui oleh barisan ahli jawatankuasa yang dipilih oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang bertanggungjawab di dalam pembangunan usahawan.

    iii) PELAKSANAAN PROGRAM KEUSAHAWANAN YANG MERANGKUMI PEMBERIAN GERAN PERALATAN, PROMOSI USAHAWAN DI DALAM DAN LUAR NEGARA, LATIHAN USAHAWAN DAN PROGRAM PEMBUNGKUSAN PRODUK PMKS

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan terus melaksanakan program, latihan, promosi dan pemberian geran peralatan bagi melonjakkan para usahawan mikro yang merupakan salah satu nadi ekonomi masyarakat.

    Pada Tahun 2023,  Kerajaan Negeri telah merangka dan melaksanakan beberapa program dan latihan bagi pembangunan Usahawan PMKS di negeri Selangor. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

    i) Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

    Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.  Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini. Pada Tahun 2023, program ini memberi fokus bantuan Geran Dana Usahawan Mikro kepada Usahawan-usahawan yang terjejas akibat banjir pada tahun 2021 yang dapat membantu para Usahawan meneruskan perniagaan mereka yang terjejas dengan bantuan peralatan maksimum RM30,000.00.

    ii. Klinik Usahawan Selangor

    Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.

    iii. Latihan Keusahawan

    Latihan keusahawanan masih diteruskan pada tahun 2023 dengan fokus utama adalah membangunkan Usahawan Muda, Usahawan Digital dan juga pengembangan penggunaan e-wallet dalam urusan perniagaan. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti INSKEN, MARA, HIJRAH Selangor, SME Corporation, SIDEC, Invest Selangor dan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS.

    iv. Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor

    Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan.  Di samping itu, ianya dapat membantu usahawan India menjadi lebih berdikari dan mampu untuk menjana ekonomi. Program yang ditawarkan adalah latihan pengurusan merangkumi aspek pengurusan pemasaran dan kewangan, latihan kemahiran dan pembangunan, program inkubator bersama syarikat peneraju dan geran perniagaan.

    vi. Pinjaman Hijrah Selangor

    Melalui Yayasan Hijrah Selangor pula,  pelaksanaan Skim i-Sosial dimana ianya khusus kepada usahawan atau rakyat Selangor yang memerlukan sumber kewangan bagi membiayai keseluruhan aktiviti pendidikan, latihan atau kursus yang berbayar. Selain daripada itu, skim ini juga bertujuan untuk membaikpulih kediaman atau pembelian kenderaan para Usahawan.

    Terdapat penambahbaikan bagi Skim Zero to Hero dari segi kenaikan pembiayaan di mana sebelum ini nilai pembiayaan adalah berjumlah RM5,000 dan kini telah meningkat kepada RM 10,000.

    Bagi Skim Go Digital pula, kenaikan nilai pembiayaan telah dinaikkan sehingga RM50,000 daripada nilai asal iaitu RM5,000 sahaja. Sebelum ini, kedua-dua skim ini hanya tertumpu kepada beberapa Syarikat Peneraju dan Rakan Strategik sahaja. Dengan peningkatan pembiayaan, skim ini dapat diperluaskan lagi dengan pelbagai pakej dari Rakan Strategik dan Syarikat Peneraju.

Lampiran

Tiada Lampiran.